Oleh: Anuar Ahmad
Pernah dengar ada orang kata "Melayu malas", "Melayu miskin", "Melayu tak pandai berniaga", "Melayu jahat", "Melayu kaki tipu" dan berbagai istilah lain?
Ini adalah apa yang dipanggil sebagai "Malay Bashing". Sedang berlaku sekarang.
Ada pemimpin politik kata orang Melayu pemalas,
Ada pensyarah universiti kata pelajar Melayu manja,
Ada majikan syarikat kata pekerja Melayu tak boleh diharap.
Ada pelanggan kata peniaga Melayu tak jual barang berkualiti.
Ada ketua jabatan kata pekerja Melayu tak cekap.
Macam macam dikata tentang Melayu. Semua ini adalah satu keadaan yang disebut sebagai 'Malay Bashing- Kecam Melayu".
Jika orang Melayu tak bersedia dan tidak faham fenomena ini, akan ada nanti sebahagian orang Melayu yang perlahan-lahan menerima dan bersetuju dengan amalan "Malay Bashing" ini.
Seterusnya kerana sentiasa diulang -ulang "malay bashing" ini, akhirnya orang Melayu akan percaya dengan label-label ini. Mereka percaya itulah mereka.
Bila sudah percaya, akhirnya orang Melayu akan mula bertingkahlaku begitu.
Manusia bertingkah laku mengikut apa yang dia percaya. Seorang anak jika diulang ulang bahawa dia 'bodoh' oleh ibubapa dan gurunya, maka dia akan percaya dia bodoh.
Maka dia akan mengambil tingkahlaku mewakili sifat orang bodoh. Anak-anak yang percaya mereka 'bodoh' akan takut bertanya soalan, takut menjawab soalan, tidak bersedia menawarkan diri untuk memimpin kumpulan dan sangat kurang memberikan pendapat sendiri.
Saya tidak nafikan memang ada Melayu malas, memang ada Melayu kaki tipu, memang ada Melayu miskin.Tapi bukan semua Melayu begitu. Itu sifat individu bukan mewakili sifat bangsa Melayu.
Ramai lagi Melayu yang rajin, ramai Melayu jujur dan ramai Melayu yang kaya. Tapi ini jarang disebut-sebut.
"Ethnic Bashing" adalah satu kaedah yang sistematik samada secara dirancang atau mungkin secara tidak dirancang untuk menjatuhkan kekuatan dan keyakinan diri di dalam sesuatu kaum atau bangsa.
Di era penjajahan Inggeris, para pegawai kolonial menggunakan kaedah ini untuk merasionalkan matlamat mereka untuk membawa masuk pekerja untuk bekerja di lombong bijih timah dan estet gerah. "Melayu malas" kata mereka.
Bacalah tulisan Frank Swettenham, "The Malay Sketches (1888) yang mengambarkan betapa Melayu adalah bangsa yang malas.
90 tahun kemudian, tulisan beliau telah dikritik hebat oleh Syed Hussein Alatas di dalam buku beliau "The Myth of The Lazy Native" (1978).
Kerana ratusan tahun di bawah penjajah melalui agenda "Malay Bashing" ini, orang Melayu menjadi bangsa yang inferior (rendah keyakinan diri).
Mereka tak berani menjadi peniaga. Mereka mula berfikir bahasa Melayu tak ada masa depan. Mereka melihat adat budaya Melayu ketinggalan zaman. Melayu adalah tradisional. Melayu tidak moden.
Orang Melayu mula berfikir kehidupan mereka lebih sesuai di kampung. Mereka mula berfikir kerja pertanian paling sesuai untuk mereka. Berniaga bukan untuk mereka.
Apatah lagi menjadi usahawan atau pengilang. Hinggalah ada lelucon lama yang berbunyi "Melayu tak payahlah bercita-cita tinggi sangat, buat sebatang jarum pun belum tentu boleh"
Orang Melayu ketika itu menganggap apa sahaja dari barat adalah baik, maju dan moden. Apa sahaja dari akar Melayu adalah tidak baik.
Ambil satu contoh. Orang Melayu mempunyai warisan ilmu perubatan tradisional yang sangat hebat tapi mereka tinggalkan ilmu perubatan tradisional bangsa Melayu kerana mereka menerima sepenuhnya perubatan barat.
Mereka percaya ilmu perubatan Barat satu-satunya yang terbaik. Penjajahan mendidik mereka percaya begitu. Orang Melayu berhenti mengkaji dan membuat penyelidikan secara komrehensif berkaitan perubatan Melayu. Bayangkan paten untuk pokok herba Tongkat Ali dipegang oleh MIT USA bukan universiti tempatan.
Bangsa Cina juga ada ilmu perubatan tradisional mereka. Sebagai perbandingan, di China ada lebih sepuluh buah universiti perubatan tradisional Cina.
Paling besar Beijing University of Chinese Medicine (1958), mempunyai 22 ribu pelajar dengan 15 fakulti.
Saya berpeluang ke sana beberapa tahun yang lalu. BUCM menawarkan lebih 10 program PhD dan puluhan program sarjana. Juga berpuluh program sarjana muda dalam bidang perubatan Cina.
Pelajar antarabangsa datang belajar di universiti ini tentang perubatan tradisional Cina dari lebih 52 buah negara.
Ada Universiti Perubatan Melayu di Malaysia yang menawarkan ijazah, sarjana dan PhD? Saya tanya anda, ada? Mengapa tiada?
Sebabnya kita tidak percaya pada diri sendiri. Kita percaya ilmu perubatan Barat satu-satunya ilmunya perubatan terbaik.
"Malay Bashing" ini akan berterusan. Jika tidak disedarkan anak-anak Melayu, mereka akan perlahan-lahan hilang keyakinan diri sebagai satu bangsa.
Sebab itu bangsa Melayu kena mula tolak agenda "Malay Bashing" yang melanda mereka sekarang. Ini perlu dilakukan dengan lebih bersatupadu, bekerja kuat, jangan irihati sesama bangsa, sokong menyokong dan paling utama meningkatkan ilmu pengetahuan.
Sokong barangan Muslim adalah satu tindakan menolak "Malay Bashing" berkaitan produk muslim. Melayu mesti hebat dalam pendidikan, perniagaan dan pentadbiran.
Kita kena sebarkan seluasnya supaya lebih ramai orang Melayu sedar isu ini. Kita tidak boleh lagi bertolak ansur pada sebarang usaha merendahkan minda Melayu melalui agenda "Malay Bashing" ini.
Kita seluruhnya kena bangun dan berkongsi usaha walaupun kecil demi menyatakan ketegasan bangsa Melayu sebagai bangsa yang mesti dihormati bukan dikecam sesuka hati. Cukup-cukuplah...
Rujukan
https://www.thesundaily.my/archive/stop-malay-bashing-GUARCH578070
https://www.newmandala.org/deep-malay-cultural-psychology/
https://m.malaysiakini.com/news/490900
http://www.financetwitter.com/2018/09/mahathir-has-spoken-again-malays-are-lazy-untrustworthy-banks-no-longer-trust-them.html
https://www.ssc.wisc.edu/~oliver/wp/wp-content/uploads/2015/06/Oliver_The-Ethnic-Dimensions_Feb_2013.pdf
http://www.china.org.cn/top10/2012-02/22/content_24683507_10.htm
No comments
Post a Comment