NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kucing Dengan Sembilan Nyawa


Oleh ZULKIFLI JALIL

SANA sini semalam ramai rakan pm tepi saya memaklumkan seperkara yang terjadi dalam seminggu dua ini. Iaitu rundingan demi rundingan dibuat oleh beberapa parti politik andai kata ada sebuah parti dalam kerajaan tarik balik sokongan, sekali gus undur diri.

Tapi balas saya kepada orang itu, pegang satu ini sahaja, yakni politik Malaysia hari ini sukar 
sangat dibaca. Berubah bukan setiap lima tahun lagi, tidak juga setiap tahun atau bulan, tapi bertukar setiap dua, tiga jam sehari.

Bak perumpamaan kucing mempunyai sembilan nyawa. Begitulah ibarat orang-orang politik negara ini - tentang persepsi dalam seni meraih pengaruh dan kuasa untuk mentadbir. Setelah anda menjadi politik type-cast, persepsi itu terus berkembang dan amat susah untuk dihapuskan.

Dengan kerajaan bergantung kepada satu dua kerusi Parlimen untuk kuasa majoriti hari ini, 
kedudukannya goyah sehingga merencatkan hasrat sebahagian pelabur jaminan kerajaan tidak bertukar tangan.

DAFTAR AUTOMATIK

Di sisi lain dalam kalangan lingkungan umur 18 tahun hingga 30-an, saya turut merasai bimbang perasaan nasionalis kelihatan tidak ada lagi dalam diri mereka. Kelompok ini lebih bertumpu soal mengurus kejayaan. 

Kumpulan kategori umur ini saya percaya akan membuat perubahan drastik terhadap politik tanah air. Kalau tidak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, paling lewat pun PRU-16.

Tambah lagi pula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah berikan kepastian untuk melaksanakan sistem pendaftaran pengundi automatik mulai Julai 2021. 

Kata Timbalan Pengerusinya, Dr. Azmi Sharom kepada saya Ogos lalu, selepas tarikh itu pengundi berumur 18, 19 dan 20 tahun akan didaftarkan secara automatik. Demikian jugalah dengan sesiapa sahaja yang belum berdaftar – dianggarkan kira-kira empat juta orang ketika ini – akan didaftarkan secara automatik.

Jadi, adakah pemimpin – pemimpin muda hari ini akan menjadi galang ganti mengetuai 
kepemimpinan negara masa depan khusus dalam PRU-16 kelak? Siapa? Khairy Jamaluddin, Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli, Shahril Su an Hamdan, Asyraf Wajdi Dusuki, Fahmi Fadzil atau Nik Nazmi Nik Ahmad? Atau sesiapa sahaja, satu dua dalam kerajaan hari ini yang boleh deliver hingga sepenggal dua lagi. 

Maka sebab itu menteri-menteri sedia ada sekarang mesti buktikan mereka bukan pemimpin ‘pasang siap’. Dalam cabaran dunia masa kini, lengkap dengan arus revolusi industri (RI) yang bakal mendatang tahap 5.0 pula, siapa pun yang mengetuai kementerian tidak lagi sekadar pemimpin yang separuh masak. Jika portfolio yang disandang berpaksikan rakyat, serlahkanlah daya upaya anda. Tunjukkan kebolehan dan benarkan diri menjadi ingatan rakyat selalu. 

BISA

Kehidupan seorang menteri umpama roda di dalam roda yang saling berputar. Dengan naluri politiknya, dia akan melicinkan proses Parlimen dan kelebihan eksekutif dalam mengejar kesejahteraan orang ramai yang diwakilinya. 

Dalam kata lain, seorang menteri itu memusing roda kemewahan untuk orang ramai yang telah memilihnya untuk mewakili mereka di dalam Parlimen. Menteri merupakan penjaga dasar di dalam kementeriannya.

Di antara 1999 dan 2003, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerap mengulangi kepada menterinya bahawa mereka harus terus mengendali kementerian masing-masing secara langsung. Menteri-menteri dikehendaki mengambil berat mengenai hal-hal dan masalah yang timbul di kementerian masing-masing agar boleh mencari jalan penyelesaian dengan pantas. Dr. Mahathir mahukan kerja-kerja diselesaikan semalam, sebelum muncul hari berikutnya.

Kekadang bila terlintas di depan mata kelibat seorang dua menteri di masa lepas, saya terkagum sebentar. Bukan kerana setakat wibawa mereka sahaja tetapi bakat semula jadi dan tarikan personaliti yang ada. Senang cakap, ‘bisa’ mereka itu.

Ada ketika meskipun dalam iklim politik penuh dengan ketegangan dan tidak menentu, mereka masih boleh bikin ‘lawak kering’ hingga tak kering gusi kami wartawan dibuatnya. 

Begitupun mereka penuh karismatik dengan soalan diajukan dijawab dengan fakta berbaur sinikalnya.Mendiang Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik misalnya dikenali sebagai menteri ‘air liur’. Bukan bermaksud mendiang hanya pandai berjanji tetapi kerana air liurnya sering tersembur ketika bercakap atau berucap. Mendiang menyedari hal ini hingga boleh membezakan wartawan di depannya itu wartawan baharu ataupun wartawan senior: “You mesti reporter baharu sebab ‘berani’ duduk depan saya, reporterlama mesti mau duduk jauh punya,” tergiang-giang di telinga saya usikan mendiang sekitar tahun 90-an.

Datuk Seri S. Samy Vellu (kini Tun) lebih kurang macam Keng Yaik. Beliau pasti melayan dan menjawab setiap soalan wartawan biarpun ada ketikanya lif yang membawanya beredar hampir tertutup.

“Tol naik sikit, marah sama saya. You ingat ini semua tol saya punya bapak punya kah?,” kata Samy Vellu dalam nada seloroh, hingga rakan-rakan media tergelak besar.

STEREOTAIP

Ya, saya akui zaman sekarang untuk tugas seorang menteri begitu mencabar, apatah lagi dengan musibah tidak disangka-sangka, pandemik Covid-19 ini. Namun waima apa pun, anda menteri harus deliver. Jangan berperibadi lemah dan kurang meyakinkan.

Pada zaman Kesultanan Melaka ratusan tahun dulu, menteri sebenarnya sebahagian dari anggota majlis eksekutif Sultan. Dan mereka mestilah seorang yang bijak berpolitik. Disebabkan ketika itu tiada pilihan raya, kelayakan mereka tertakluk kepada keupayaan 
peribadi seseorang untuk meyakinkan Sultan bahawa beliau mempunyai kebijaksanaan dan kewibawaan seorang pemimpin.

Sejarah Melayu sering menggunakan pantun untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik:
 
Kalau mencari tempat mandi
Pertama teluk kedua pantai
Kalau mencari pemimpin negeri 
Pertama elok kedua pandai.

Perkataan-perkataan bijak dan berani merupakan ciri-ciri kelayakan untuk menjadi seorang menteri, selain daripada sifat setia dan jujur. Nilai yang lain adalah kesanggupan seorang menteri meletakkan rakyat dan negara sebelum dirinya sendiri.

Realitinya dalam politik semasa negara ini, kira-kira 45 peratus pengundi dalam lingkungan umur 21-45 tahun telah membuktikan mereka kurang menerima gaya politik politik yang stereotaip. Salah satunya adalah kerajaan le bih tahu apa yang baik dan semua perkara datang dari atasan sahaja - yang mana fahaman politik ini berlawanan daripada golongan dewasa berumur 50-70 ke atas.Inilah cabaran yang harus diharungi mana-mana ahli politik dalam era Malaysia 

Baharu ini. Apa lagi dalam kemelut politik hari ini. Masing-masing ahli politik kena pandai bawa diri - ibarat kucing yang memiliki sembilan nyawa.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo