MANA satu mahu diberi keutamaan? Kuasa atau kesihatan? Ketika wabak Covid-19 semakin ‘menggila’, orang politik juga turut ‘menggila’. Hanya kerana kuasa, macam-macam cerita timbul, ditambah pula adanya ‘batu api’ dan ‘tukang korek’.
Dalam keadaan politik ‘kelam kabut’ disebabkan tindak tanduk orang politik sendiri, ada juga yang cuba ‘menangguk di air keruh’, mengambil peluang menimbulkan kemarahan dan menyulitkan keadaan. Begitulah ‘pencak silat politik’ orang politik yang kadang-kadang sukar difahami.
Bagi orang politik, mungkin perkara itu bukan luar biasa. Jarang ketemu orang politik mengaku ‘kesilapan sendiri’ atau ‘salah parti’ sendiri. Kebanyakan kata, perbuatan dan tindakan mereka ‘benar’ atas alasan menuntut hak. Tidak ada istilah ‘menang-menang’ lebih-lebih lagi ketika ego dan angkuh menguasai diri. Ada yang mahu menang semua.
Bagi kebanyakan orang yang berada di luar gelanggang politik, mereka melihat rebutan kuasa semakin jelas dan membimbangkan. Sama ada ia satu gambaran sebenar atau hanya persepsi yang sengaja diadakan, ramai yang resah gelisah.
Ketika ini, keutamaan orang politik nampaknya ke arah itu – kuasa. Menariknya yang merebut dan berebut itu Melayu. Ada Melayu UMNO, Melayu PKR, Melayu Bersatu. Kebanyakannya ada DNA UMNO. Tumpang seronok Melayu Amanah, Melayu Pejuang. Mujur Melayu sahaja.
Waktu ini macam-macam cerita politik timbul terutama melibatkan organisasi bernama UMNO. Pandangan tertumpu kepada UMNO walaupun yang ‘melontar batu’ itu bukan ‘tangan UMNO’.
Semakin kusut dan serabut. Video lama, gambar lama, kenyataan lama semuanya ‘berputar’ kembali. Semuanya ‘kata mengata’ yang tidak lain untuk meretakkan hubungan supaya lawan yang menjadi kawan kembali menjadi lawan.
Keliru dan celaru dengan situasi politik hari ini. Mungkin bagi mereka yang sedang mencaturkan kuasa dan politik tidak peduli apa yang berlaku kepada rakyat yang hakikatnya kurang senang dengan situasi sekarang.
Bagi orang politik, apa yang sedang dilakukan itu betul dan berasas atas pertimbangan politik. Tetapi rakyat mempunyai pandangan lain.
Dalam situasi penularan wabak Covid-19, rakyat mahu setiap tenaga ditumpukan kepada usaha memerangi wabak ini dan pada masa yang sama memulihkan ‘kehidupan’ yang semakin terjejas, semakin membebankan.
Rakyat yang hilang pekerjaan, hilang pendapatan dan pengangguran terutama dalam kalangan anak muda lepasan universiti harus diberi perhatian. Benar politik stabil akan menjadikan negara stabil, ekonomi stabil tetapi jika sepanjang masa tidak stabil atau hari ini stabil, esok tak stabil, sampai bila kestabilan itu muncul?
Kita bukan berada dalam suasana kehidupan yang mewah atau kedudukan ekonomi yang terbaik. Jika itu situasinya biarlah. Silakan. Lantaklah. Rebutlah. Buatlah berapa kali pun pilihan raya. Tetapi kita sedang berperang dengan musuh yang tidak kelihatan.
Covid-19 bukan seperti wajah atau perangai manusia yang boleh muncul dengan pelbagai ‘wajah dan perangai’. Covid-19 ‘tidak berubah warna’ untuk menunjukkan wajah sebenar.
Rakyat yang tidak terlibat dengan politik kepartian semakin meluat dan geram melihat situasi ini tetapi tidak bagi pendokong parti politik yang nampaknya semakin ghairah mengatur strategi untuk memastikan ‘kemenangan’ politik berpihak kepada mereka.
Untuk sementara ini, apakah jaminan isu kuasa dan politik akan berakhir sekiranya perubahan kerajaan berlaku lagi?
Lumrah politik, dalam situasi kelam kabut ini, ada sahaja yang mengambil kesempatan. Dalam kalangan orang politik, ada yang bagaikan api dalam sekam, pepat di luar rencong di dalam, musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, enau dalam belukar, talam dua muka dan macam-macam lagi.
Masing-masing mengaku mereka benar, betul dan terbaik, cuba menegakkan benang yang basah.
Semua yang sedang berlaku tiada lain akibat perpecahan Melayu. Senaraikan berapa banyak parti bukan Melayu yang berpecah? Pemimpin politik Melayu berpecah membentuk parti serpihan kepada parti utama.
Organisasi sering dipersalahkan, bukannya pemimpin. Nama organisasi diperlekeh dan dipersenda sedangkan hakikatnya pemimpin organisasi yang perlu disingkir bukannya memburukkan organisasi seterusnya memijak orgnaisasi berkenaan supaya hancur.
Ada yang apabila menang pilihan raya atas nama organisasi tertentu tetapi akhirnya tanpa segan silu meninggalkan organisasi itu dan lebih parah ‘menghina’ organisasi, menikam organisasi dari belakang. Ini juga punca marah dan dendam. Kenapa harus menyalahkan organisasi?
Berapa ramai wakil rakyat bukan Melayu yang sudah melompat parti? Maksud bukan Melayu ini adalah semua sama ada dalam parti kerajaan atau pembangkang. Tetapi tidak mustahil ada Melayu dalam parti bukan Melayu bersedia lompat parti. Ada perbezaannya.
Tidak ada guna menuding jari menyalahkan parti sendiri atau parti orang lain. Muhasabahlah untuk kebaikan bersama bukan mencetuskan perbezaan atau sengketa yang merosakkan. Untuk sementara waktu ini, rakyat mengharapkan penyelesaian segera kemelut politik yang melanda.
-BebasNews
No comments
Post a Comment