NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiga Rumusan Utama Ketetapan MT UMNO



KUALA LUMPUR, 27 Okt – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata terdapat tiga rumusan utama yang telah ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi parti yang bermesyuarat malam tadi.

Katanya dalam satu hantaran di Facebook, antaranya adalah menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang di-Pertuan Agong, mendukung Kerajaan Persekutuan yang ada hari ini dan perlu ada penambahbaikan hubungan antara parti.

Begitu juga tambahnya, menolak sebarang kerjasama bersama Parti Dap dan PKR terutama mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai Perdana Menteri.


Berikut rumusan utama tersebut:

1. Menjunjung titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong untuk mengendurkan ketegangan politik. Atas semangat itu, kekal mendukung kerajaan hari ini.

2. Perlu penambahbaikan dalam hubungan antara parti-parti dalam kerajaan berpaksikan keikhlasan, penghormatan dan pengiktirafan sewajarnya.

3. Tidak mendukung parti Dap dan DSAI jauh sekali mahu mengangkat mereka menjadi Perdana Menteri atau Kerajaan.

Malam tadi, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO memaklumkan bahawa ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memutuskan beberapa perkara.

Antaranya adalah menjunjung kasih di atas keputusan KDYMM Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri bagi maksud pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga mendokong sepenuhnya titah dan saranan KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.

Selain itu, UMNO juga menyarankan agar inisiatif Rekonsiliasi Nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam Kerajaan Perikatan Nasional dan juga parti-parti pembangkang.

Berikutnya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik COVID-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah.

Seterusnya, mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan Dap. Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional. UMNO menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan ‘political consensus’.

Terakhir, Ahmad Zahid dalam kenyataan juga berkata parti akan memastikan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO untuk memperkasakan Muafakat Nasional dapat terus direalisasikan. – UMNO ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo