Saudara Pengarang
Selepas pelbagai andaian, malah ada juga ugutan, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 akhirnya berjaya diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat pada 26 November lalu.
Seperti jutaan rakyat Malaysia yang lain, saya juga mengikuti sesi penggulungan RUU berkenaan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan penuh debaran.
Berdebar kerana bimbang Belanjawan 2021 menjadi mangsa politik sehingga gagal meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk diluluskan.
Berdebar dan bimbang kerana lebih awal lagi sudah ada segelintir Ahli Parlimen ‘menderhaka’ titah Yang di-Pertuan Agong supaya Belanjawan 2021 tidak dipolitikkan.
Debaran saya pada awalnya, kemudian kian berkurangan apabila melihat Tengku Zafrul membuat penggulungan dengan penuh tenang, menyentuh perkara-perkara yang menjadi tumpuan perbahasan dan menyatakan sikap terbuka kerajaan yang sedia mendengar, meminda dan menambah baik apa juga perkara yang diperlukan untuk bajet tahun depan.
Saya lega apabila jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Belanjawan 2021 jauh lebih ramai. Hanya 13 Ahli Parlimen berdiri mahukan proses undi belah bahagi.
Kelegaan itu hadir bersama rasa bangga kerana blok pembangkang diketuai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyerlahkan politik matang, menolak cubaan menggunakan ‘veto’ bagi menggagalkan RUU berkenaan.
Sokongan majoriti itu adalah bukti Belanjawan 2021 dirangka demi rakyat dan negara, mengambil kira situasi semasa dan apa yang perlu kerajaan lakukan dalam tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang.
Saya percaya majoriti rakyat juga senada dengan majoriti Ahli Parlimen bahawa Belanjawan 2021 adalah antara yang terbaik – jika tidak sebagai yang terbaik -pernah dibentangkan dalam sejarah negara kita.
Saya katakan demikian kerana ‘panglima’ barisan hadapan kita, iaitu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, seperti dilaporkan media sudah terlebih dahulu meletakkan harapan tinggi, dalam nada rayuan meminta agar bajet negara untuk tahun depan mendapat sokongan dan diluluskan Dewan Rakyat.
Alhamdulillah, urusan mendapatkan sokongan di peringkat dasar dipermudahkan, namun kini timbul pula kegusaran dengan nasib belanjawan dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa sehingga 15 Disember depan.
Gusar kerana ada ura-ura ia akan digagalkan di peringkat jawatankuasa pula. Adakah niat untuk menggagalkannya semata-mata kerana politik, mahu digagalkan semata-mata mahu melihat ia gagal?
Saya tidak nampak sebab-sebab mengapa tindakan itu perlu kerana Tengku Zafrul sudah memberi jaminan bahawa kerajaan bersikap terbuka, sedia mendengar pandangan dan membuat pindaan apa yang perlu terhadap belanjawan berkenaan.
Cukuplah-cukuplah berpolitik, letakkan rakyat pada puncak kepentingan. Sama-samalah membantu kerajaan menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang kita hadapi akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
Jangan sabotaj benda yang baik, usah diulangi kisah Si Kitol yang membelot dan menghancurkan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, tapi kali ini menjejaskan usaha melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat serta memulihkan ekonomi negara.
Bersabarlah jika mahu berpolitik, tunggulah pilihan raya umum kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun sudah berjanji akan mengembalikan mandat kepada rakyat sebaik Covid-19 tidak lagi mengancam.
Hassan Baharuddin
Kuala Terengganu
Terengganu
Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/11/30/jangan-ulangi-kisah-si-kitol-sabotaj-usaha-bela-rakyat-pulih-ekonomi/
No comments
Post a Comment