Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pakatan Harapan tidak akan meraih sokongan orang Melayu pada pilihan raya akan datang sekiranya gabungan itu enggan bekerjasama dengannya.
Menurut Mahathir penglibatannya ketika berada bersama PH sewaktu pilihan raya umum 2018, telah membantu meningkatkan sokongan orang Melayu terhadap gabungan itu.
"Saya telah membantu pembangkang untuk menang (pada PRU14) kerana saya telah bawa sokongan orang Melayu.
"DAP yang tidak pernah memperolehi lebih dari 18 kerusi, mendapat 42 kerusi kerana sokongan orang Melayu yang saya bawa," katanya dalam temubual dengan China Press.
Untuk rekod, PH memenangi 89 kerusi pada pilihan raya 2013 dengan DAP memperolehi 38 kerusi parlimen. Gabungan itu, dengan bantuan Bersatu yang diasaskan oleh Mahathir, memenangi sejumlah 113 kerusi parlimen pada pilihan raya 2018.
Walaupun sokongan orang Melayu terhadap PH meningkat, usahanya untuk meraih undi Melayu di kawasan pedesaan masih terhad dengan Bersatu hanya meraih 13 kerusi.
Mahathir berkata dia ingin bekerjasama dengan Anwar tetapi presiden PKR itu telah menolak cadangan tersebut.
"Apa yang telah saya lakukan kepadanya? Saya telah membebaskannya (dari penjara) dan saya belum sampai masa untuk mengundurkan diri. Tapi saya undurkan diri lebih awal.
"Saya tidak menghalangnya, saya mahu bekerja dengannya, saya katakan kepadanya,'baiklah, jika kamu tidak suka saya, berilah saya enam bulan (lagi) kerana jika kamu tidak mempunyai sokongan orang Melayu, pembangkang tidak boleh menang," kata Mahathir.
Mahathir dilantik sebagai perdana menteri selepas PH dan parti sekutunya di Sabah - Warisan, menang pilihan raya 2018.
Bagaimanapun, kerajaan tersebut tumbang selepas 22 bulan mentadbir apabila Bersatu menarik diri daripada PH melalui Langkah Sheraton.
Mahathir, yang menentang tindakan Bersatu itu akhirnya disingkirkan daripada parti itu. Dia kini menubuhkan parti baru yang dinamakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Dia sepatutnya menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar tetapi tidak dapat menjadi kenyataan apabila kerajaan PH tumbang.
Anwar perlu memastikan dia mempunyai sokongan untuk menjadi perdana menteri yang seterusnya, kata Mahathir.
"Tetapi lihat rekodnya, berapa kali dia mendakwa mendapat sokongan (majoriti)? Sebaliknya dia tidak mendapat sokongan," katanya.
Dia juga mendedahkan ramai penyokong tegar Anwar memintanya untuk tidak membiarkan Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri.
"Oleh itu, saya memutuskan, sekiranya (kita) tidak mahu Anwar mengambil alih, maka biar Dewan Rakyat tentukannya,” katanya.
Antara mereka yang berkomplot menjatuhkan kerajaan PH, termasuklah pemimpin kanan parti Anwar sendiri, Azmin Ali, yang juga Ahli Parlimen Gombak.
"Ketika Anwar mengatakan dia mendapat sokongan, dia menjelaskan yang dia akan mengecualikan saya. Sekiranya dia mempunyai sokongan, maka buktikan, tetapi dia tidak memilikinya.
"Mereka (ahli parlimen kerajaan) berjanji untuk menyokong Anwar mungkin kerana janji-janji yang dibuat olehnya. Tetapi mereka yang merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan faham bahawa dengan menggulingkan Muhyiddin Yassin, mereka juga perlu mengundurkan diri dan masa depan mereka akan menjadi tidak menentu," katanya.
Semasa pengundian Belanjawan 2021, Anwar hanya mampu mengumpulkan sokongan 108 anggota parlimen untuk menolak belanjawan, dengan perbezaan tiga undian yang menyokong apabila ia diluluskan dengan sokongan 111 ahli parlimen.
Pada masa ini, terdapat 220 ahli parlimen daripada 222 ahli parlimen di Dewan Rakyat. Terdapat dua kekosongan kerusi parlimen, di Batu Sapi dan Gerik susulan kematian penyandangnya mendiang Liew Vui Keong dan allahyarham Hasbullah Osman.
Sementara itu, Amanah dan DAP berpendapat satu anjakan politik diperlukan oleh pembangkang, dengan mencadangkan gabungan besar yang menyatukan semua parti pembangkang.
Meskipun, Pemuda PKR (AMK) Selangor berkata mereka terbuka dengan cadangan tersebut, tetapi menegaskan pembentukan gabungan besar pembangkang itu tidak boleh melibatkan Mahathir.
Anwar pula telah menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja - termasuk Mahathir - asalkan mematuhi prinsip PH dan parti gabungan lain tidak boleh membawa agenda peribadi.
Bagaimanapun, Mahathir menyatakan apa yang diharapkan oleh Anwar adalah sokongan 'tidak berbelah bahagi' daripadanya yang tidak dapat dilakukannya.
No comments
Post a Comment