Dalam tempoh beberapa minggu lagi, rakyat Amerika Syarikat akan mengundi dalam pilihanraya Presiden yang dijangka amat sengit pertarungannya antara Donald Trump dari Parti Republikan yang juga penyandang jawatan Presiden Amerika Syarikat ketika ini dan seterunya Joe Biden yang mewakili Parti Demokrat yang juga bekas Naib Presiden Amerika Syarikat ketika zaman Barrack Obama.
Umat Islam di Amerika Syarikat yang merupakan warganegara sudah tentu akan terlibat sama dalam pilihanraya ini walaupun mereka adalah minoriti di negara “ Uncle Sam “ tersebut. Walaupun begitu, mereka tidak boleh dipandang kecil kerana jumlah mereka agak signifikan di bandar-bandar dan negeri - negeri tertentu seperti di Minnesota, Washington DC dan New Jersey.
Ketika ini, jumlah umat Islam di Amerika Syarikat dianggarkan berjumlah 3.45 juta orang dan daripada jumlah tersebut, 80 peratus adalah warganegara. Jumlah tersebut mewakili sebanyak 1.1 peratus dari jumlah rakyat Amerika Syarikat dan walaupun sedikit, ia sebenarnya memberi impak kepada dunia politik Amerika Syarikat.
Ketika pilihanraya Amerika Syarikat pada 2016, telah tercatat dalam sejarah politik Amerika Syarikat apabila dua wanita Muslim, Ilhan Omar dan Rashida Talib dari parti Demokrat telah memenangi kerusi kongres di kawasan yang ditandingi iaitu di Minnesota dan Michigan. Mereka berdua adalah orang Islam yang pertama yang menduduki Kongres Amerika Syarikat.
Di kedua - kedua kawasan yang dimenangi oleh Ilhan Omar dan Rashida Talib jika dikaji, terdapat sejumlah besar pengundi beragama Islam dan samada didominasi oleh warga Amerika Syarikat berkulit hitam dalam lingkungan 18 - 40 peratus dari jumlah pengundinya. Kedua - dua faktor ini merupakan intipati utama kemenangan Ilhan Omar dan Rashida Talib.
Namun mengapa faktor warga berkulit hitam menjadi intipati utama selain dari faktor umat Islam yang menjadi penyebab utama kemenangan Ilhan Omar dan Rashida Talib ? Ini adalah kerana warga Amerika Syarikat berkulit hitam adalah penganut agama Islam terbesar di Amerika Syarikat dengan anggaran sebanyak 25 peratus diikuti oleh warga Amerika Syarikat berkulit putih sebanyak 23 peratus.
Jika dikaji pula sejarah kemasukan hamba abdi berkulit hitam di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1600, majoriti daripadanya adalah umat Islam yang dibawa masuk dari benua Afrika oleh pedagang hamba abdi dari Eropah ke Amerika Syarikat.
“ Struggle “, perjuangan dan kebangkitan warga kulit hitam pada pertengan tahun 1900 seperti yang dipelopori oleh Nation of Islam dan Malcom X sebenarnya bukan hanya bertujuan untuk memperjuangkan agama Islam namun turut sama membabitkan perjuangan warga kulit hitam Amerika Syarikat.
Dengan majoriti warga Amerika Syarikat berkulit hitam iaitu sebanyak 80 - 85 peratus adalah penyokong mahupun pengundi parti Demokrat dan juga berserta faktor - faktor yang disebutkan tadi, ianya menjadi penyebab serta pendorong utama yang memberikan kemenangan baik untuk Ilhan Omar mahupun Rashida Talib.
Mungkin kita tertanya-tanya pada pilihanraya Amerika Syarikat November ini, parti mana dan siapakah calon yang patut diundi oleh mereka ? Suasana tersebut juga sama dengan pendirian yang harus diambil oleh umat Islam yang menjadi warganegara di negara-negara bukan Islam lain seperti Kanada, United Kingdom, Perancis, Jerman dan lain-lain lagi yang mengamalkan sistem demokrasi.
Secara umumnya, para ulama tidak membincangkan isu ini dalam kitab-kitab fiqh turath kerana hukum asalnya umat Islam mestilah berada dalam Diyar Islam ( Negara-Negara Islam ) dan haram berada di Diyar Ghair Muslimin ( Negara-Negara Bukan Islam ) kecuali dengan sebab-sebab tertentu seperti berniaga, tujuan merawat penyakit, menuntut ilmu dan seumpamanya.
Akan tetapi suasananya telah berubah setelah umat Islam kehilangan Khilafah Uthmaniyyah lebih 100 tahun lalu yang menyebabkan umat Islam kehilangan tempat bergantung akibat ditindas dan dizalimi sehingga sebahagian mereka terpaksa berhijrah ke negara-negara bukan Islam dan bermaustautin di sana samada sebagai pelarian, imigran atau warganegara.
Keberadaan umat Islam dalam negara bukan Islam boleh dibahagikan kepada dua. Pertama, tanah air umat Islam yang dijajah dan berada di bawah pemerintahan bukan Islam seperti Palestin, wilayah Jammu Kasymir, selatan Thailand dan selatan Filipina. Kedua, penghijrahan umat Islam ke negara-negara bukan Islam atas faktor suaka politik, kekangan ekonomi dan lain-lain lagi seperti keberadaan umat Islam di benua Eropah, Utara Amerika dan lain-lain lagi.
Untuk negara-negara dalam kumpulan pertama, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk berjuang bagi membebaskan tanahair mereka dari penjajahan golongan kuffar. Namun begitu, mereka juga harus memainkan peranan penting dalam urusan politik bagi memastikan nasib mereka terbela dan membebaskan diri dari belenggu penjajahan.
Ianya berbeza bagi umat Islam yang berada dalam kategori kedua. Seboleh-bolehnya mereka hendaklah berpindah kembali ke bumi umat Islam setelah keadaan mengizinkan demi untuk memelihara jatidiri Islam mereka. Namun jika sekiranya keadaan tidak mengizinkan, menjadi kewajipan kepada mereka untuk terus berperanan bagi menjaga komuniti Islam di tempat mereka bermastautin.
Demi menjaga maslahah dan juga komuniti mereka agar tidak berlaku sepertimana di negara asal mereka, penglibatan mereka dalam politik negara yang diduduki adalah perlu dalam usaha untuk memastikan nasib mereka dan agama terbela dan juga untuk memastikan mereka tidak ditindas, dizalimi mahupun mengurangkan mudharat ke atas diri dan komuniti mereka.
Justeru itu sangat penting di sini untuk membuat pertimbangan yang wajar dengan memilih mudharat paling kecil dan memberi kesan yang amat minimum. Oleh itu, Amerika Syarikat adalah contoh terbaik untuk kita menilai peranan politik komuniti Islam dalam negara bukan Islam dalam usaha membela nasib umat Islam di negara terbabit.
Selepas peristiwa 9/11, umat Islam di serata dunia menerima tempias akibat dari usaha “ melawan keganasan ” yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Hampir keseluruhan umat Islam di dunia dilabel sebagai pengganas dan kesannya boleh dirasakan sehingga ke hari ini apatah lagi setelah Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, propaganda tersebut mulai kembali “ menggila “.
Namun buat umat Islam di Amerika Syarikat, mereka secara langsung merasai kesan akibat daripada peristiwa tersebut. Mereka dipantau baik dari segi pergerakan mahupun komunikasi, “ racial profiling “ dan terpinggir dari masyarakat umum akibat daripada tempias usaha Amerika Syarikat menghapuskan pengganas yang 100 peratus ditujukan kepada umat Islam.
Namun beberapa tahun selepas itu, wujud gelombang di kalangan umat Islam di Amerika Syarikat untuk menangkis mahupun melawan retorik tersebut terutamanya selepas kekalahan parti Republikan dalam pilihanraya Amerika Syarikat pada tahun 2009 kepada parti Demokrat dan Barrack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat.
Namun kemuncak usaha umat Islam di Amerika Syarikat untuk sama terbabit dalam arena politik Amerika Syarikat kembali memuncak setelah Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat. Ketika itu, puak berhaluan kanan yang menjadi pendokong Donald Trump dan parti Republikan seperti Proud Boys, The Base, Patriot Front dan beberapa kumpulan lagi telah memulakan semula retorik yang pernah berlaku kepada umat Islam di Amerika Syarikat ketika pasca peristiwa 9/11.
Pilihanraya pada 2018 membuktikan peningkatan tinggi kesedaran dan penglibatan umat Islam dalam arena politik Amerika Syarikat berbanding sebelum tahun 2001. Terdapat lebih kurang 100 pencalonan untuk bertanding pada pilihanraya ketika itu baik di peringkat negeri mahupun peringkat persekutuan, hampir 85 peratus peningkatan berbanding hanya 12 pencalonan pada 2016.
Walaupun hanya 2 orang yang berjaya meraih tempat di Dewan Kongres iaitu Ilhan Omar dan Rashida Talib, ia sedikit sebanyak memberi impak kepada umat Islam di Amerika Syarikat. Kedua - duanya adalah pengkritik utama hubungan Amerika Syarikat dengan Israel dan memaninkan peranan utama untuk membangkitkan kesedaran rakyat Amerika Syarikat akan kekejaman regim Israel terhadap Palestin dan rakyatnya.
Kempen boikot Israel seperti BDS ( Boycott, Divestment, Sanction ) yang sebelum ini kelihatan suram sudah mula hangat kembali akibat penglibatan kedua - dua ahli dewan Kongres terbabit. Malah pemimpin Israel termasuk Benjamin Netanyahu merupakan pengkritik utama Ilhan Omar dan Rashida Talib. Akibat daripada itu, Rashida Talib telah dibatalkan visanya oleh Israel ketika hendak melawat nendanya yang masih lagi tinggal di Palestin.
Sehingga hari ini, kedua - dua mereka boleh dikatakan berjaya sebagai wakil umat Islam di Kongres Amerika Syarikat. Walaupun kedua - dua mereka di kategorikan sebagai progresif demokrat yang agak condong kepada liberal, sekurang - kurangnya ia sedikit sebanyak telah menimbulkan kesedaran kepada umat Islam di Amerika Syarikat betapa pentingnya untuk melibatkan diri dalam pentas politik.
Akibat daripada kesedaran tersebut, pada pilihanraya kali ini yang akan berlangsung tidak lama lagi, telah ada organisasi besar seperti Emgage Action yang telah memulakan gerakan memobilisasi pengundi Islam untuk mengundi pada piliharaya kali ini kerana sedar betapa pentingnya undi umat Islam terutamanya untuk menumbangkan Donald Trump.
Setelah melihat kepada kelebihan dan manfaat kerana mempunyai wakil dalam Kongres, kesedaran umat Islam Amerika Syarikat telah mula timbul untuk terbabit secara lebih aktif dalam arena politik. Mengikut kajian beberapa institusi dan penganalisa politik di Amerika Syarikat, jika keadaan sebegini berterusan ianya akan memberi impak kepada politik Amerika Syarikat dan dijangka umat Islam akan menjadi kuasa politik yang agak dominan di Amerika Syarikat seawal 2030.
Namun jika Donald Trump dan parti Republikan kalah pada pilihanraya kali ini, kita umat Islam usah terlalu sangat berharap akan berlakunya perubahan polisi yang besar terutamanya polisi luar negara Amerika Syarikat. Mungkin jika Joe Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat, akan berlaku “ sedikit “ perubahan “ polisi luar namun asasnya tetap sama.
Polisi Amerika Syarikat terhadap dunia tetap sama biar siapa dan parti mana sekalipun memerintah Amerika Syarikat. Asasnya Amerika Syarikat tetap dan mesti menjadi peneraju geopolitik mahupun ekonomi dunia. Sesiapa yang menjadi ancaman akan menerima akibatnya, lihat apa yang berlaku kepada China dan perang perdagangan yang masih lagi berlaku.
Kerana jangkaan China akan menjadi kuasa terbesar ekonomi dunia menjelang 2025, Amerika Syarikat berusaha menyekat kemaraan tersebut sedaya mampu termasuk menggunakan WTO, PBB, WHO, Bank Dunia mahupun NATO. Rusia yang ketika ini “ menari “ kerana kelemahan polisi pentadbiran Donald Trump di Asia Barat, akan menjadi resah jika Joe Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat dan perseteruan kedua - kedua negara akan kembali menjadi tegang.
Polisi Amerika Syarikat terhadap Asia Barat dan umat Islam dijangka tidak berubah kecuali berkemungkinan Arab Saudi akan menerima nasib yang kurang baik jika Joe Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat. Israel tetap akan menjadi keutamaan Amerika Syarikat di Asia Barat namun berkemungkinan akan digunakan kaedah diplomasi untuk mengikut kehendak Amerika Syarikat.
Akan tetapi, jika umat Islam di Amerika Syarikat berjaya menjadi salah satu kuasa penentu dalam arena politik Amerika Syarikat seperti yang dijangkakan, berkemungkinan ia mampu mempengaruhi polisi luar Amerika Syarikat pada masa akan datang.
Walaupun begitu, kita umat dan Dunia Islam haruslah membina kekuatan sendiri untuk mempertahan, memperkasa dan memperkemaskan kekuatan umat dan Dunia Islam. Kerana terlalu lama berharap mahupun bergantung kepada kuasa luar terutamanya kuasa besar bukan Islam terutamanya selepas tumbangnya Khilafah Uthmaniyyah, umat dan Dunia Islam sering dipermain, dilaga - lagakan, diambil kesempatan dan dizalimi.
Sampai bilakah kebergantungan tersebut akan bertahan dan dikekalkan ? Selagi mana umat dan Dunia Islam mempercayai apa sahaja ungkapan dan janji musuh - musuh Islam, selagi itulah umat dan Dunia Islam akan menjadi hamba di buminya sendiri. Maka disebabkan itulah perpaduan, kesatuan dan saling mempercayai harus menjadi aspek utama kekuatan umat dan Dunia Islam.
Jika tiada nilai - nilai di atas, kita lihat sendiri apa yang berlaku di Palestin, Iraq, Libya, Lubnan dan banyak lagi negara Islam. Lemahnya kerana curiga, saling tidak mempercayai, tiada kesatuan dan perpaduan serta tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar.
Islam adalah tonggak kesatuan dan perpaduan. Selagi mana kita menjauhi mahupun meninggalkan Islam, selagi itulah kita umat dan Dunia Islam akan kekal lemah, lesu dan mudah dipermainkan oleh musuh - musuh Islam. Oleh itu, kembalilah kita semua kepada ajaran Islam yang sebenar agar kita semua memperolehi keberkatan dan rahmat dari Allah SWT.
Islam Memimpin Perpaduan.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
No comments
Post a Comment