Menganggap hubungan PAS dan Umno sebagai "persaudaraan Aus dan Khazraj" bekas ketua Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik menganggap pihak yang mengkritik kerjasama itu sebagai perbuatan pemimpin munafik.
Menurut komen dibuatnya, antara pihak yang dianggap cuba memecah-belahkan hubungan berkenaan termasuklah Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, selain "pendukung PH" (Pakatan Harapan).
"Pendek kata semua statment2 (kenyataan) itu sarat dengan harapan agar PAS dan Umno kembali berperang dan MN (Muafakat Nasional) terburai ikatannya.
"Sakit benar hati mereka melihat persaudaraan PAS Umno. Saya yakin mereka tidak akan berjaya kecuali jika ada pimpinan Umno atau PAS yang menari mengikut irama sumbang mereka.
"Persaudaraan Aus dan Khazraj ini perlu dijaga rapi. Kerana orang-orang Abdullah bin Ubai sentiasa mencari ruang dan peluang," katanya di media sosial.
Dalam sejarah Islam Aus dan Khazraj merupakan dua kumpulan yang berseterus sekian lama sebelum berdamai dengan peranan Nabi Muhammad SAW.
Abdullah Ubai (atau Ubayy) pula dianggap sebagai ketua golongan munafik.
Mokhtar berkata 'serangan' terhadap MN tekal dilakukan termasuk pemimpin PH dan veteran Umno.
"Presiden PAN (Amanah) minta ahli PAS kenang balik peristiwa Memali. Ku Li minta Umnmo jangan biarkan PAS tumpang tuah Umno," katanya.
Dua zaman yang berbeza
Justeru katanya ketika ini sangat penting agar amalan walak diamalkan.
Mokhtar yang juga anggota Ulama Pusat PAS berkata Tengku Razaleigh kini cuba menyemarakkan semula semangat "asobiyyah" Umno melalui amaran yang diberikannya.
"Rupa-rupanya Ku Li sudah jauh tertinggal di belakang berbading ahli Umno yang lain," katanya.
"Saya yakin saranan Mat Sabu (Presiden Amanah, Mohamad Sabu) agar ahli PAS mengenang peristiwa Memali tidak memberi apa-apa kesan kepada PAS.
"Kami orang PAS diajar dengan akhlak Islam. Berbaik dengan Umno tidak bermakna menafikan kemurnian perjuangan para syuhada Memali. Kerana kedua-dua zaman itu berbeza," katanya.
Untuk rekod Tengku Razaleigh sendiri pernah bekerjasama dengan PAS melalui partinya, Semangat 46, untuk membentuk Angkatan Perpaduan Ummah yang membawa kepada penguasaan PAS di Kelantan pada 1990.
Walaupun memeterai persefahaman dengan Umno melalui MN, PAS kini menjadi sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu serta beberapa parti lain. Umno pula kekal tidak menyertai PN.
Pada 26 Dis lalu anggota Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan memintda PAS segera memutuskan sama ada mahu terus dengan MN atau PN menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Kita (Umno) nak PAS buat keputusan nak bersama dengan Umno dalam MN ke tidak, lekas buat keputusan sebab kita nak pilihan raya ni,” katanya seperti dipetik Astro Awani.
No comments
Post a Comment