Alhamdulillah. Saya baru selesai menonton Mael Totey The Movie melalui Astro Go, filem terbitan Syahmi Sazli Production yang juga merupakan filem pertama arahan Syahmi Sazli sendiri. Tahniah kerana mencipta rekod mencecah RM700,000 pada hari pertama tayangan di Astro First!
Sudah lama tidak menonton filem Melayu terkini dan saya tergamit menontonnya selepas membaca review penonton yang sangat positif. Selepas menontonnya, saya rasa filem komedi santai P13 ini adalah filem wajib tonton. Ia bukan sebuah filem sempurna (Syahmi Sazli sendiri mengatakan akan menambahbaik pada masa akan datang), tapi ia sebuah filem yang berjaya serta sarat mesej dan pengajaran.
Banyak elemen dalam filem ini yang saya boleh bagi kredit dan penghargaan. Lebih menarik saya boleh kaitkan beberapa hal dengan pengalaman hidup dan diri saya sendiri. Berikut dikongsikan untuk perbincangan kita bersama:
1. Penguasaan Bahasa Inggeris
Filem ini mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha mempelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat yang diberi gadis idamannya. Ia sangat menarik bila Bahasa Inggeris Teacher Siti yang menggunakan slang British English mengangkat tema kepentingan Bahasa Inggeris secara tidak langsung.
Saya orang kampung dan belajar di sebuah sekolah di luar bandar di Sarawak. Kebanyakan kami memang sangat lemah penguasaan Bahasa Inggeris semasa Sekolah Rendah (SK Kelapa Sawit No. 5 Subis) bahkan sampai ke Sekolah Menengah. Saya masih ingat kisah lucu semasa dulu diminta untuk memperkenalkan diri.
Saya menyebut dalam broken English antaranya “my mother is a good cooker!” Saya ingin maksudkan “ibu saya adalah seorang yang pandai memasak” tanpa mengetahui sebenarnya cooker itu ialah periuk untuk memasak (jadi ‘anak derhaka’ pula sebab kata ibu sebagai periuk nasi!) Saya terpengaruh dengan pekerjaan yang biasanya berakhir dengan er seperti teacher, lawyer, engineer, driver, cashier dan lain-lain! Yang betul dari sudut grammar ialah “my mother is a good cook!”
Banyak lagi kisah lucu penggunaan broken Bahasa Inggeris saya dahulu, antara yang sangat saya ingat ialah “the because is” untuk menyatakan “sebabnya ialah” sedangkan ini sangat salah di sudut tatabahasa Bahasa Inggeris!
Alhamdulillah hari ini dengan usaha bersungguh-sungguh, saya kini sudah fasih berbahasa Inggeris. Bahkan sudah beberapa kali menyampaikan ucapan dan kertas kerja di peringkat antarabangsa dalam Bahasa Ingggeris. Sudah beberapa siri juga dijemput untuk siaran langsung rancangan televisyen dalam Bahasa Inggeris.
Meskipun filem ini membawa tema penggunaan Bahasa Inggeris ini secara santai dan dengan unsur humor, namun ianya tepat dalam usaha menguasai Bahasa Inggeris. Pengalaman saya ialah jangan malu dan segan Berbahasa Inggeris agar dapat menguasainya. Orang sekeliling pula perlu membantu dengan tidak mentertawakan jika berlaku kesalahan tetapi sebaliknya membetulkan dengan cara berhikmah.
Untuk menguasai Bahasa Inggeris, we need to read in English, write in English and speak in English.
Profesor saya di universiti dulu kata jika nak tahu Bahasa Inggeris kita sudah baik, ia akan sampai tahap kita akan bermimpi dalam Bahasa Inggeris. Maksudnya kena belajar sampai tahap we dream in English!
2. Mengangkat Pelakon-pelakon OKU ke Layar Perak
Alhamdulillah 'ala kulli hal, ini antara perkara penting yang berjaya dibawa oleh Syazmi Sazli iaitu mengetengahkan pelakon-pelakon kelainan upaya (OKU) iaitu Yoe, Asif, Bedul dan Yatin. Bahkan majoriti pelakon filem ini adalah bukan pelakon terkenal namun berjaya membawa watak dengan cemerlang.
Yoe, Asif, Bedul dan Yatin adalah OKU yang dikategorikan sebagai autisme. Mereka berjaya menghiburkan kita dengan telatah mereka dalam filem ini. Lakonan mereka yang bersahaja namun mencuit hati ini memberi nilai tambah kepada filem yang membawa suasana damai kehidupan desa.
Lebih berkait dengan saya, Allah bagi hadiah dan ujian kepada saya dan isteri dengan anak ke-2 kami Muhammad Iyad 'Izzuddin adalah anak istimewa yang juga didiagnos menghidap sindrom autisme.
Autisme adalah istilah yang merujuk pada sekumpulan gangguan perkembangan yang mempengaruhi saraf otak. Gangguan pada saraf otak ini mempengaruhi kemampuan seseorang untuk berkomunikasi, menjalin hubungan dengan orang lain, dan merespon dunia luar dengan baik.
Saya menganggap kami adalah golongan ibubapa yang sangat istimewa kerana Allah memilih kami untuk menjaga amanahNya, anugerahNya dan Ahli SyurgaNya. Kepada ibubapa lain yang mempunyai anak autisme di luar sana, kalian adalah insan terpilih yang hebat.
Banyak mesej berkaitan OKU dalam dilem ini yang menyentuh perasaan. Antaranya skrip yang sangat deep “walaupun ayah ini jahat, dia tak buang anak OKU dia”! Salah satu babak lagi, antara skrip yang mempunyai punchline penuh mesej: “Yoe ini tak sempurna dan tak pandai nak berdoa. Kalau betul anak OKU ini Ahli Syurga, boleh ke Yoe nak bawa ayah ke Syurga bersama.” Allahu Akbar!
3. Babak Percintaan yang Menjaga Batas Syariat
Filem ini berkisar kisah Mael dengan 3 wanita. Pertama, Zaiton yang minta putus dengan Mael kerana Mael terlalu baik (lurus bendul). Kedua, Yaya Toure (guna nama bekas pemain Manchester City dan kebetulan saya juga peminat #TheCityzens!) yang menolak cinta Mael namun kemudiannya mengganggu rumahtangganya. Ketiga, Teacher Siti yang akhirnya menjadi isterinya.
Saya tidak perlu menceritakan details kisah-kisah percintaan ini. Namun apa yang nak saya sampaikan ialah semua babak-babak percintaan ini tiada adegan bersentuhan lelaki perempuan, pelakonnya semampu mungkin menutup aurat dan tiada juga elemen seksual keghairahan yang biasa ada dalam filem-filem percintaan konvensional.
Bahkan banyak lagi mesej Islamik berkenaan perkahwinan dalam filem ini yang disampaikan secara tersirat dan tidak langsung. Ada juga satu scene di mana Mael menyebut “Dewan Ulamak PAS”!
Demikianlah review saya untuk filem ini. Sekali lagi, saya mengesyorkan filem ini sebagai filem wajib tonton. Ianya menggunakan dialek Kelantan yang pekat, tapi jangan bimbang ada sarikata disediakan. Jika orang Sarawak pun boleh faham, tentunya anda juga boleh!
Pastikan sokong Pengarah Filem muda ini dengan tidak menonton yang cetak rompak. Langgan di Astro First, hanya RM15.90 termasuk cukai. Endingnya juga sangat menarik! Anda perlu menontonnya untuk mengetahui lebih lanjut!
Bukan Penganalisis Filem, Sekadar Berkongsi Rasa!
No comments
Post a Comment