NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Politik Malaysia masih acuan pemimpin 80-an

Oleh DATUK DR. AHMAD FARIS ABDUL HALIM 

DI ambang pilihan raya umum (PRU) ke-14 sekitar Mac, April sebelum menjengah hari pengundian 9 Mei 2018, warga kawasan-kawasan bandar atau urban area banyak bercakap soal good governance (tadbir urus yang baik).

Menjadi-jadi isu ketirisan dalam setahun dua itu, dakwa mereka yang diperbualkan hangat dalam media sosial. Demikian tidak kurang hebatnya cakap-cakap hal rasuah, penyelewengan sana sini semasa siri perjumpaan masyarakat termasuk waktu kenduri-kendara dan majlis kahwin.

Malam 9 Mei tahun itu, sebahagian besar pengundi urban area di seluruh negara memberi mandat kepada Pakatan  Harapan (PH) memerintah. Ia diiringi dengan keyakinan dan kepercayaan tinggi PH akan memperbaiki Tadbir Urus tadi.


Tetapi dakwa mereka, semuanya indah khabar dari rupa. Runding Terus (Direct nego ), sewenang-wenang bagi kepada kawan-kawan dan satu dua lagi istilah yang dikaitkan isu ketirisan terus berlaku. 

Rakyat jadi muak, sekali gus dibuktikan dalam siri pilihan raya kecil (PRK) pusingan kedua 2019 dengan kekalahan teruk 0-7 ke atas parti-parti bernaung bawah PH kepada Barisan Nasional/PAS.

Kemudian, apabila jatuh kerajaan PH susulan peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Februari tahun ini, rakyat khususnya orang Melayu menaruh harapan lagi. Iaitu dengan kepercayaan kepada kerajaan baharu yang dapat terus memperbaiki good Tadbir Urus berkenaan. 

Malangnya, terus menambah  lagi koleksi kekecewaan rakyat apabila terperangkap dengan ancaman pandemik Covid-19 yang sudah pun masuk bulan kelapan sejak Mac. Mutakhir ini pula rakyat terpaksa melalui liku-liku kemelut politik yang tidak berkesudahan. Padahal kerajaan inilah digantung harapan. Sudah ada bibit-bibit hilang keyakinan. 

Dengan simptom sebegini, mereka mempersoalkan relevan lagikah pemimpin-pemimpin politik sedia ada ini? Macam mana Malaysia mahu maju ke depan jika ahli-ahli politik ini masih berlegar-legar dalam arena politik hari ini? Bolehkah generasi pemimpin lama ini `mengadaptasinya’? 

Kalau pendekatan-pendekatan untuk generasi muda atau baharu hari ini dipraktikkan, adakah kita masih mahu ikut acuan pemimpin-pemimpin 80-an ini?

Semalam, penulis menerima satu mesej WhatsApp. Begini mesejnya:

Nama-nama pemimpin politik ini saya sudah baca kat  (di) surat khabar sejak saya sekolah menengah lagi.  Sekarang saya sudah ada cucu. Masih lagi nama-nama mereka:

1. Mahathir
2. Najib
3. Anwar
4. Muhyidin
5. Hadi
6. Lim Kit Siang
7. Tengku Razaleigh
8. Lim Guan Eng                             
9. Hishamuddin                                                    

Masa saya sekolah dulu saya ingat nama dua orang Presiden Amerika  ialah Ronald Reagan dan Jimmy Carter. Di UK, Perdana Menterinya ialah Margaret Tatcher.  Di Indonesia, Suharto. Di Filipina, Marcos. Di India, Indira Ghandi. Singapura Lew Kuan Yew.  Di Jepun, Nakasone. Di Mesir, Anwar Sadat.

Hari ni dalam pentas politik dunia, orang tak sebut dah nama-nama ini semua. Mereka sudah terlalu usang. Ramai yang sudah tidak ada pun. Tapi di Malaysia masih lagi dengan nama-nama yang sama memenuhi ruang akhbar bicara pasal politik negara.

Nampakkah  betapa lambatnya politik negara kita ni bergerak.  Macam sudah tidak ada orang lain.”

Kita tinggalkan sebentar mesej whatsapp tersebut untuk anda fikirkan. 

Penulis sebenarnya  turut terpanggil untuk membawa pengalaman pilihan raya negeri (PRN) Sabah 26 September lalu. Ramai pemimpin lama atau `kitar semula’ bertanding.

Antaranya, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Padikar Amin Mulia; bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

USNO ‘baharu’ contohnya yang cuba dikembalikan Pandikar Amin dalam pilihan raya moden itu ditempelak oleh Amir Kahar, anak pengasas USNO  dan pembawa UMNO ke Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun.

USNO ditubuhkan pada 1961 oleh Datu Mustapha, yang juga digelar Bapa Kemerdekaan Sabah. 

Biarpun Amir Kahar mendesak kepimpinan USNO yang baharu itu memohon maaf kerana menggunakan nama serta legasi bapanya, Pandikar Amin tidak ambil peduli.

“Gambar Tun Datu Mustapha adalah hak awam yang turut terdapat dalam arkib,” kata Pandikar Amin.

Pandikar Amin menampilkan 47 calon daripada USNO mempertaruhkan nasib dalam PRN tersebut termasuk dirinya sendiri di DUN Pintasan. Akibatnya, USNO ‘baharu’ dimalukan, kalah kesemua kerusi. Nasib sama menimpa Anifah. Tewas seluruh 73 kerusi yang ditandingi Parti Cinta Sabah (PCS)  diketuainya selain di Bongawan yang ditandingi.

 Kat Kiat yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup Parti Liberal Demokratik (LDP) turut  kecundang di Inanam. Bahkan saingan parti itu di Inanam, ikut sama 45 calon LDP lain yang  tidak  diterima rakyat Sabah.

Adakah nasib pemimpin kitar semula ini akan menjangkit pula di Semenanjung untuk PRU-15 nanti?

Terlintas juga di mata penulis tentang parti orang muda  atau “Muda” yang ingin  sangat ditubuhkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Dari segi karismatik bekas ketua armada Parti Bersatu ini `kelihatannya ada’. Orangnya pula hensem dan menjadi tempekan foto  anak gadis dalam instagram dan Facebook mereka.

Perjuangan Muda pun bagus. Mahu menjadi platform politik yang bebas, dipimpin orang muda, berbilang kaum dan bebas daripada politik wang. Cuma yang kurangnya, Syed Saddiq `dikelilingi’ kontroversi personaliti turun naik. Kejap main golf dalam pejabat, sekejap lagi pula panjat pagar.  Aduhai, macam-macam.

Penulis yakin rakyat Malaysia kali ini telah cukup bersedia untuk memilih calon mereka dengan berhati-hati dan teliti. Jumlah 14.9 juta pengundi berdaftar dalam PRU-14 pun kini sudah mencecah 15, 038, 269 orang menurut rekod dinyatakan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr. Azmi Sharom kepada Utusan Malaysia 10 Ogos lalu. 

Bahkan, tambah menarik lagi, Dr. Azmi mengesahkan pendaftaran automatik pengundi seawal 18 tahun pun sudah sedia dilaksanakan oleh SPR mulai Julai tahun depan. 

Adakah pengundi Malaysia yang ketika ini penulis juga percaya sudah  cukup muak dengan isu politik yang tidak berkesudahan? Sudah tentulah. Pilih kerajaan baharu 9 Mei 2018 tapi hanya bertahan 22 bulan; kemudian kerana kedudukan majoriti goyah hanya satu dua kerusi jadi `tali penyelamat’, bercakaran pula hingga kini berebut kuasa. Nasib baiklah kita masih ada Yang di-Pertuan Agong sebagai kuasa pengimbang.

Kini terserah kepada pengundi dan parti politik masing-masing. Adakah harus  dilayan lagi kehendak  pemimpin tahun 80-an dan calon ‘kitar semula’  untuk ‘tumpang tui’. Bak kata orang Kedah, jangan sampai pengundi tengok pun ‘cemuih’ atau jemu - kelolo, hemoi, tak perongoih  sebaliknya senang didampingi.  

Pada PRU-15 nanti, berani-beranikan lah untuk tampilkan calon yang wataknya adalah ‘Calon Rakyat’   yang relevan dengan Malaysia moden dan dunia hari ini.

Tolehlah sebentar lihat negara-negara yang sudah berubah angin memilih pemimpin-pemimpin muda -  Sanna Marin yang berumur 34 tahun (Perdana Menteri Finland, Disember 2019); Fritz William Michel, 40,  (Perdana Menteri Haiti, Julai 2019) dan Nayib Bukele, 39, (Perdana Menteri El Salvador, Februari 2019).

Begitulah juga dengan Jacinda Ardern, 40  (berusia 37 tahun semasa menjadi Perdana Menteri New  Zealand 2017); Obama , 47 (Presiden Amerika Syarikat ke 44 tahun 2008); Emmanuel Macron, 43 (berusia 40 tahun semasa terpilih Presiden Perancis pada 2017) dan Justin Trudeau, 48 (berumur 43 tahun sebagai Perdana Menteri Kanada pada 2015).

Renungkan sejenak. Fikir-fikirkanlah.

***DR. AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah Penganalisis isu-isu semasa

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo