Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sudah 20 hari berlalu sejak bencana gempa bumi melanda Izmir, Turki serta mengorbankan lebih 100 mangsa.
Derita dialami beribu rakyat Turki yang kehilangan tempat tinggal turut meruntun simpati ramai rakyat Malaysia yang terus menyalurkan sumbangan kepada mangsa susulan gempa dengan kekuatan 7 skala richter itu.
Presiden Muslim Care Malaysia Society (MCM) Zulkifli Wahijan berkata, beribu penduduk Turki kehilangan tempat tinggal susulan banyak pangsapuri dan kediaman tinggi runtuh menyembah bumi.
"Tidak mungkin mereka mampu menghadapi segala ujian ini melainkan dengan bantuan dari umat Islam seluruh dunia termasuk kita di Malaysia.
"Susulan itu, wakil Muslim Care Malaysia di Turki berusaha menguruskan bantuan yang disalurkan kepada mereka melalui sumbangan derma rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata, bekalan makanan dan selimut yang amat diperlukan mangsa di Izmir segera disumbangkan MCM.
"Kehadiran musim sejuk di sana menyebabkan mangsa memerlukan bantuan segera terutamanya makanan panas, bahan pemanas dan selimut.
"Bantuan kecemasan fasa 1 dari Malaysia membabitkan dana RM42,000 sudah disalurkan terus MCM kepada mangsa melalui rakan NGO tempatan IHH Humanitarian Relief Foundation yang berada di lokasi bencana," katanya.
Beliau berkata, sumbangan berbentuk barangan keperluan harian itu disampaikan kepada mangsa yang kini ditempatkan di khemah sementara.
"Bagaimanapun pengumpulan dana bantuan dengan sasaran RM1 juta masih lagi diteruskan," katanya.
Sementara itu, usaha dilakukan Muslim Care Malaysia turut mendapat pengiktirafan Duta Besar Turki di Malaysia, Dr Merve Safa.
"Surat itu dihantar kepada MCM. Namun penghargaan besar ini lebih layak diterima seluruh rakyat Malaysia dan dermawan.
"Terima kasih semua dermawan dan penggerak MCM yang membantu mangsa gempa bumi di Izmir. Sumbangan turut disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandemik Covid-19," katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai terus menyalurkan sumbangan dengan menghubungi MCM di talian 0169978323 (Johari Ismail), 0134886447 ( Ahmad Safwan ) atau 0192049434 ( Zuriati Ya'akob ).
Sumbangan turut boleh disalurkan melalui akaun Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 atau Bank Mualamat 14010007654717.
No comments
Post a Comment