Ketika tempoh Donald Trump berkuasa sebagai ketua di Rumah Putih menghitung hari menghampiri tempoh penamatnya, dalam masa yang sama semakin rancak diusahakan agenda normalisasi negara-negara Arab dengan negara haram Israel.
Terbaharu ialah Maghribi yang baharu sahaja mengisytiharkan normalisasi dengan negara haram Israel beberapa hari lepas dan menandatangani perjanjian tersebut Khamis lalu di Royal Palace, Rabat, Maghribi dengan kehadiran Jared Kushner dan rombongannya dari Amerika Syarikat.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Mier Ben Shabbat, Penasihat Keselamatan Benjamin Netanyahu bagi pihak Israel manakala Maghribi diwakili Menteri Luarnya Nasser Bourita.
Dengan penuh bangga Jared Kushner, pelobi besar kepada perjanjian normalisasi Israel dengan negara - negara Arab menyifatkan ianya satu kejayaan dan menerima pujian daripada Raja Muhammed VI, Raja Maghribi atas usaha Jared Kushner merealisasikan perjanjian tersebut.
Kepentingan Maghribi kepada Dunia Islam
Maghribi adalah negara penting kepada Dunia Islam kerana sejarah politik dan kedudukannya yang strategik. Kedudukan Maghribi yang berada di hujung utara Afrika dan mengikut peta lama kepada Dunia Islam ia dinamakan dengan Al-magharib Al-arabiyyah.
Selain Maghribi, Al-maghrib Al-arabiyah termasuk juga negara Tunisia, Algeria, Libya dan Mauritania. Wilayahnya merentasi bahagian-bahagian daripada Laut Mederitanian sehingga ke Lautan Atlantik.
Jumlah penduduk Maghribi adalah seramai 37 juta orang dan majoritinya adalah Sunni bermazhab Maliki. Kedatangan Islam ke wilayah ini adalah melalui pembukaan yang dipimpin ‘Utbah bin Nafi’ pada tahun 680 M.
Beliau adalah sahabat Nabi Muhammad SAW yang diamanahkan sebagai panglima perang di era kerajaan Umawiyyah serta begitu dikagumi oleh ahli sejarah barat dahulu seperti Edward Gibbons yang memberinya gelaran “ The Little Conqueror of Africa “.
Bertapaknya Islam di Utara Afrika ini menjadi titik penting kepada sejarah tamadun Islam kerana ia menjadi noktah kepada pembukaan Islam ke Eropah melalui Sepanyol.
Pada era pemerintahan Musa bin Nusaiir, beliau telah melantik Tariq bin Ziyaad sebagai panglima perang yang akhirnya memimpin bala tentera Islam sehingga berjaya membuka Andalus, Sepanyol pada 711 M.
Islam yang bertapak di Sepanyol selama hampir lapan ratus tahun membina satu tamadun yang begitu hebat bukan sahaja dari sudut lahiriyyah dengan binaan-binaan cantik yang kekal sehingga ke hari ini seperti Istana Granada dan Masjid Cordova.
Bahkan lebih daripada itu, Islam telah berjaya membina tamadun yang berakhlak dan bermoral dengan menyebarkan keadilan dan samahah kepada masyarakat berbilang ugama dan bangsa yang diberikan hak yang adil dan saksama.
Di bawah pemerintahan Islam bangsa Yahudi bebas dari penindasan di Eropah. Justeru selepas kejatuhan kerajaan Islam Sepanyol, raja-raja Kristian bertindak membunuh bukan sahaja ke atas penduduk Islam bahkan juga orang-orang Yahudi.
Kerajaan Uthmaniyyah yang muncul sebagai kuasa baru Dunia Islam menghantar bantuan-bantuan antaranya kapal-kapal yang membawa pelarian Islam dan Yahudi keluar dari Sepanyol ke Maghribi dan lain - lain negara lagi agar jauh dari kezaliman raja - raja Kristian ketika itu.
Kedudukan Teluk Jabal Tariq atau Gibraltar adalah sangat strategik kepada jalan laut sejak dahulu lagi kerana ia merupakan jalan masuk kapal-kapal daripada Lautan Atlantik ke Laut Mederitanian.
Justeru ia sentiasa menjadi idaman kepada kuasa-kuasa besar dunia sehinggalah jatuh kepada British di era Perang Dunia Pertama. Semuanya adalah kerana kedudukan strategik Maghribi yang senantiasa menjadi rebutan semua pihak mahupun kuasa - kuasa besar yang berkepentingan.
Maka tidak hairanlah mengapa Israel benar - benar mendambakan Maghribi untuk menjadi rakan strategiknya dengan meminta pertolongan Amerika Syarikat untuk menjadi perantara sehingga termeterainya perjanjian normalisasi yang ditandatanganinya dengan Maghribi baru - baru ini.
Kepentingan Maghribi kepada Israel antara lainnya adalah kerana keberadaan bangsa Yahudi yang bertapak di situ sejak ratusan tahun lalu ekoran pembunuhan beramai-ramai umat Islam dan Yahudi yang berlaku di era kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol ke tangan raja-raja Kristian.
Pada tahun 1940 terdapat sekitar 250 ribu penduduk berbangsa Yahudi yang tinggal di Maghribi, namun selepas itu berlakunya penghijrahan beramai-ramai bangsa Yahudi ke serata tempat khususnya Israel yang sememangnya telah mengisytiharkan sebagai sebuah negara ekoran rampasan bumi Palestin.
Sebelum berlakunya penghijrahan beramai - ramai tersebut, pengasas fahaman Zionis Theodor Herzl dalam satu pelan rahsianya telah mengisytiharkan selatan Maghribi sebagai sebuah negara Yahudi berikutan ramainya bangsa Yahudi yang bermastautin di situ.
Dalam pelan rahsia tersebut juga didedahkan bagaimana untuk meramaikan populasi bangsa Yahudi di Maghribi bagi membentuk negara Yahudi di selatan Maghribi, orang - orang Yahudi daripada Rusia akan dibawa masuk untuk tinggal di Wadi Al-Hisan di barat daya Maghribi.
Menurut Yaakov Hagoel, Pengerusi Pertubuhan Zionis Sedunia, terdapat sejumlah besar orang - orang Yahudi di Maghribi dan utara Afrika secara amnya. Pelan rahsia negara Yahudi di selatan Maghribi adalah untuk menempatkan seramai boleh orang Yahudi dari timur Eropah yang dizalimi dan ditindas ketika itu.
Malah ketika itu terdapat usaha untuk memohon kepada pemerintah Maghribi yang diusahakan oleh Baruch dan Yaakov Moshe Toledano serta Rabbi Vidal Of Fez dari Perancis untuk memohon Wadi Al-Hisan dijadikan sebuah negara Yahudi.
Rabbi Vidal yang rapat dengan pemerintah Maghribi ketika itu sedar bahawa pelan tersebut tidak akan mampu dijayakan ekoran keadaan politik dalaman Maghribi yang tidak akan memihak kepadanya.
Akibat daripada itu, pelan tersebut ditinggalkan dan didedahkan baru - baru ini oleh pihak - pihak yang berkepentingan dalam agenda normalisasi ini. Selain dari pelan selatan Maghribi, terdapat satu lagi pelan iaitu “ Uganda Plan “ yang diusahakan oleh Zionis pada masa dahulu.
Akhirnya, apa yang dicapai oleh Israel dalam menandatangai perjanjian normalisasi dengan Maghribi bolehlah dikatakan sebagai untuk menjaga kepentingan strategik mereka disamping untuk melindungi bangsa Yahudi yang sememangnya bermastauitin di Maghribi.
Namun dalam masa yang sama, perjanjian normalisasi tersebut adalah sebenarnya untuk melengkapkan usaha penguasaan Israel terhadap Timur Tengah di samping untuk memenuhi impian mencipta dan merealisasikan pelan “ The Greater Israel “ atau Israel Raya.
Hakikatnya, Israel sedang berjuang habis - habisan untuk mencapai cita - cita mereka sebelum Donald Trump meninggalkan Rumah Putih dengan bantuan negara - negara Arab. Adakah lagi negara Islam yang akan menjadi pengkhianat kepada perjuangan Palestin dan Islam umumnya ?
Semoga Allah SWT akan terus memelihara kesucian Islam dan memberikan kekuatan kepada umat dan Dunia Islam.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
No comments
Post a Comment