NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bagaimana Bahasa Arab Membina Tamadun Islam



oleh: Abdullah Hassan

Semasa Islam menakluki wilayah Afrika utara, Farsi, Siria, sebahagian daripada empayar Bezantin, dan Sepanyol, wilayah ini sudah mempunyai tradisi intelektual yang tinggi. Mereka mewarisi tradisi ini daripada sarjana Yunani. Falsafah (dan ilmu) Aristotle, Plato dan Socrates dibawa masuk ke dalam bahasa Mesir kuno (Koptik), Siria, dan Farsi. Sarjana-sarjana di Alexandria dan Siria beragama Kristian dan Yahudi, manakala yang di Farsi adalah Kristian, Majusi dan pagan. Wilayah ini mempunyai ramai sarjana falsafah, sains, kimia, perubatan, astronomi, psikologi, metafizik, logik, dan arkitektur. Apabila Islam menjadi pemerintah wilayah ini, orang-orang Arab Islam mula bertembung dengan orang-orang yang mempunyai tamadun tinggi. Pertembungan ini membawa banyak pengaruh kepada orang Arab Islam; dalam menstruktur masyarakat, dalam memerintah, dalam seni dan dalam sains dan teknologi, dan dalam kehidupan intelektual mereka. 

Dalam perkembangan intelektual inilah kita melihat bagaimana pemimpin Islam membina kepustakaan Islam yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun Islam yang gemilang selama 400 tahun. Kita dapat memerhatikan ada pola yang jelas dilalui oleh orang-orang Islam dalam membina tradisi intelektual mereka. Pada peringkat awal, pemimpin dan sarjana Islam kelihatan menyerap ilmu dari tradisi Yunani Kristian ini melalui terjamahan dan adaptasi. Kemudian, selepas itu kita dapat melihat pembinaan ilmu secara kreatif dan inovatif berlaku di kalangan sarjana Islam. Dari peniru mereka menjadi pencipta. Kita dapat melihat laluan yang sama berlaku dalam budaya ilmu di negara-negara yang lebih hampir dengan kita dalam sejarah. Inilah yang diamali oleh Jerman, Inggeris, Itali, Jepun, Korea, Taiwan dan akhir-akhir ini China. Ada pengajaran yang boleh kita dapati daripada pengalaman ini. Kita dapat melihat peranan bahasa Arab sebagai bahasa pembina ilmu yang kemudiannya membina tamadun.

Semasa Eropah Bergelap, Lorong Baghdad Sudah Cerah Berlampu
Abad ke-8 hingga ke-13 dikenali sebagai kemuncak kesarjanaan Islam dalam bahasa Arab. Kehidupan orang Islam merupakan suatu tamadun tinggi. Dalam abad ke-12 dan ke-13, Baghdad sudah berkembang sebagai bandaraya yang mempunyai sekolah, kolej, universiti, masjid dan hospital. Lampu menerangi lorong dan jalan pada waktu malam. Malah, orang-orang Kristian yang mengunjungi Kordova di Sepanyol terhairan-hairan melihat bandar-bandar yang besar dianggarkan mengandungi lebih 200,000 bangunan perumahan. Jalan-jalannya dibuat daripada batu. Air dislurkan ke rumah-rumah. Lampu mencerahi jalan pada waktu malam. Dan istana khalifahnya tersergam indah.

Dalam suasana kehidupan yang secanggih itu, terdapat aktiviti intelektual yang tinggi. Setiap bandaraya utama dalam pemerintahan Islam, menjadi pusat pembelajaran, syurga pada penggemar buku dan ilmu, dan terdapat pasaran-pasaran besar buku-buku ilmu. Bagaimanakah pemimpin Islam berhasil menegakkan tamadun tinggi ini? Tentu sekali bukan ada satu faktor saja yang bertanggungjawab.

Sistem pemerintahan yang efisien, kekuatan tentera, kestabilan kuasa politik, eksploitasi sumber ekonomi yang bijak, dan banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada pencapaian taraf kehidupan yang tinggi ini. Di samping semua faktor ini, terdapat faktor ilmu. Pemimpin Islam sangat memuliakan ilmu. Mereka membina kepustakaan dalam bahasa Arab. Sarjana Islam sangat kreatif dan inovatif dalam membawa perkembangan kepada ilmu. Pendidikan menjadi keutamaan dalam pemerintahan mereka. 

Islam Pertama Mencipta Konsep Pendidikan Universal
Kepustakaan dalam bahasa Arab menjadi yang terulung dalam tempoh hampir 500 tahun, dari abad ke-8 hinga ke abad ke-13. Kita dapat melihat bagaimana tradisi intelektual ini berkembang subur dalam pemerintahan pemimpin Islam. Budaya memuliakan ilmu ini dapat kita lihat dalam dua bidang. Pertama, bagaimana masyarakat Islam, terutamanya pemimpin Islam memperlakukan ilmu. Kedua, bagaimana mereka memperlakukan ilmuwan.

Orang-orang Islam adalah bangsa pertama yang mencipta konsep pendidikan universal. Sekolah-sekolah dibina dalam satu kawasan dengan masjid. Setiap sekolah disediakan dengan perpustakaannya sendiri. Seluruh masyarakat Islam, kaya miskin, raja atau rakyat, sangat memuliakan ilmuwan. Bahkan mereka lebih memuliakan hasil kesarjanaan mereka dalam bentuk buku ilmu dan karya sastera. Pada zaman buku ditulis dengan tangan, buku sangat bernilai. Para ilmuwan dimuliakan dan pendapat mereka diminta dan dihormati.

Perpustakaan Sebagai Pusat Pendidikan Ilmu
Oleh sebab sikap mereka yang sangat memuliakan ilmu itulah maka, perpustakaan-perpustakaan besar tumbuh dengan subur di pusat pemerintahan Islam. Lazimnya perpustakaan itulah yang berkembang menjadi pusat pengajian atau kolej dan universiti. Akademi Baitul Hikmah di Baghdad itu berasal daripada sebuah perpustakaan bernama Khazanah al-Hikmah. Begitu jugalah perpustakaan di Mosul dan Basrah, kemudiannya digabungkan dengan institusi pengajian. Perpustakaan ini dibuka kepada orang ramai.

Sarjana Eropah yang menyelidiki perpustakaan Arab dalam zaman Abasiah, mengatakan pusat perpustakaan Islam dalam zaman itu terdapat di Shiraz, Kordova dan Kaherah. Perpustakaan itu mengandungi galeri besar yang dipenuhi dengan rak-rak buku, dan disediakan bilik bacaan untuk pengunjung. Di dalamnya juga terdapat bengkel untuk menyalin buku, dan dewan khas untuk perbincangan. Dalam beberapa perpustakaan lain ada pula dewan untuk menikmati muzik. Bilik dan dewannya dihias rapi, berpermaidani, tingkap dan pintunya diberi tirai supaya udara sejuk tidak masuk. Pengunjung boleh duduk bersila untuk membaca dan menulis. Di Shiraz pula buku-buku di simpan di bilik-bilik sepanjang dinding perpustakaan itu dikatalogkan menurut bidangnya.

Bagaimana ahli saintis Islam ini boleh terbina dengan ramainya? Ada dua jalur perkembangan ilmu yang agak jelas. Pertama ilmu diterjemahkan daripada sumber Latin, Yunani, Parsi, India, Yahudi dll. Dengan ilmu terjemahan itu terbinalah perpustakaan besar-besar dalam empayar Islam. Ilmu dipelajari dan imuwan Islam diberi kedudukan istimewa. Pada tahap kedua, ahli saintis yang menerima ilmu dalam bahasa Arab ini membangunkan himpunan ilmu sendiri di perpustakaan.

Sarjana yang mengarang ilmu itu diberi bayaran yang agak lumaian (emas seberat buku yang ditulis). Mereka disediakan tempat bekerja di skriptoriuam. 

Dalam skenario kita di negara ini, kita ada Dewan Bahasa dan Pustaka, yang dapat memberi ruang. 
Dan istilah "Pustaka" itu tentu membawa erti "kepustakaan, iaitu himpunan ilmu". Dan tidak hanya sastera.

***Gambar Haitham, ahli optik Islam diambil daripada internet.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo