NOTIS:
Muhyidin Guna Strategi Najib, Pinggirkan Prinsip - TunM
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata dia tidak dapat bekerjasama dengan Muhyiddin Yassin kerana presiden Bersatu itu telah meninggalkan prinsipnya dan menerapkan strategi yang sama seperti digunakan Najib Razak.
“(Muhyiddin) telah menerapkan strategi seperti digunakan oleh Najib, untuk melemahkan semua pihak yang menentangnya.
"Bagaimana saya dapat menerima Muhyiddin seperti itu?" kata Mahathir, seperti yang dilaporkan oleh The Straits Times, semalam.
Mahathir juga mengatakan bahawa Muhyiddin, yang merupakan perdana menteri, bersedia bekerjasama dengan Najib kerana "politik lebih penting daripada prinsip".
Muhyiddin pernah menjadi timbalan presiden Umno ketika Najib adalah presiden Umno dan perdana menteri.
Dia dipecat dari parti itu pada 2016 setelah mengkritik Najib dalam skandal kewangan 1MDB.
Pada masa yang sama, Mahathir juga keluar dari Umno, parti yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun, sebagai protes terhadap Najib dan skandal 1MDB.
Mahathir dan Muhyiddin, bersama beberapa yang lain, kemudian mengasaskan Bersatu serta bergabung dengan Pakatan Harapan dan seterusnya berjaya menyingkirkan pentadbiran BN pimpinan Najib pada pilihan raya umum 2018.
Namun, kerajaan Pakatan Harapan jatuh pada Februari tahun ini susulan rampasan kuasa yang menyaksikan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), bersama dengan kumpulan Mohamed Azmin Ali, BN dan PAS.
Sementara itu, Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan kemudian dipecat dari Bersatu.
Mahathir kemudian membentuk parti baru yang dinamakan Pejuang.
Mahathir mengatakan bahawa dia tidak membuat komen selama tiga bulan setelah pemerintahan PN yang baru dibentuk tetapi merasa dia perlu bersuara lagi kerana menurutnya gejala rasuah yang ditentangnya kembali berlaku.
Di bawah pentadbiran PN pimpinan Muhyiddin, sebilangan ahli politik telah menerima pelbagai janji politik.
Pembangkang juga mengkritik saiz kabinet Muhyiddin yang mempunyai 70 jawatan berbanding 55 sebelumnya di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.
Pengkritik Muhyiddin mengatakan bahawa perdana menteri itu memberi habuan kepada para penyokongnya dengan jawatan dan pelantikan dalam usaha untuk mempertahankan majoriti tipis di Dewan Rakyat.
Namun, Mahathir sendiri sebelum ini sering dituduh kronisme dan nepotisme semasa menjadi perdana menteri buat kali pertama.
Menepis tuduhan ini, Mahathir mengatakan bahawa pentadbirannya banyak membantu rakyat tanpa mengira latar belakang.
"Ratusan dan ribuan daripada mereka dibantu. Sebilangan daripada mereka sebenarnya mengambil kesempatan dan mendapat keuntungan.
"Tetapi ketika seseorang berjaya (tuduhannya adalah) dia kroni saya,” katanya.
Walaupun Mahathir menolak berdamai dengan Muhyiddin, yang sebelum ini disifatkannya sebagai "mengkhianatinya", ahli parlimen Langkawi itu juga mengakui bahawa barisan pembangkang yang tidak kuat ketika ini tidak dapat menentang Muhyiddin.
Pembangkang dilihat berpecah berdasarkan sokongan untuk calon perdana menteri mereka, dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim telah menyatakan pada 23 September bahawa dia telah mendapat cukup sokongan untuk membentuk kerajaan baru.
Tetapi Anwar belum membuktikan dakwaan itu setakat ini dan dia belum mengadap dengan Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan jumlah sokongan yang diterimanya.
“Anwar mempunyai banyak orang yang menentangnya. Sekiranya saya tidak diterima, ramai (penyokong saya) akan menarik diri sehingga dia tidak akan mendapat majoriti.
"Sekarang dia mendakwa dia mendapat sokongan 20 hingga 30 Ahli parlimen tetapi ramai yang tampil menafikannya," kata Mahathir
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment