Isu kemelut politik di Perak berjaya diredakan bila PAS, Bersatu dan UMNO bersetuju mengekalkan muafakat dan menyokong perlantikan Dato Saarani sebagai MB.
Pelantikan lima exco membolehkan Kerajaan Perak berfungsi dan pentadbiran berjalan. Tentunya akan ada pertambahan exco bagi melengkapkan urus tadbir kerajaan negeri. Ini kita serah sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tuanku.
PAS melihat isu yang paling utama selesai hasil muafakat bersama. Soal ADUN PAS di lantik sebagai exco atau tidak adalah hak Tuanku Sultan Perak. PAS akur apa sahaja yang baik pada pandangan Tuanku kerana yakin kestabilan kerajaan adalah keutamaan Tuanku.
Tidak timbul soal 'durhaka' atau tidak, kerana sesuatu kemelut politik harus dilihat secara menyeluruh bukan hanya sesuatu juzuk untuk membuat penilaian. Maka kita yakin mengurus kemelut yang berlaku memerlukan ruang tersendiri dan waktu yang sangat singkat. Dalam situasi begini, tidak hairan kalau salah faham, silap maklumat dan tentunya golongan yang berkepentingan akan mengambil kesempatan.
Apapun dengan kesabaran semua pihak dan jiwa besar akhirnya ia berjaya diselesaikan. Alhamdulillah kemelut ini tidak mengambil masa yang lama. Kini masa untuk melihat ke hadapan bagi meneruskan pembangunan negeri, menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuhkan muafakat politik.
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
11/12/20
No comments
Post a Comment