GLOBAL | Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam tiga letupan menggegarkan lapangan terbang di bandar pelabuhan Aden, Yaman pada Rabu sejurus selepas anggota kabinet baru kerajaan tiba di ibu kota itu.
Dianggarkan 50 yang lain cedera, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri Yaman.
Antara yang terkorban orang awam, pekerja lapangan terbang dan pegawai yang hadir menyambut ketibaan anggota Kabinet itu. Anggota kabinet dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Seorang sumber keselamatan berkata letupan itu menyasarkan ruang VIP di lapangan terbang, yang berada di bawah kawalan pasukan Majlis Peralihan Selatan (STC).
Perdana Menteri Yaman Maeen Abdulmalik Saeed, mengesahkan dalam akaun Twitternya "pegawai kerajaan berada di Aden dan semua dalam keadaan baik."
"Tindakan pengganas yang pengecut menyasarkan lapangan terbang Aden adalah sebahagian perang yang dilancarkan terhadap negara Yaman dan pegawai kita.
"Perbuatan itu hanya akan menguatkan lagi azam kita untuk melaksanakan tugas sehingga berakhirnya rampasan kuasa (yang dilakukan Houthi pada 2014) dan memulihkan semula negara," kata perdana menteri.
Sementara itu, Menteri Penerangan Moammar Al-Eryani menuduh puak Houthi melakukan serangan itu.
"Serangan dilakukan Houthi yang disokong Iran di lapangan terbang Aden tidak akan menghalang kita untuk melaksanakan tugas demi negara," kata menteri itu di Twitter.
Houthi dalam satu kenyataan menafikan tuduhan itu.
- Bernama
No comments
Post a Comment