NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malapetaka Asia Barat : Menyekat Talihayat Perjuangan Palestin.



oleh:YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Siri 2 ( Sambungan )

Semenjak tertubuhnya negara haram Israel pada tahun 1948, Israel tidak pernah aman dan senantiasa bergolak disebabkan ianya ditubuh di atas tanah yang dirampas dari umat Islam yang sudah bertapak di situ lebih dari 1300 tahun yang lalu. Hanya mereka yang mempunyai naluri yang songsang sahaja sanggup merestui negara haram ini. Adapun mereka yang waras terus berjuang bagi membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Zionis Yahudi samada di atas nama agama atau kebangsaan Arab.

Pemimpin Israel sejak dahulu lagi sentiasa “ menjerit “ meminta bantuan dari kuasa-kuasa besar dunia kononnya keselamatan mereka terancam. Ini menyebabkan Israel sentiasa mendapat perlindungan dan bantuan ketenteraan berterusan dari kuasa besar dunia khususnya Amerika Syarikat. Justeru itu tidak pelik jika setiap calon Presiden Amerika Syarikat memberikan sokongan dan menjanjikan bantuan kepada Israel kerana itu menjadi pra - syarat utama untuk mereka memenangi pilihanraya Presiden Amerika Syarikat.

Ketika ini, tiba giliran Donald Trump yang bakal berdepan dengan pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada bulan November ini. Justeru itu, pengumuman dan pengisytiharan perjanjian normalisasi antara UAE dan Bahrain dengan Israel oleh Donald Trump di Wasington DC baru-baru ini sudah tentu memberi modal yang sangat besar kepada beliau untuk meyakinkan pelobi-pelobi zionis di Amerika Ssyarikat supaya mengekalkan beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat sepenggal lagi.

Dalam tempoh tiga dekad ini, Israel telah berjaya mengurangkan ancaman terhadapnya dengan begitu ketara sekali melalui perjanjian yang dibuat antara pihak berkuasa Palestin dan negara-negara Arab dengan Israel seperti perjanjian Camp David, Oslo dan Madrid. Menurut Abdul Hayy Zallum, seorang penganalisa politik Timur Tengah dalam artikel terbarunya yang disiarkan dalam portal raialyoum.com, bahawa normalisasi telah bermula seawal 1970an lagi iaitu kerelaan pemimpin-pemimpin Arab untuk berdamai dengan negara haram Israel. Justeru normalisasi yang berlaku pada hari ini hanyalah penerusan daripada apa yang telah dimulakan oleh Anwar Sadat, Yaseer Arafat dan lain-lain lagi.

Namun kewujudan gerakan kumpulan-kumpulan Islam seperti HAMAS, Hizbullah dan Jihad Islami yang bangkit menentang Israel sejak berdekad lalu hingga saat ini amat membimbangkan Israel, Amerika Syarikat dan negara - negara Arab pro - Zionis kerana gelombang ini semakin membesar dan mendapat sokongan dari masyarakat awam Arab setelah mereka dikecewakan oleh kerajaan dan pemimpin Arab.

Baru-baru ini saya sempat menonton satu dokumentari dari Al - Jazeera yang bertajuk “ Apa yang Tersembunyi Lebih Besar”. Dokumentari ini mendedahkan perancangan Israel dan negara-negara Arab dengan restu dari Amerika Syarikat bagi menghalang perjuangan rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza dengan menyekat talihayat mereka khususnya bantuan persenjataan. HAMAS mengakui mendapat bantuan persenjataan dari Iran melalui negara Sudan sebagai orang tengah, seterusnya masuk ke Semenanjung Gaza melalui Mesir dengan jalan darat.

Bukan sahaja bantuan persenjataan, malah bantuan kewangan serta bantuan kemanusian seperti makanan, ubat - ubatan dan barangan keperluan dari pelbagai negara turut disekat. Bahan bakar seperti petroleum, tenaga eletrik dan telekominukasi turut disekat dan dipantau dari pelbagai sudut yang sememangnya bertujuan untuk menghalang serta meruntuhkan semangat perjuangan pembebasan Palestin dan rakyatnya terutamanya untuk Semenanjung Gaza.

Di sebalik Hamas dan Jihad Islami yang disokong oleh Iran yang sedang berhadapan dengan pelbagai kekangan dan sekatan serta masalah dalamannya sendiri di mana ia menghadkan kemampuan bantuan kepada mereka, Hizbullah, Lubnan, Libya, Iraq dan Syria yang menjadi penyokong serta pendokong kuat perjuangan Palestin turut berhadapan dengan perang dan masalah dalaman sendiri di mana ia turut menjejaskan sokongan mahupun bantuan kepada perjuangan Palestin.

Namun apa yang lebih membimbangkan Israel dan negara - negara Arab pro - Zionis saat ini ialah kemunculan Turki yang dilihat sebagai ancaman terbesar pelan mereka saat ini. Sokongan terbuka Turki terhadap Hamas dan Jihad Islami dalam perjuangan membebaskan Palestin mencemaskan mereka malah tindakan terbaru Turki yang bertindak sebagai mediator dan pendamai di antara Hamas dan Fatah baru - baru ini untuk memperkuatkan Palestin dilihat sebagai penentangan terbesar dan penghalang utama terhadap “ Grand Design “ Asia Barat mereka.

Maka tidak hairanlah apabila Yousef Al - Otaiba, Duta UAE ke Amerika Syarikat banyak menyatakan dalam artikel terbarunya di Yedioth Ahronoth, sebuah akhbar utama Israel di mana dia menyatakan perlunya menentang apa yang disebutnya "pengembangan Islam" atau seperti apa yang disebut oleh oleh Menteri Luar UAE Abdullah Bin Zayed pada Perhimpunan Agung PBB ( UNGA ) baru - baru ini di mana Turki digambarkan sebagai cuba menghidupkan “ pentadbiran kolonial “ ke atas negara - negara Arab.

Malah Ketua Mossad iaitu badan perisikan Israel, Yossi Cohen menyatakan bahawa ketika ini ancaman terbesar kepada Israel adalah Turki dan bukannya Iran serta kesilapan terbesarnya sejak 20 bulan lalu dengan menumpukan serangan baik secara fizikal mahupun propaganda terhadap Iran adalah salah dan akibat daripada itu, Turki mampu bangkit menjadi kuasa penentang terbesar dan berpengaruh seperti saat ini baik di Asia Barat, Mediterranean mahupun di dunia.

Serangan bertali arus ke atas Turki ketika ini sebenarnya adalah deklarasi perang di sebalik tabir terhadap Turki, di mana segala tindak tanduk Turki adalah bertentangan dengan UAE, Arab Saudi dan negara - negara sekutunya. Tindakan Turki yang sealiran dengan negara Arab yang “ merdeka “ dan bebas yang memilih haluan serta membuat keputusannya sendiri menongkah arus pembaharuan dan normalisasi yang berlaku di Asia Barat ketika ini, tidak seperti negara-negara Arab yang tunduk kepada kekuatan dan kemahuan Zionis.

Turki mempunyai tentera yang kuat dan moden dengan pelbagai senjata dan peluru berpandu, turut berjaya membina ekonomi yang kukuh di samping mampu berdikari dengan teknologi moden yang dibangunkannya sendiri dengan memaksimumkan faedah penemuan gas asli di Laut Hitam. Keupayaan Turki ketika ini yang turut terbabit dalam konflik beberapa negara seperti Libya, Syria dan pertikaian di Timur Mediterranean benar - benar merisaukan Israel, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan negara - negara Arab pro - Zionis.

Sementara itu, negara-negara Arab dilihat terlalu bergantung pada konglomerat asing mahupun Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Kanada dan Itali dalam pelbagai sudut baik ekonomi, politik mahupun ketenteraan dan hanya mendapat “saki baki “ dari konglomerat mahupun negara - negara tersebut setelah dieksploitasi telaga minyak dan gas negara - negara Arab. Kelemahan negara - negara Arab tersebut menyebabkan mereka begitu mudah digunakan serta umpama “ lembu dicucuk hidung “ dan mengikut kehendak negara - negara terbabit walaupun terpaksa mengorbankan rakan, sahabat mahupun agama.

Oleh itu "kejahatan" terbesar Turki kepada negara - negara Arab pro - Zionis diletakkan ke atas Presiden Turki Recep Tayyeb Erdogan secara peribadi kerana Turki dilihat oleh masyarakat umum Arab sebagai harapan mereka untuk pemulihan umat dan Dunia Islam dan sebagai model yang boleh diadaptasi untuk masa depan dan kemajuan umat dan Dunia Islam.

Masyarakat Arab secara amnya memandang tinggi kepada Erdogan dan dalam masa yang sama mereka membenci pemimpin mereka kerana mereka melihat Edrogan sebagai pemimpin yang mampu mengembalikan martabat umat dan Dunia Islam. Bagi Duta Besar UAE ke Amerika Syarikat Yousef Al - Otaiba, perbuatan Turki adalah dosa yang tidak dapat dimaafkan.

Apa yang diperjuangkan oleh Turki, Iran dan banyak lagi negara Dunia Islam termasuk Malaysia untuk membebaskan Palestin dari penjajahan regim Israel sepatutnya didahului oleh Liga Arab. Namun saat ini Liga Arab yang dikuasai oleh negara - negara pro - Zionis seperti UAE, Arab Saudi dan Bahrain yang hanya bertindak apabila kepentingan “ tuan “ mahupun sahabat baru mereka iaitu Israel terancam. Ternyata tindakan terbaru Liga Arab pada persidangan terakhirnya benar - benar mencemarkan nama baik umat dan Dunia Islam.

Penolakan draf Resolusi Palestin oleh Liga Arab baru - baru ini bukanlah “ kudeta” yang berlaku dengan sendirinya kerana hakikatnya Liga Arab secara teorinya telah lama berkubur. Ia dihidupkan kembali dan bermesyuarat setiap kali diperintahkan oleh tuannya di Rumah Putih, sama seperti yang berlaku semasa Geogre Bush Sr. menjadi Presiden Amerika Syarikat setelah Saddam Hussein menyerang Kuwait.

Liga Arab “ tidak hidup ” ketika Israel menyerang Lubnan pada tahun 1982 dan 2006, atau setiap kali Semenanjung Gaza diserang dan dihujani bom malah baru - baru ini lebih memalukan ketika Liga Arab sedang mengadakan pertemuan terakhirnya, Israel tanpa rasa bersalah dan malu menyerang malah mengebom Semenanjung Gaza bertali arus..

Liga Arab tidak “menutup mata “ terhadap pembunuhan kejam yang dilakukan oleh regim Israel ke atas rakyat Palestin tetapi ia menutup mata terhadap pembangunan penempatan haram yang sedang berlaku di tanah milik rakyat Palestin yang diduduki serta pengepungan kejam yang tidak adil ke atas Semenanjung Gaza.

Liga Arab hanya melihat apabila regim Israel bertindak “ mengyahudikan “ Baitul Maqdis dan membina terowong di bawah Masjidil Aqsa yang membahayakan asas dan tapak Masjdil Aqsa. Liga Arab juga berdiam diri dan hanya menyaksikan pesawat Israel menceroboh ruang udara Syria sejak 2011 yang menyebabkan kematian dan kehancuran, menceroboh Lubnan malah menyasarkan kedudukan - kedudukan tertentu di sempadan Iraq.

Liga Arab tidak menghalang pencerobohan Iraq yang dipimpin Amerika Syarikat pada 2003 atau mencabarnya dan juga tidak muncul ketika krisis Sudan serta tidak melakukan apa - apa untuk menghentikan krisis di Sudan dari terus bergolak. Paling menyedihkan, Liga Arab hanya berpeluk tubuh melihat negara - negara Arab berseteru yang akhirnya seperti yang kita lihat hari ini, negara - negara Arab terbahagi kepada dua dan bermusuhan sesama sendiri.

Sikap berdiam diri Liga Arab dari terbabit secara aktif dalam konflik di Asia Barat sehingga saat ini sebenarnya telah menjejaskan kestabilan Asia Barat dan ianya mempengaruhi sikap dan serta memberi kesan kepada negara anggotanya.

Pembunuhan kejam oleh tentera Rusia di Syria, pencerobohan ke atas Yemen yang menghancurkan negara tersebut dan mewujudkan "malapetaka kemanusiaan terburuk" di dunia dipimpin oleh Arab Saudi dan UAE dimana kedua-duanya adalah kuasa dominan Liga Arab dan sekatan ke atas Qatar oleh negara anggota Liga Arab, sekali lagi dipimpin oleh Arab Saudi dan UAE adalah kegagalan terbesar Liga Arab akibat daripada sikap dan polisinya.

Sesungguhnya apa yang berlaku di Asia Barat ketika ini adalah bukti jelas kepada kita semua umat dan Dunia Islam bahawa tindakan mahupun pelan jangka panjang regim Israel mahupun sekutunya seperti Amerika Syarikat dan Britain sejak dari tertubuhnya negara haram Israel adalah untuk terus melenyapkan perjuangan pembebasan Palestin mahupun mematahkan saki baki perjuangan tersebut telah hampir berjaya.

Bukan sekadar mempergunakan pengaruh mahupun kekuatan mereka sendiri dengan bantuan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, tetapi mereka iaitu regim Israel berjaya menyusup masuk ke dalam negara - negara Asia Barat dan melaga - lagakan mereka hingga menecetuskan rasa tidak percaya, curiga antara satu sama lain dan seterus melancarkan propanganda sehingga mencetuskan peperangan seperti yang berlaku di Yemen, Syria dan Iraq.

Liga Arab yang sepatutnya menjadi kuasa penyatuan mahupun pendamai selaras dengan matlamat mahupun asas penubuhannya satu ketika dahulu saat ini telah menjadi boneka kepada regim Israel dan dikuasai oleh negara - negara Arab pro - Zionis seperti UAE dan Arab Saudi. Dengan memecah - belahkan negara Arab ataupun Asia Barat serta melaga - lagakan mereka sehingga negara - negara Arab terbahagi kepada dua, sebenarnya ia memudahkan regim Israel mahupun sekutunya seperti Amerika Syarikat untuk mendominasi mahupun menjajah secara tidak langsung bumi Asia Barat.

Palestin yang dahulu dan sepatutnya menjadi perjuangan utama dan titik persamaan perjuangan dikalangan negara - negara Arab telah dilupakan. Dengan mematikan pemain - pemain utama yang memperjuangkan pembebasan Palestin di Asia Barat seperti Iran, Iraq, Syria, Libya, Lubnan dan beberapa negara lagi serta mengawal negara - negara utama di Asia Barat seperti Arab Saudi dan UAE, cita - cita regim Israel dan sekutunya hampir selesai.

Namun ketika regim Israel dan sekutunya bersiap sedia menghapuskan saki baki perjuang mahupun talihayat perjuangan pembebasan Palestin dengan menekan dan cuba melenyapkan kumpulan seperti Hamas, Hizbullah dan Jihad Islami, muncul Turki yang tiba - tiba bangkit menjadi juara kepada umat dan Dunia Islam dikala regim Israel, Amerika Syarikat dan sekutu mereka dikalangan negara - negara Arab pro - zionis memulakan fasa akhir menakluk Asia Barat mahupun melenyapkan terus talihayat perjuangan Palestin dengan projek normalisasi hubungan dengan Israel.

Maka segala kudrat dan serangan saat ini tertumpu kepada Turki dan negara - negara yang bersama dengannya. Turki dilihat sebagai ancaman terbesar dan talihayat terakhir perjuangan Palestin mahupun pembebasan Asia Barat serta Dunia Islam daripada cengkaman pengaruh zionis Israel mahupun Amerika Syarikat dan sekutunya. Turki dan negara - negara yang bersamanya perlu ditekan dan dihapuskan kekuatan mereka. Namun jika panjang umur kita semua, saya yakin regim Israel dan sekutunya mampu ditumpaskan dan dihalau keluar dari bumi Palestin mahupun Asia Barat malah melenyapkan cengakaman terhadap umat dan Dunia Islam.

Usaha Turki untuk menyatukan Hamas dan Fatah mungkin titik awal bermulanya penyatuan umat dan Dunia Islam baik di Asia Barat mahupun di seluruh pelusuk dunia. Islam akan gah dan agung jika umat dan seluruh Dunia Islam bersatu namun Islam dan umatnya akan lemah dan kalah jika berpecah - belah, hasad dengki, curiga antara satu sama lain dan meninggalkan ajaran Islam yang sebenar. Renung dan ambillah iktibar apa yang berlaku sekarang ke atas umat dan Dunia Islam, usah kita ulangi perkara yang sama kerana sejarah silam telah membuktikan bahawa umat dan Dunia Islam hanya akan kuat dan utuh jika bersatu padu namun jika sebaliknya, ia akan hancur dan lebur serta akan dikuasai oleh musuh Islam.

Doakan agar bumi Baitul Maqdis dan Palestin bebas dari cengakaman pejajahan zionis Israel dan sama - samalah kita mohon kepada Allah SWT agar umat dan Dunia Islam bersatu - padu dan saling membantu demi untuk kemajuan dan kemakmuran umat dan Dunia Islam serta bebas dari cengkaman dan penjajahan baik secara fizikal mahupun minda oleh musuh - musuh Islam.

Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati kita semua.

Islam Memimpin Perpaduan.

**YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo