NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Islam di Perancis - Islamophobia

Sejak beberapa hari ni, ramai bertanya saya tentang keadaan sebenar apa yang berlaku di Perancis.

Saya mohon maaf sebab hanya berdiam diri, kerana saya ingin menunggu kenyataan rasmi organisasi Muslims of France (Musulmans de France), Majlis Ulama dan kenyataan Imam-Imam Perancis.

Walau pun saya telah lama tinggal  di Perancis, tetapi bagi saya rakyatnya lebih memahami akan urusan negara mereka sendiri berbanding seorang penumpang seperti saya.

Sebenarnya keadaan Islamophobia di Perancis adalah sangat rumit untuk diringkaskan, kerana ia adalah hasil daripada satu pengalaman yang panjang.

Kata ulama terkenal Perancis, Syeikh Dr Tariq Ramadan, kita perlu kembali ke zaman raja monarki, kemudian ke zaman kolonial, sebelum ke zaman moden Perancis, agar boleh memahami peristiwa ini.

Secara ringkas, Perancis asalnya merupakan negara barat yang paling kuat beragama pada zaman dahulu. Kuatnya pengaruh mereka sehinggakan Pope di Vatican hanyalah boneka raja Perancis.

Tetapi setelah sekian lama, akhirnya agama telah mengecewakan mereka. Puluhan peristiwa berlaku seperti penipuan Raja Philip IV sehingga terbubarnya Knights Templar, peperangan 300 tahun atas nama agama dan kezaliman agamawan yang hidup bermewah tanpa memikirkan kemiskinan rakyat marhaen.

Pengalaman selama ribuan tahun ini mengakibatkan hilangnya kepercayaan rakyat kepada golongan agamawan. Lalu lahirlah konsep LaĆÆcitĆ© iaitu Sekularisme di Perancis, di mana agama dipisahkan daripada pemerintahan. 

Sekular di sini juga bermaksud kepercayaan agama tetap boleh diamalkan kerana ia adalah hak individu, tetapi tidak boleh dipamerkan di khalayak ramai. Konsep ini terpakai untuk semua rakyat Perancis.

Maka orang Islam tidak boleh memakai purdah / niqab, orang Kristian tidak boleh memakai salib dan orang Yahudi tidak boleh memakai kippah di khalayak ramai.

Saya pernah cerita secara terperinci sejarah Sekularisme di Barat dalam post saya yang terdahulu di Instagram. Secara umum, sistem Sekularisme ada baik dan buruknya di Barat.

Antara kebaikan Sekularisme di Barat ialah Muslim yang merupakan kumpulan minoriti telah dijamin hak mereka dan tidak boleh didiskriminasi oleh undang-undang.

Maka tidak hairan terdapat Imam-Imam Perancis yang menyeru pemerintah untuk menghormati konsep LaĆÆcitĆ© (Sekularisme Perancis) ini, sama seperti mana ulama-ulama di Malaysia menyeru pemerintah menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Sekarang mengenai Islam pula. Kita perlu faham bahawa Perancis mempunyai peratusan Muslim paling ramai di dunia Barat, iaitu seramai 10%.

Untuk memahami konteks, peratusan kaum India di Malaysia hanyalah sekitar 7%. Ini bermaksud kita lebih mudah bertemu Muslim di Perancis berbanding bertemu sahabat India kita di Malaysia.

Tetapi sedihnya, orang Islam Perancis umumnya terpecah kepada 2 golongan: majoriti yang bermanhaj sederhana, dan minoriti yang berfahaman ekstrimis. Para Imam Perancis memanggil golongan minoriti ini sebagai Jemaah Takfiri atau Salafi Jihadist.

Tambahan pula, sejak 10 tahun kebelakangan ini, banyak aktiviti keganasan telah berlaku di Perancis, yang mana kesannya telah mengeruhkan lagi imej agama Islam.

Di bawah ini ialah ringkasan statistik keganasan di France sejak 10 tahun yang lepas:

# 2010 - 3 kejadian, 1 mati
# 2011 - 8 kejadian, 4 cedera
# 2012 - 65 kejadian, 8 mati, 8 cedera
# 2013 - 12 kejadian, 5 cedera
# 2014 - 14 kejadian, 1 mati 15 cedera
# 2015 - 36 kejadian, 161 kematian, 300 cedera
# 2016 - 12 kejadian, 89 mati, 451 cedera
# 2017 - 9 kejadian, 3 mati, 16 cedera
# 2018 - 3 kejadian, 10 mati, 30 cedera
# 2019 - 3 kejadian, 4 mati, 16 cedera
# 2020 - 7 kejadian, 4 mati, 11 cedera

Berdasarkan statistik ini, kita boleh faham bahawa kebimbangan dan ketakutan rakyat Perancis mempunyai asas yang kukuh.

Tambah memilukan kita, suara Muslim yang moderat dan sederhana di Perancis seolah-olah tenggelam dengan amukan media yang memukul rata bahawa Islam adalah agama keganasan.

Kata Imam Hassan Chalghoumi, Imam Besar Masjid Drancy bahawa kita Muslim telah kalah dalam melontarkan suara dan mempromosi kebaikan agama kita sendiri.

Sewaktu saya berforum awal tahun ini dengan Mufti Perancis, Syeikh Mohamed Abdel Aziz Mahmoud Ghonim al-Azhari, beliau berkata bahawa kadangkala banyak tindakan orang Islam Perancis ini telah merugikan agama Islam itu sendiri.

Islam mengajar kita supaya sentiasa berhikmah dalam berdakwah, terutama ketika dalam keadaan lemah dan sedikit. Saya tidak katakan kenyataan President Emmanuel Macron adalah tepat kerana sudah tentu ucapannya telah mengguris hati umat Islam.

Tetapi saya katakan biarlah kita berlawan dan berprotes dengan saluran yang tepat, bukan dengan keganasan. Mesej perlu diberi dengan tegas, jelas dan berhikmah.

Hargai dan hormatilah jasa para ulama Eropah, yang bersusah payah memerah otak untuk mengsyi'arkan agama Islam di sebuah bumi yang asing. Perjuangan ini bukan dihampar dengan permaidani merah.

Buat para sahabat yang ketawa dan mem'padan muka'kan peristiwa ini, ingatlah apa yang saya beritahu tadi, bahawa Muslim di Perancis adalah Muslim teramai di dunia Barat.
.
Kebanyakan mereka walau pun berkerakyatan Perancis, tetapi sebenarnya ramai daripada mereka dari segi genetik keturunan, berasal dari benua Arab Afrika (Morocco, Algeria, Tunisia, Libya etc).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kenyataan di media-media sosial, dan berlaku banyak konfrontasi di jalanan, untuk menghalau Muslim pulang ke negara asal mereka.

Hal ini meresahkan hati mereka kerana mereka adalah rakyat Perancis yang sah, bukan rakyat mana-mana negara lain.

Tidak seperti saya, jika berlaku apa-apa kejadian tidak diingini, saya sentiasa boleh pulang ke Malaysia pada bila-bila masa.

Buktinya sewaktu pilihan raya umum 2017, penentang utama jawatan Presiden Perancis, Marie Le Pen telah menjadikan agenda penghapusan Islam sebagai modal utama kempen politik beliau.

Sebab itu para Imam Perancis telah mengarahkan rakyat Muslim Perancis untuk menyokong Emmanuel Macron pada waktu tersebut, melihat kepada mudarat yang lebih ringan.

Keadaan Muslim di Perancis sama seperti kata pepatah Melayu, keluar mulut harimau, masuk mulut buaya, ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Alhamdulillah, rakyat Perancis secara umum telah menolak politik kebencian yang cuba dibawa, menyebabkan kempen anti Islam tersebut mentah-mentah dibakul sampah oleh rakyat. Alangkah indahnya jika mereka semua ini Muslim.

Tetapi orang bijak pandai akan nampak yang bibit-bibit kehancuran sudah mula sedikit demi sedikit terzahir, seolah-olah bom jangka yang menunggu masa untuk meletup jika tidak dirawat.

Sebab itu kami penduduk muslim di Eropah menyeru dunia untuk lebih memfokuskan agenda menzahirkan dan melonjakkan suara kesederhanaan ini, dan melawan kegilaan media, daripada mengecam tanpa mengetahui konteks dan realiti di Perancis.

Di samping itu, mesej yang tegas perlu diberi kepada kerajaan agar tafsiran konsep LaĆÆcitĆ© (Sekularisme Perancis) tidak disalah guna sebagai tiket menyebarkan kebencian dan permusuhan antara rakyat.

Saya bersetuju dengan kata-kata Dr Khaliesah Kamal, bahawa kerajaan Perancis adalah sangat pemurah, adil dan saksama, tanpa mengira warganegara, bangsa dan agama, menjadikan kami selesa berada di tanah air kedua kami ini.

Akhir kata,

Je suis musulman. L'Islam est parfait, pas moi. Si je fais une erreur, rejetez la faute sur moi, pas sur ma religion!

(I am Muslim. Islam is perfect, not me. If I make a mistake, blame it on me, not my religion!)

Doakan sahabat-sahabat se-akidah kalian di bumi bersejarah ini dengan penuh kebaikan dan kekuatan.

Sekian,

Solehin Ismail
Khamis, 20/10/2020
Bandar Grenoble,
Pergunungan Alps, 
France

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo