Dato’ Seri Anwar Ibrahim kelihatan terus menerus berusaha untuk menjadi teraju utama kepimpinan negara. Terkini beliau menyatakan bahawa sudah ada perkenan untuk menghadap DYMM Yang Di-Pertuan Agong. Katanya, pertemuan itu bagi membuktikan bahawa dia sudah memiliki cukup sokongan untuk menubuhkan kerajaan.
Langkah Anwar ini mempunyai pelbagai implikasi yang boleh dilihat dari pelbagai kemungkinan.
Pertamanya, jika dia benar-benar mempunyai sokongan, ia bermakna ada ahli Dewan Rakyat yang berubah angin atau melompat parti. Jika berlaku demikian, Tan Sri Muhyidin dianggap sebagai hilang sokongan majoriti dan tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri. Selaku PM, Muhyidin boleh terus meletakkan jawatan atau meminta YDPA untuk membubarkan Parlimen. Terpulang kepada YDPA sama ada memenuhi atau menolak permintaan itu. Jika permohonan ditolak, maka Anwar akan dilantik sebagai PM ke-9. Jika permohonan diterima, maka berlakulah PRU ke-15.
Kedua, terdapat kemungkinan Anwar mempunyai sokongan untuk menjatuhkan Muhyidin tetapi tidak mempunyai sokongan untuk menjadi PM. Kenapa berlaku demikian? Tidak mustahil mereka yang menyatakan sokongan kepada Anwar berbuat demikian semata-mata untuk memastikan berlaku PRU lebih awal. Berdasarkan beberapa kenyataan umum, kelihatan tokoh-tokoh dari UMNO sangat mengharapkan agar PRU diadakan segera. Harapan ini mungkin timbul kerana keyakinan bahawa inilah saat mereka untuk mengembalikan semula kuasa yang hilang dalam PRU ke-14 dahulu. Sokongan kepada Anwar hanya sebagai alat untuk mencapai cita-cita ini. Jika demikian, maka Anwar mungkin berjaya menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional, tetapi gagal untuk menubuhkan kerajaan dan akhirnya PRU ke 15 tidak lagi boleh dielakkan.
Ketiga, terdapat juga kemungkinan bahawa elemen-elemen tertentu dalam UMNO benar-benar ingin menyokong Anwar menubuhkan kerajaan baharu. Lantas, bila hasrat itu dipersembahkan kepada YDPA, maka dengan sendirinya kerajaan PN jatuh. Tetapi, pada saat rundingan untuk menubuhkan kerajaan, wujud konflik khususnya antara elemen UMNO dan DAP yang pada zahirnya amat sukar untuk bergabung. Keadaan yang kusut demikian jika tidak dapat dirungkaikan akan membawa kepada PRU-15 dalam tempoh terdekat ini.
Berdasarkan tiga senario kemungkinan di atas, kita dapat jangkakan bahawa langkah terkini Anwar mungkin akan membawa kepada PRU-15 pada saat rakyat sedang bertarung dengan Covid-19.
Kita doakan agar semua pemimpin politik mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat mengatasi cita-cita politik. Rakyat inginkan ahli politik yang menjadikan kuasa sebagai jalan untuk berbakti dan bersedia untuk berlapang dada demi kepentingan negara dan rakyat walau pun berada atas platform politik yang berbeza.
DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Gombak, Selangor
8 Oktober 2020
No comments
Post a Comment