NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Impak Biden Kepada Politik Antarabangsa

Trump kalah. Jadi dunia akan lebih aman ke? Apa impak yang akan Joe Biden bawa kepada politik antarabangsa?
Kita recap dulu dasar-dasar luar Trump sepanjang 4 tahun yang lepas:
  1. Mengubah dasar pro-perdagangan bebas dan globalisasi: menarik US keluar dari perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPP), merunding semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) antara US, Canada dan Mexico. Menaikkan tarif (cukai) ke atas barangan import terutamanya barangan China.
  2. Menarik US keluar dari institusi antarabangsa yang dianggap tak menepati kepentingan US: Paris Agreement (pasal perubahan iklim), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan terkini Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
  3. Mencari gaduh dengan China: menyekat teknologi 5G Huawei, menyekat TikTok. Menubuhkan pakatan Indo-Pacific dengan Jepun, India dan Australia untuk mengekang pengaruh China. Sokong Taiwan lawan China (enemy of my enemy is my friend).
  4. Menjadi presiden US pertama yang berjumpa dengan pemimpin Korea Utara (Kim Jong-un). Dengan berbaik-baik dengan Korea Utara yang merupakan sekutu dan jiran China, Trump harap dapat memberi tekanan maksimum kepada China.
  5. Meredakan ketegangan dengan Russia: hubungan US-Russia tidak lagi setegang zaman Obama. Hubungan US dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pula jadi makin renggang sebab kepentingan strategik NATO untuk mengekang kuasa Russia berkurang.
  6. Menarik keluar tentera US di Syria, Iraq dan Afghanistan. Pembunuhan Abu Bakar al-Baghdadi kepala ISIS menjadikan US tidak lagi perlu stay di Syria dan Iraq. Berdamai dengan Taliban supaya US boleh berundur dari Afghanistan.
  7. Menyatukan Israel dan negara-negara Arab bagi menentang Iran. Mengiktiraf pendudukan Israel ke atas Jerusalem dan Lembah Sungai Jordan. Menarik US keluar dari perjanjian nuklear dengan Iran tahun 2015. Kenakan sekatan ke atas Iran, membunuh Qasem Soleimani untuk paksa Iran berunding semula.
Selain No. 3 dan 7, elit dasar luar (foreign policy establishment) di US anggap semua dasar Trump ni dasar palatao, bid’ah dalalah.

Elit dasar luar ini termasuk kakitangan kementerian luar (States Department), pertahanan, CIA, ahli akademik yang menjadi pakar runding kerajaan atau media (macam Fareed Zakaria, Ian Bremmer).

Selama 70 tahun yang lepas, majoriti elit dasar luar US ini terdiri daripada golongan “liberal internationalist” yang berpegang kepada “liberal internationalism”, iaitu set kepercayaan bahawa prinsip-prinsip seperti perdagangan bebas, penyebaran demokrasi akan membawa kepada keamanan dunia.

Liberal internationalism muncul semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918), apabila Presiden Woodrow Wilson (1913-1921) membawa US masuk ke perang.

Sebelum itu, US mengamalkan dasar “isolationism”. Tak ambil tahu pasal hal dunia, hanya jaga kepentingan sendiri dan perkembangan rantau terdekat (rantau Amerika).

Tapi Wilson nak US mainkan peranan lebih besar untuk “make the world safe for democracy”.

Wilson mencadangkan sebuah Liga Bangsa (League of Nations) ditubuhkan selepas WW1 bagi kawal tindak-tanduk negara. Tapi idea Wilson ni tak dapat sambutan di kalangan rakyat US yang masih isolationist. US tak jadi join Liga Bangsa.

US kekal jadi isolationist sehingga Presiden Franklin Roosevelt (1933-1945) membawa US masuk ke WW2 selepas US diserang oleh Jepun pada tahun 1941.

Kali ini, Roosevelt mencadangkan Liga Bangsa 2.0 iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations).

Pemenang WW2 iaitu US, UK, USSR (Russia), China dan Perancis menjadi “policemen” dunia dengan mengetuai majlis keselamatan PBB/UN sebagai ahli tetap yang ada kuasa veto.

Tapi disebabkan US yang cadang dan US paling kuat, US lah policeman paling senior.

Bank Dunia, IMF, WTO (nama asal GATT) juga ditubuhkan. US yang set peraturan. WTO promote perdagangan bebas. IMF promote US Dollar. UN promote norma demokrasi dan human rights seperti yang difahami oleh US.

“Liberal international order” ini menjadikan US adikuasa atau “hegemon” dunia.

Kedua-dua Wilson dan Roosevelt adalah Democrat. Jadi liberal internationalist kebanyakannya ada dalam Parti Democrat.

Republican pula berpecah kepada isolationist (Old Right) yang mahu kekalkan status quo, dan internationalist (New Right) yang sependapat dengan liberal internationalist bahawa US kena jadi polis dunia.

Slowly Old Right (juga dikenali sebagai paleoconservative/paleocon) makin sedikit, New Right (juga dikenali sebagai neoconservative/neocon) makin dominan.

Neocon ini paling dominan zaman George W. Bush. Golongan ini lah yang pakai alasan nak “democratize” Iraq dengan menggulingkan diktator Saddam Hussein.

Berbeza dengan liberal internationalist pakai institusi seperti UN untuk promote nilainya, neocon pakai kereta kebal dan pesawat pengebom.

Tapi matlamat tetap sama. Kedua-dua berpendapat bahawa US ada “tanggungjawab moral” untuk memimpin dunia.

Datangnya Trump, konsensus internationalist ini ditunggangbalik.

Dia gelar penyokong perdagangan bebas sebagai “globalis”, mempotret diri sebagai “nasionalis” yang mendahulukan kepentingan US berbanding kepentingan syarikat multinasional yang mahu perdagangan bebas.

Trump anggap campur tangan US di Timur Tengah tak mendatangkan manfaat: “It is not the duty of US troops to solve ancient conflicts in faraway lands. We are NOT the policemen of the world.”

Liberal internationalist campur tangan sebab “demokrasi”. Neocon campur tangan sebab minyak. Trump tak minat nak sebar demokrasi, dan US dah jadi pengeluar minyak no. 1 sejak 2018.

Bila Trump didesak oleh liberal internationalist dan neocon untuk campur tangan di Syria bagi jatuhkan Assad, Trump setakat pergi serang one-off 2 kali (April 2017 & 2018) untuk cukupkan syarat.

Keputusan Trump untuk keluar Syria membuat menteri pertahanan Jim Mattis letak jawatan. Berdamai dengan Taliban juga membuat penasihat keselamatan John Bolton letak jawatan. Dua-dua ni pro-war.

Trump tak ambil kira faktor ideologi dalam berdialog dengan “musuh” US. Dia pergi berpelukan dengan Putin dan Kim Jong-un yang dianggap sebagai pemimpin autokratik oleh liberal internationalist dan neocon.

Kecuali pendirian pro-Israel tu sama dengan semua presiden sebelumnya. Sebab penyokong Republican ni kebanyakannya Evangelical Christian yang menganggap negara Israel yang didirikan pada tahun 1948 sama dengan Israel dalam ramalan Bible.

Jadi, di mata elit dasar luar, Trump sedang merosakkan liberal international order, dan membolehkan kebangkitan semula Russia yang pernah mencabar US ketika Perang Dingin 1945-1991.

Mereka serang Trump. Mendakwa Trump sebagai boneka Russia, kena beli oleh Putin untuk sabotaj US.

Mula-mula nak impeach Trump kononnya berkomplot dengan Russia untuk menang pilpres 2016. Tapi hasil siasatan Mueller buktikan sebaliknya. Impeachment pasal Ukraine pun tak berjaya.

Jadi mereka nekad menewaskan Trump dalam pilpres 2020. Kalau tak habis status US sebagai adikuasa dunia.

Democrat mencalonkan Joe Biden yang merupakan seorang liberal internationalist untuk lawan Trump dalam pilpres 2020.

Dia ni orang lama “The Establishment”. So kalau dia menang, agenda liberal internationalism akan dihidupkan kembali serta-merta. Tak perlu ada orientasi bagai.

Salah satu sebab Bernie Sanders dipinggirkan sebab dia bukan liberal internationalist, pandangan pun ke arah isolationism macam Trump juga. Cuma dia kurang agresif sikit dan tak pro-Israel.

Biden kira yang terpaling liberal internationalist di kalangan Democrat bersama-sama Hillary Clinton. Obama di tengah-tengah antara Biden/Hillary dan Sanders.

Selaku senator, kedua-dua Biden dan Clinton mengundi menyokong Perang Iraq tahun 2003. Malah Biden ialah pengerusi Jawatankuasa Ehwal Luar di Senate ketika itu.

Walaupun liberal internationalist cenderung kepada institusi dan “peraturan”, tapi diorang tak teragak-agak untuk mengguna kekerasan terhadap musuh/negara yang dianggap tak demokratik.

Malah diorang anggap niat “mempertahankan dan menyebar demokrasi” menghalalkan segala tindakan.

Sebab itu walaupun Obama kritik Bush melancarkan Perang Iraq (antara modal dia untuk serang Hillary masa merebut jadi calon 2008), dia sendiri pun campur tangan di Libya dan jatuhkan Gaddafi atas nama “demokrasi”.

Jadi liberal internationalist dan neocon ini two sides of the same coin saja. Maka tak hairan sejumlah bekas ahli kabinet Bush menubuhkan “43 Alumni for Biden” (43 merujuk kepada Bush sebagai Presiden ke-43) bagi menyokong Biden.

Bekas staf Hillary seperti Susan Rice dan Samantha Power yang merupakan arkitek operasi Libya pun dijangka akan dilantik ke dalam kabinet Biden.
Jadi, Biden akan reverse dasar Trump sebelum ini dengan:

  1. Kembali menyokong perdagangan bebas dan globalisasi, mengekalkan sokongan kepada WTO. Mungkin akan join TPP balik, tapi secara berhati-hati sebab TPP memang tak popular di kalangan pengundi blue-collar.
  2. Kembali menyertai Paris Agreement, WHO dan UNESCO bagi menonjolkan kepimpinan US.
  3. Kembali berseteru dengan Russia. Memperbaiki hubungan dengan NATO (yang dirosakkan di zaman Trump) untuk tekan Russia. Zaman Trump China China China, zaman Biden Russia Russia Russia.
  4. Kurang mencari gaduh dengan China. Bukan tak ada (in fact zaman Obama yang mula bercampur tangan isu Laut China Selatan) cuma perlahan sikit sebab Russia musuh lagi utama. Masih akan menekan China pasal isu human rights di Hong Kong dan Xinjiang.
  5. Tiada lagi bromance dengan Kim Jong-un. Semenanjung Korea kembali tegang.
  6. Kembali sibuk di Timur Tengah. Biden dah kata dia tak akan tarik keluar semua tentera dari Afghanistan dan Iraq tapi akan letak Special Ops (untuk pastikan usaha Bush dan Obama bertahun-tahun tak disia-siakan).
Di Syria, Biden akan teruskan “Assad must go”, lemahkan atau jatuhkan Assad yang merupakan sekutu tegar Russia dan penghalang cita-cita Israel.

Kehadiran US di Syria adalah penting bagi meneruskan dasar Obama-Biden untuk sokong Kurd. Berbeza dengan Trump yang tarik sokongan bagi memperbaiki hubungan US-Turki. Turki pun akan dipaksa untuk buat pilihan antara NATO atau Russia. Zaman Trump boleh lah Erdogan main dua-dua sebab Trump OK dengan Russia.

Biden kemungkinan besar tak akan tarik balik pengiktirafan US terhadap pendudukan Israel di Jerusalem. Benda tu dari zaman Bill Clinton (1993-2001) nak buat, cuma tak ada political will (tak berani lah). Elok lah Trump tolong buat dirty job.

Naib Presiden Kamala Harris pun terkenal sebagai Zionis tegar yang kata akan memberi “unconditional” dan “unbreakable support” kepada Israel, Israel ada “right to defend” (same old same old).

Cuma Biden kata nak join balik perjanjian nuklear Iran. Israel dan Saudi tak berapa happy dengan tu. Dulu lepas Obama sign terus mereka merajuk pergi berkawan dengan Russia. Hasil daripada itu, Russia dan Saudi mula bekerjasama dalam bidang nuklear dan pertahanan.

Biden juga kata dia akan tarik sokongan US kepada Saudi dalam Perang Yaman, walaupun dulu Saudi memulakan perang pun dapat restu Obama-Biden.

Sebab kes pembunuhan Jamal Khashoggi tahun 2018 menyebabkan public outcry di US. Biden sebagai liberal tak boleh anggap tak ada apa-apa macam Trump.

Walau bagaimanapun, Saudi terlalu penting bagi US. Jadi tengoklah macam mana Biden pusing nanti.

Jadi, US di bawah Biden akan kembali ke jalan lama sebelum Trump.

Iaitu US yang suka preach pasal demokrasi dan hak asasi untuk menghalalkan tindakannya, termasuk penggunaan kekerasan, demi capai global dominance.

Berbeza dengan Trump yang tak preach, terus-terang dengan kepentingannya, dan tak obses dengan “US leadership”.

US leadership ni bagus ke tak bagus? Bergantung.

Dalam hal perdagangan dan institusi antara negara, memang kena ada leadership. Bila US yang set rule tapi Trump tak ikut rule, semua orang rasa serabut dan tak tau nak react macam mana. Itu destabilize dunia.

Tapi leadership yang tak dicabar juga mengancam kedaulatan dan kebebasan negara. Zaman Trump kita kurang sikit dengar lecture US. Now benda tu akan kembali.

Cuma Biden akan berdepan dengan banyak kekangan. Senate masih dikuasai Republican. Presiden yang tak dapat control Senate ni “lame duck”, hampir tak berfungsi.

Semangat anti-globalisme yang dibangkitkan oleh Trump walaupun dikalahkan, tapi belum dikuburkan.

The end of US hegemony yang internationalist bimbang mungkin tidak dapat dielakkan jua.

*Penulisan akademik pasal liberal internationalism ni banyak. Yang pro liberal order ni macam G. John Ikenberry, yang anti ni macam John Mearsheimer. Tulisan akademik yang puji dasar luar Trump pun ada, baca Randall Schweller (dia ni prominent scholar, jangan panggil orang profesor kangkung pula).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo