Sekiranya zaman Dato Seri Mohammad Najib Abdul Razak, kerajaan yang ditulang belakangi oleh UMNO tumbang, maka di zaman Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi pula, UMNO dijangka akan berpecah belah dan berkemungkinan akhirnya akan lebur. Demikianlah nasib yang akan berlaku ke atas UMNO semenjak kebelakangan ini, apabila kedua-dua mereka sama ada disedari atau tidak disedari dipergunakan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim untuk memecah belahkan UMNO. Kedua-dua Najib dan Zahid sedang dibuai mimpi dengan janji-janji manis Anwar, bahawa kes-kes mereka akan ditarik balik, malah kemungkinan untuk mereka kembali menjawat kedudukan kanan dalam kerajaan akan tercapai.
Dengan termeterainya Piagam Muafakat Nasional (MN) hasil daripada kesedaran umat Melayu untuk bersatu, maka harapan PH untuk kembali memenangi Pilihanraya Umum (PRU) seperti yang dilakukan semasa PRU ke-14 hampir berkubur. Langkah PWTC ini kemudiannya disusuli dengan Langkah Sheraton yang menyaksikan sebuah lagi parti Melayu yang merupakan serpihan UMNO kembali ke pangkal jalan menyertai semangat piagam, malah beriltizam untuk menyertai MN sehingga terbentuk kerajaan berteraskan umat Melayu seperti yang dihasratkan. Dengan terbentuknya kerajaan penyatuan umat Melayu ini, kemungkinan PH kalah teruk dalam PRU ke-15 akan datang adalah begitu besar.
PH membilang hari sahaja untuk menyaksikan pada PRU ke-15, PN dan MN akan mencapai kemenangan dengan majoriti dua pertiga. Selepas memperolehi majoriti dua pertiga, beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan boleh dilakukan termasuklah menambah bilangan kerusi-kerusi parlimen di negeri-negeri lingkaran Melayu seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Sekiranya ini berlaku, matlamat PH dan khususnya DAP untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berasaskan Malaysian Malaysia turut akan lebur untuk beberapa dekad akan datang. Maka sepertimana biasa, apabila situasi ini berterusan PH dan DAP perlu melakukan sesuatu untuk menghancurkan Agenda Penyatuan Ummah yang telah membawa mimpi negeri kepada PH, iaitu dengan melakukan Agenda Pecah dan Perintah.
Lazimnya Agenda Pecah dan Perintah ini dilaksanakan oleh DAP, bagaimanapun Langkah-Langkah yang diambil oleh DAP untuk melaksanakan agenda ini mudah sekali dihidu oleh UMNO, PAS dan BERSATU. Imej DAP sebagai sebuah parti yang anti Melayu dan mendukung Evangelisme tidak memungkinkan untuk mereka menghulur tangan kerjasama kepada mana-mana parti yang berteraskan umat Melayu, maka peranan itu dimainkan kali ini oleh Anwar. Sepertimana biasa, sama ada DAP atau Anwar yang memainkan peranan tersebut, sokongan kuasa besar America Syarikat tetap teguh termasuklah membantu mereka dari segi material dan pemikiran.
Antara ketiga-tiga parti UMNO, PAS dan BERSATU, CIA telah mengenalpasti titik keretakan wujud dalam UMNO. Titik keretakan itu tidak wujud kepada PAS, kerana PAS sekarang dalam keadaan yang sangat padu sehingga, meskipun Anwar telah berusaha berkali-kali untuk mendekati pimpinan PAS, kesemua pimpinan PAS minta Anwar berbincang dengan Dato Seri Abdul Hadi Awang. Sehingga hari ini Hadi sudah menutup pintu perbincangan dengan Anwar rapat-rapat. Dua minggu yang lepas, Anwar telah mengejar Hadi di Parlimen untuk 'mengetuk pintu', tetapi hadi hanya menjawab salam kemudian terus berlalu. Malah Anwar telah menggunakan Dato Ahmad Maslan untuk merisik pendirian Hadi terhadap Anwar semasa beliau dan Zahid berkunjung ke rumah Hadi.
Dengan yang sedemikian, Anwar telah menilik titik keretakan itu ada pada UMNO. Kebetulan titik keretakan itu ada pada Najib dan Zahid. Kedua-dua Najib dan Zahid ini sangat mengharapkan kes-kes mereka dapat digugurkan, dan dengan penguguran itu talian hayat politik politik mereka bersambung. Oleh sebab itu, tiada lagi kedengaran laungan kleptokrasi, DOJ, 1MDB, SRC dan lain-lain, seolah-olah Najib dan Zahid telah disucikan.
Penulis-penulis upahan Anwar seperti Shahbudin Hussin dan Tamrin Tun Ghafar tidak lagi menyerang Najib dan Zahid, malah Shahbudin dalam tulisannya mula mesra dengan Najib dan Zahid. Mereka yang menyakitkan hati Najib dan Zahid akan dikritik oleh PKR seperti yang berlaku kepada Maria Chin Abdullah. Pimpinan PAN termasuk portal proksi mereka mula mengeluarkan kenyataan dan memuatkan berita-berita mesra Najib dan Zahid.
Ketika awal sidang parlimen terkini, Lim Kit Siang telah mengkritik perlantikan Najib sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen BN (BNBBC). Bagaimanapun apabila Najib berucap senada dengan Anwar dan PH semasa membahaskan bajet, RSN Rayer, MP Jelutong, sudah tidak lagi menyerang Najib. Tidak mustahil selepas ini, Rayer pun akan main kenyit mata dengan Najib dan Zahid.
Najib dan Zahid memang sudah masuk perangkap Anwar. Bajet yang dibentang di parlimen, penyerang utamanya ialah Najib, Zahid dan Ahmad Maslan. Penulis-penulis upahan Najib seperti Fuad Zarkashi dan Lokman Noor Adam pula memainkan peranan untuk menghasut ahli-ahli parlimen BN untuk menolak. PKR, DAP dan PAN hanya jadi pemerhati sahaja, kerana peranan mereka sekarang dimainkan oleh Najib, Zahid, segelintir pimpinan dan ahli UMNO, serta cyber troopers UMNO.
Mereka sudah lupa yang diserang itu adalah musuh kepada DAP dan Anwar yang telah ditolak sebulat suara oleh Perhimpunan Agung UMNO. Mereka lupa yang diserang itu adalah kerajaan yang dianggotai oleh Naib Presiden UMNO, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Setiausaha BN dan lain-lain. Mereka lupa yang diserang itu, rakan-rakan dalam PAS yang sudah mengikat janji setia dengan UMNO untuk mempertahan maruah Islam dan Melayu. Namun semua ini sudah tiada lagi dalam pemikiran Najib, Zahid dan sekelompok UMNO.
UMNO sendiri akan berpecah belah dengan kelicikan permainan Anwar kali ini. Sekurang-kurangnya ada empat kelompok dalam UMNO sekarang, iaitu kelompok Najib/Zahid yang menyokong Anwar/DAP, kelompok Hishamuddin yang menyokong Tan Sri Muhyiddin, kelompok Ismail Sabri/Anuar Musa yang mendukung semangat MN dan kelompok Ku Li yang mesra Tun Mahathir. Zahid yang menjadi Presiden UMNO sepatutnya berusaha menyatukan UMNO, kini dia bersama dengan Najib telah dipergunakan oleh Anwar untuk menghancurkan UMNO. Kita tunggulah nanti siapa yang akan mentalkinkan UMNO.
Dr Ismadi Abd Samad
No comments
Post a Comment