Lihat kepada bentuk ketuat ini biasa aje kan? Ada orang yang terlalu risau hingga jelajah seluruh klinik dan hospital kawasan dia. Ada orang yang hanya biarkan sahaja, buat tak kisah. Jika jumpa doktor pun, pelbagai reaksi diberikan. Ada doktor yang hanya rileks, beri nasihat supaya tidak perlu buat apa-apa yang drastik. Tapi ada pulak doktor yang terlalu prihatin pasal ketuat di badan pesakit, siap beri amaran ketuat itu boleh bertukar jadi kanser.
Bahaya ke tidak ketuat sebenarnya?
Saya di klinik, selalu tengok kes ketuat. Terdapat jenis-jenis ketuat yang saya perlu rujuk kepada pakar kulit untuk tindakan lanjut. Ada juga jenis yang saya hanya berikan nasihat, ketuat akan baik sendiri dalam satu tempoh tertentu.
Bagaimana nak beza samada ketuat itu bahaya atau tidak? Jumpa doktor lah baru tahu. Rupa ketuat, besar kecil, lokasi ketuat, warna ketuat dan berapa lama ketuat timbul menjadi indikasi samada ianya bahaya atau tidak.
Statistik menunjukkan kanak-kanak dan umur belasan tahun adalah paling ramai di jangkiti ketuat. Saya sebut ketuat boleh berjangkit antara satu sama lain kerana penyebab Ketuat adalah dari virus bernama Human Papiloma Virus (HPV). Budak remaja dan kanak-kanak yang tidak menjaga kebersihan dan selalu bersentuhan antara satu sama lain berpotensi ketuat merebak. Bagi orang dewasa hanya 3-5% sahaja dijangkiti. Orang dewasa lebih pandai menjaga kebersihan.
Doktor yang melihat kes ketuat akan memberi keyakinan kepada pesakit bahawa ketuat itu akan ambil masa untuk sembuh dengan sendirinya. Kadangkala tidak perlu ubat pun dan tidak perlu dirisaukan sangat. Paling awal, ketuat akan hilang selama setahun. Manakala ada juga ambil masa 5 tahun untuk sembuh. Tetapi ingat! Pastikan doktor yang mahir memeriksa dahulu ketuat anda. Jangan pula pandang ringan ketuat yang tumbuh di badan anda.
Pesakit yang diperiksa oleh doktor perlu dirujuk segera kepada pakar kulit atau sewaktu dengannya jika:
1. Sangsi ketulan seperti ketuat itu bukan ketuat. Bentuk nampak agresif dan lain dari biasa.
2. Ketuat terletak di muka atau kemaluan (genitalia).
3. Anda mungkin pernah dengar HPV, ketuat yang terletak di genitalia dari HPV spesies 6, 11, 16, 18, dan 35 adalah punca kanser. Ianya boleh menjangkiti wanita dan juga perempuan. Terdapat vaksin HPV untuk mencegah virus ini menjangkiti manusia.
4. Terlalu banyak ketuat dan berangkai.
5. Ketuat yang sakit, gatal, rasa panas pedih atau berdarah tanpa sebab.
6. Ketuat bagi pesakit yang sistem imuniti badan rendah seperti pesakit HIV, Kencing Manis dan seumpamanya.
Jika anda dihinggapi ketuat, 5 nasihat berikut amat berguna
1. Jangan cucuk dengan jarum menjahit, korek, cuba potong atau garu dengan kuat.
2. Tidak kongsi alatan awam selipar tandas awam, tuala kolam mandi awam dan kain lap muka. Jika nak guna, pastikan yang bersih.
3. Jangan sesuka picit atau sentuh ketuat orang lain kecuali pakai sarung tangan getah.
4. Ketuat senang berjangkit jika kulit anda basah atau lembab. Kulit kering boleh cegah ketuat merebak.
5. Tanya dulu doktor sepatah dua jika ingin “membunuh” ketuat anda samada nak bakar api, letak asid, letak getah betik, potong sendiri dengan pisau atau jerut dengan benang. Jika tidak kena cara, boleh berlaku jangkitan silang atau perdarahan.
Sekian sedikit infosihat dari suhazeli.com
Kalau silap fakta, sila tegur!
Fb.com/drsuhazeli
22.6.2019
Danang, Vietnam
Pautan
[1] Ketuat. America Academy of Dermatology. https://www.aad.org/public/diseases/contagious-skin-diseases/warts
[2] Virus HPV penyebab Ketuat. http://www.myhealth.gov.my/ketuat-2/
No comments
Post a Comment