NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hidung ‘pemimpin Pinocchio’ semakin panjang


oleh: LanH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
BAGI orang berpegang kepada Islam hidup ini amat mudah. Hidup mereka berpandukan perintah dan larangan Allah SWT. Mereka patuh kepada hukum Allah. Hukum syara’ terbahagi kepada lima – wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Perkara wajib mereka buat, yang sunat digalakkan membuatnya, yang harus terpulanglah kepada seseorang, yang makruh digalakkan untuk ditinggalkan manakala yang haram ditinggalkan terus kerana ia mengundang dosa.

Berbohong atau berdusta adalah haram. Ia salah satu daripada tiga petanda bahawa seseorang itu bersifat munafik. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Pertama, apabila berkata-kata ia berdusta. Kedua, apabila berjanji ia mengingkari. Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan) dia mengkhianatinya.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Jadi berbohong wajib dijauhkan. Namun pembohongan semakin menjadi-jadi di kalangan pemimpin tertentu, media massa dan rakyat. Pemimpin berbohong dalam isu salah tadbir, media massa menipu dalam laporan mereka manakala rakyat mengikut pemimpin menepati pepatah ‘guru kencing berdiri anak murid kencing berlari’.

Pemimpin sudah acap kali ‘ditangkap’ berbohong. Misalnya dalam isu ‘wang derma’, kenaikan harga petrol dan barangan keperluan (dijanjikan tidak naik tetapi naik juga) dan pemansuhan undang-undang tertentu tetapi menggantikannya dengan yang lebih ‘kejam’.

Jika seseorang itu beriman tentunya dia tidak membuat propaganda murahan bagi meraihkan kepentingan tertentu termasuk politik tetapi membuat penilaian berdasarkan hukum syara’ tadi – wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Ya, haram untuk melakukan pembohongan dan kemudian menyebarkan pendustaan itu. Yalah, semua pihak yang bertarung termasuk dalam politik mahukan kemenangan tetapi matlamat tidak menghalalkan cara. Kaedah Machiavelli tidak terpakai dalam ajaran murni Islam. Semua orang bertanggungjawab di atas perbuatannya – tidak kira kecil atau besar semuanya akan dibalas bukan saja di akhirat tetapi kadang-kadang di dunia lagi Allah SWT sudah tunjukkan buktinya.

Pembohongan bukan saja tidak dapat diterima oleh Islam tetapi semua masyarakat dunia. Bagi orang Barat, mereka ada watak Pinocchio yang jika dia berbohong akan bertambah panjang hidungnya. Bagi ketua kerajaan, menteri dan ahli Parlimen di negara Barat, pembohongan akan menyebabkan mereka kena ‘grill’ (diselidiki secara terperinci) oleh jawatankuasa khas dan jika didapat bersalah, alamat berakhirlah karier politik masing-masing. Ini kerana melakukan pembohongan tidak dapat diterima sama sekali oleh masyarakat negara-negara maju ini.

Penyakit ‘bohong’ di kalangan masyarakat kita terutama pemimpin politik tertentu semakin kronik. Yalah, jika ‘kadar’ pembohongan dapat diukur seperti Pinocchio yang hidungnya menjadi semakin panjang setiap kali dia berbohong, tentunya kita dapat tahu siapa di kalangan pemimpin yang paling kuat temberangnya.

Pembohongan sesetengah media massa kita amat menakutkan. Kalau tersilap lapor, boleh dimaafkan tetapi jika sengaja menyiarkan laporan tidak benar semata-mata untuk memuaskan pihak tertentu, ia akan 'melahirkan pembohong' dalam masyarakat kita. Pembohongan yang semakin menjadi-jadi ini ini akan mendatangkan kesan negatif kepada anak-anak. Jika orang tua sudah mengajar mereka berbohong, kita bimbang sifat buruk itu akan diteladani.

Hari ini politik negara kita menyaksikan pembohongan kronik. Misalnya, dari peringkat paling atas, cakap-cakap mengenai demokrasi dan hak asasi dihebohkan, tetapi setakat mana ia benar-benar dikotakan, tidaklah diketahui. Sifat hipokrit begitu ketara menjelang satu-satu pilihan raya.

Bukankah semua ini menunjukkan sesetengah pihak terutama pemimpin amat hipokrit (munafik) dalam menjalani penghidupan. Mereka yang bersifat talam dua muka ini mendatangkan kebencian teramat sangat di kalangan rakyat.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo