NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Enam kluster penggerak ekonomi digital dan 4IR


10 NOV: Kerajaan kenal pasti enam kluster sebagai komponen utama penggerak agenda ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.

Pejabat Perdana Menteri (PMO), dalam satu kenyataan berkata semua kluster berkenaan bakal dipengerusikan oleh menteri tertentu misalnya Kluster Ekonomi Digital dipengerusikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, Kluster Bakat Digital bakal dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Kluster Masyarakat Digital dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

“Kluster Infrastruktur Digital dan Data dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, manakala, Kluster Baru Muncul dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Manakala, Kluster Kerajaan Digital pula dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Sebuah Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, juga diwujudkan untuk memacu kolaborasi antara pelbagai kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda ekonomi digital dan 4IR yang berpandukan hala tuju pihak Majlis.

“Semua Ketua Setiausaha / Ketua Pengarah yang terbabit dengan keenam-enam kluster dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu mewakili Pengerusi Kluster masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.

Berikutan itu Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara akan mengambil alih peranan hampir semua jawatankuasa berkaitan digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin, sebelum ini.

Selain itu, semua majlis, jawatankuasa dan pasukan petugas digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh menteri, pegawai kanan kementerian dan agensi akan diselaras atau digabungkan di bawah enam kluster yang baru diwujudkan.

Majlis berkenaan turut dianggotai oleh Menteri-Menteri Kabinet berkaitan, wakil sektor awam, sektor swasta, industri dan akademia akan menerajui usaha untuk mengekalkan kelestarian pembangunan Negara dalam arus kemajuan global yang secara umumnya semakin menjurus kepada pendigitalan intensif merentas segala aspek ekonomi dan kehidupan.

“Penubuhan Majlis ini dengan struktur tadbir urus yang bersepadu bakal meningkatkan keupayaan negara dalam mengoptimumkan perkembangan teknologi 4IR dan memastikan pertumbuhan ekonomi digital sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030,” katanya.

Terdahulu ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis berkenaan Muhyiddin menegaskan digitalisasi adalah satu budaya yang kini menjadi antara norma baharu yang perlu diarusperdanakan di semua peringkat termasuk dalam sektor kerajaan, swasta dan masyarakat.

Justeru, segala perancangan, penyelarasan dan pemantauan dasar di peringkat kebangsaan adalah amat penting serta perlu diberi perhatian.

“Pandemik COVID-19 menuntut Kerajaan mempercepatkan pembangunan teknologi 4IR dan pelaksanaan ekonomi digital.

“Sehubungan itu, negara memerlukan suatu dasar yang jelas, usaha dan tindakan bersepadu serta kerjasama yang erat antara semua pihak atau whole-of-nation approach,” katanya.

Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2020/11/10/enam-kluster-penggerak-ekonomi-digital-dan-4ir/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo