IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan cadangan kerjasama di antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan di Perak sudah dirancang lebih awal.
Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, berdasarkan kenyataan ketua-ketua parti PH Perak sebelum ini, mereka dilihat tenang mengemukakan cadangan tersebut tanpa sebarang tekanan.
Menurutnya, keputusan mengenai kerjasama itu sudah pasti mendapat restu pimpinan mereka di peringkat Pusat.
"Kita melihat kerjasama ini bukan sesuatu yang mustahil untuk berlaku kerana di dalam politik ini segala-galanya boleh berlaku. Malah kita melihat jika ini berjaya, maka acuan sama akan terbentuk di peringkat Pusat.
"Saya fikir jika kerjasama ini tidak menguntungkan mana-mana pihak, pastinya pimpinan mereka tidak akan bersetuju. Tinggal lagi sejauh mana keberanian mereka untuk berdepan dengan persepsi penyokong masing-masing jika gabungan ini berjaya," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu sedia bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan di Perak.
Dalam pada itu, Hamidah berkata, penerimaan DAP untuk bekerjasama dengan UMNO dilihat mempunyai agenda tertentu khususnya dalam menagih sokongan orang Melayu.
Katanya, Putra melihat kerjasama yang mahu dilakukan itu hanyalah menguntungkan DAP dan disebabkan itu mereka sanggup mengenepikan perseteruan dengan UMNO selama ini.
Sementara itu, Hamidah mengharapkan kemelut politik yang melanda Perak ketika ini dapat diselesaikan segera untuk memastikan Bajet Negeri 2021 dapat dibentang.
Sebelum ini, PH Perak menyatakan sedia bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan baharu yang lebih stabil di Perak.
Perkara itu disambut baik oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/113685/BERITA/Politik/Kerjasama-UMNO-PH-sudah-dirancang-awal
No comments
Post a Comment