NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bebanan Ekonomi Yang Menenggelamkan Iraq



Keputusan dibuat Saddam Hussein pada 2 Ogos 1990 telah meninggalkan kesan yang berpanjangan.

Sejak hari pertama Iraq melancarkan serangan terhadap Kuwait, negara tersebut telah berubah dengan ketara. Iraq senang kata hancur kerana dua peperangan dalam masa yang singkat.

Sudah hampir sembilan tahun sejak Perang Iraq ditamatkan Barack Obama. Namun pentadbiran Baghdad masih gagal membangunkan ekonomi Iraq.

Memang benar Iraq masih bergelumangan dengan hutang luar negara yang dipinjam Saddam (untuk membiayai Perang Iran-Iraq).

Iraq masih mengalami masalah sektarianisme dengan perpecahan dalaman angkara militan seperti ISIL (yang pemimpin utamanya sudah terbunuh).

Walau bagaimanapun, kesuburan industri minyak menunjukkan potensi pembangunan semula buat Iraq.

Secara umumnya Iraq ialah pengeluar minyak kedua terbesar dalam OPEC dan sumber minyak menampung 85 peratus perbelanjaan kerajaan (lebih kurang AS$60 bilion).
Iraq juga berhasrat untuk mengembangkan industri ini agar boleh mendapat dana secukupnya demi pembangunan infrastruktur yang musnah akibat peperangan.

Walaupun dunia sekarang ini berusaha untuk mengurangkan kebergantungan pada bahan api, Iraq terpaksa berharap kerana ini sajalah satu-satunya permata yang boleh mengapungkan ekonomi.

Menurut Menteri Minyak Thamer Ghadhban, kerajaan Adil Abdul-Mahdi sedang berusaha untuk mempelbagaikan ekonomi.

Namun Iraq menghadapi satu masalah besar. Pentadbirannya terlalu berbirokrasi dan kerap mengamalkan korupsi.

Menurut Indeks Transparency International, Iraq berada di tangga 168 dalam kalangan 180 buah negara (berkaitan hal korupsi). Hal ini sebenarnya menghalang aspirasi kerajaan Iraq, dengan sektor keselamatan masih kucar-kacir.

Abdul-Mahdi misalnya berkuasa selama 19 bulan sahaja sebagai Perdana Menteri Iraq. Dalam tempoh itu, seramai 560 orang terbunuh kerana menyertai protes anti-kerajaan.

Bagi mempelbagaikan ekonomi, Iraq perlu mendaulatkan undang-undang supaya negara tersebut kembali relevan. Selagi mana negara ini berdepan dengan krisis keselamatan, tentu sekali tiada pelabur rela memberanikan diri.

Serangan pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa Iraq tidak boleh membuang masa dalam membetulkan keadaan.

Sehingga 29 Oktober 2020, Iraq mencatatkan 459,908 kes positif dengan angka kematian menghampiri 11,000 orang. Dengan konflik dalaman serta korupsi pentadbiran, Iraq tentu sekali berdepan dengan masalah semasa mengagihkan vaksin kelak.

Sumber: https://theoutlook.asia/bebanan-ekonomi-yang-menenggelamkan-iraq


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo