NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Risiko jika 'pembelot' sabotaj Belanjawan 2021

Peta Sokongan Bajet 2021 di Parlimen, 26 November 2020. Syukur rakyat dapat manfaat, berfungsi Kerajaan Prihatin.
Khamis lalu, tamatlah sudah sesi perbahasan usul untuk Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Mulai kelmarin, maka bermula sesi jawapan oleh kementerian serta penggulungan oleh Menteri Kewangan yang boleh dianggap mengambil kira semua cadangan diutarakan sepanjang sesi perbahasan dua minggu lalu.

Soalan cepu emas kini semakin kuat berlegar dalam sebilangan kelompok kecil politikus dalam kumpulan inti (core) mahupun dalam kumpulan sampingan atau luaran, termasuk penganalisis politik dari universiti tempatan yang aktif.

Apakah usul belanjawan yang dibawa oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditunjangi Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan diluluskan di Dewan Rakyat, atau mungkinkah usul ini akan diketepikan kerana gagal mendapat undi majoriti ahli Dewan untuk diluluskan?

Jika dilihat amalan lalu, persoalan ini tidak pernah timbul. Undi yang dijalankan adalah secara amalan kebiasaan, iaitu melalui pertanyaan daripada Speaker Dewan Rakyat - "Siapa yang bersetuju kata bersetuju" - maka seluruh Dewan Rakyat akan bergema dengan perkataan "bersetuju".

Kemudian disusuli soalan kedua, "sesiapa yang tidak bersetuju kata tidak" dan seperti kebiasaannya, tiada suara atau mungkin ada dua tiga suara yang menyebut "tidak".

Akhirnya, Speaker akan membuat rumusan, "Lebih suara yang bersetuju. Maka dengan ini Rang Undang-Undang Perbekalan Bagi Tahun 2021 diluluskan".

Namun, desas-desus yang kita dengar hingga hari ini semakin kuat bertiup. Ada menyebut kemungkinan akan timbul keadaan yang mana Rang Undang Undang Belanjawan pada tahun ini tidak diluluskan. Ini lebih kepada suatu spekulasi, sesuatu yang tidak pasti.

Realitinya, kedudukan ini amat berkaitan dengan pergolakan politik semasa negara, apabila wujud keadaan yang mana kerajaan PN yang memerintah sekarang mendapat undi majoriti yang amat kecil, iaitu tiga undi sahaja berbanding parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang pernah membentuk kerajaan sebaik mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 10 Mei 2018.

Hal ini terbukti melalui peristiwa undian di Dewan Rakyat melalui satu usul oleh kerajaan PN untuk melantik Speaker yang baharu. Ia dijalankan secara undi berbelah bahagi, setiap orang mengundi secara sulit mengikut pertimbangan peribadi masing-masing.

Pun begitu, konteks undi dalam urusan memilih Speaker Dewan Rakyat beberapa bulan lalu berbanding undi untuk meluluskan Usul Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 adalah dua perkara berbeza.

Belanjawan tahunan adalah sesuatu yang wajib dan amat diperlukan oleh sesebuah kerajaan yang memerintah supaya jentera kerajaan terus berfungsi. Ia berada di bawah kategori Pengurusan.

Anggota tentera yang mempertahankan negara, pasukan polis yang menjaga ketenteraman awam, seluruh kakitangan kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan, Pejabat Tanah dan Daerah, sektor pendidikan dan pelbagai lagi.

Kumpulan ini adalah kakitangan awam yang dibayar gaji bulanan oleh kerajaan yang membeli tenaga atau perkhidmatan mereka.

Logiknya, jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan, tidak akan ada gaji untuk mereka. Mana mungkin ini boleh berlaku - khidmat serta tenaga diperlukan, tetapi upahnya tiada?

Pada masa lalu juga, bukan setakat anggota Parlimen daripada parti pemerintah sahaja yang menyokong Rang Undang Undang Perbekalan dibentangkan, malah seluruh anggota parti pembangkang turut menyokong.

Dalam hal ini, semua menyedari tanggungjawab masing-masing sebagai wakil yang diberi amanah dan dipilih oleh rakyat yang perlu memastikan bahawa dalam apa keadaan sekali pun, jentera kerajaan mesti sentiasa berfungsi.

Keadaan lebih mendesak kini ketika negara berada dalam keadaan 'darurat keselamatan' apabila nyawa rakyat jelata masih dalam keadaan terancam oleh sebab penularan pandemik COVID-19 yang masih berbahaya.

Walau apa pun keadaannya, beberapa parti dalam kem PN seperti Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta komponennya di Sabah dan Sarawak, sudah membuat ketetapan untuk menyokong Rang Undang Undang Belanjawan ini.

Kita berharap, hal sama akan turut berlaku dalam kalangan kem pembangkang.

Jika pun tidak atas nama parti seperti DAP, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) serta lain-lain dalam PH memberikan sokongan secara terbuka, kalangan ahli Parlimennya secara individu akan turut mengundi menyokong Rang Undang Undang Perbekalan ini.

Adalah suatu perkara yang amat luar biasa, lagi malang serta keanehan jika Rang Undang Undang Perbekalan 2021 ini tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen seperti amalan kebiasaan di Dewan Rakyat, serta terpaksa ditolak.

Lebih malang lagi jika kekurangan undi majoriti ini disebabkan oleh seorang dua daripada parti komponen PN sendiri yang tidak mengundi atau mengundi tidak menyokong atas alasan apa sekali pun.

Sudah tentu, mereka ini boleh disifatkan sebagai 'pembelot ' yang melakukan 'sabotaj' terhadap seorang Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan Yang di-Pertuan Agong selepas baginda membuat suatu tinjauan yang amat teliti serta suatu pertimbangan yang paling bijaksana.

Penulis adalah Ketua Kluster Kajian Etnografi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo