NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Implikasi besar jika Belanjawan 2021 tidak lulus

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat jika tidak diluluskan boleh menyebabkan ketidaktentuan dalam konteks keselamatan dan sosial negara, kata Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu A Aziz.

Beliau yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata jika Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 itu tidak diluluskan, implikasinya adalah sangat besar, serius dan berbahaya.

Katanya, kerajaan tidak dapat menggunakan wang perbendaharaan negara dan akan memberi kesan yang amat besar kepada rakyat terutama penjawat awam dan pihak swasta yang berhubungan dengan kerajaan seperti kontraktor.

"Sekiranya tidak diluluskan, maka ada masalah untuk kerajaan menjalankan urusan pentadbiran negara, pembayaran gaji kakitangan awam dan usaha berkaitan pembangunan serta menangani pandemik COVID-19, selain usaha memulihkan keadaan ekonomi akan menjadi masalah," katanya pada program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.

Shamrahayu berharap semua Ahli Parlimen boleh berkompromi dan bertoleransi untuk memastikan belanjawan tersebut diluluskan demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara.

"(Bayangkan) Situasi jika penjawat awam tiada gaji, tentunya implikasinya lebih besar, daripada apa yang dihujahkan oleh Ahli Parlimen yang tidak mahu menyokong RUU ini.

"Secara lurusnya, kita perlu luluskan RUU ini, mengimbangi kesan ekonomi terhadap rakyat Malaysia terutamanya penjawat awam dan kehendak-kehendak yang dituntut oleh Ahli-ahli Parlimen yang menyuarakan pandangan mereka untuk tidak mahu menyokong RUU ini," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan mengenai kemungkinan Belanjawan 2021 tidak diluluskan selepas Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengemukakan beberapa tuntutan sebagai sokongan bersyarat kepada Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 6 November lalu.

Antara tuntutannya ialah membenarkan pengeluaran simpanan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelanjutan moratorium pinjaman institusi kewangan, selain mempertikaikan cadangan mengembalikan semula Jabatan Hal Ehwal Khas Jasa (JASA) dengan peruntukan besar. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo