NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Erdogan Khalifah Tidak Rasmi Umat Islam



oleh:Abdul Muein Abadi

1. Di hari ulang tahun kelahiran Rasulullah S.A.W. hari ini, ramai yang kurang sedar bahawa saat ini umat Islam sudah memiliki seorang pemimpin berstatus ‘khalifah tidak rasmi’ yang berjaya mengimbangi keangkuhan material, ketenteraan, dan ideologi Barat, hampir 100 tahun selepas runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah pada 1924. 

2. Selepas keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah yang merupakan pewaris kuasa politik Rasulullah S.A.W., umat Islam di seluruh dunia ibarat anak ayam kehilangan ibunya. 

3. Meski pun dikurniakan kekayaan sumber, populasi, dan wilayah yang sebegitu luas, umat Islam berterus-terusan menjadi hamba imperialis secara bergilir-gilir: menjadi hamba Portugis, hamba Perancis, hamba British, hamba Belanda, hamba ideologi Komunis Soviet, dan hari ini majoritinya diperhambakan hegemoni AS. 

4. Maruah dan wilayah umat Islam dipijak dengan dahsyat sekali oleh para imperialis – hingga ke tahap sebahagian umat Islam sendiri turut berasa malu dan hina dengan Islam, al-Quran, Sunnah, dan alim ulama.

5. Dalam tempoh ketiadaan Khalifah, kiblat pertama umat Islam di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis Palestin telah dijajah Yahudi Zionis. Wilayah dan hasil bumi umat Islam pula diagih-agihkan sesama para imperialis dengan bantuan tali barut rejim tempatan dalam kalangan umat Islam sendiri yang kenyang dengan habuan duniawi yang sedikit. 

6. Pandangan alam Islam diganti pandangan alam sekular yang didominasi material tanpa pertimbangan dosa pahala. 

7. Akibatnya, kekuasaan sistem kewangan AS dengan petrodollar yang menggantikan sistem tambatan nilai wang dengan nilai emas Bretton Woods menyaksikan majoriti para pemimpin dunia Islam pasca-Khilafah ibarat lembu kenyang. 

8. Hasil persekongkolan mereka dengan pelaburan sistem riba petrodollar – diperkukuhkan dengan sokongan politik dan ketenteraan Barat meski pun rekod hak asasi manusia mereka cukup buruk – para pemimpin umat Islam ini memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap penjajahan sistematik Zionis dan juga penghinaan berterusan terhadap agama Islam, termasuklah kepada imej Rasulullah S.A.W. 

9. Namun hari ini ada seorang pemimpin negara Islam yang berjaya mengimbangi antara kuasa ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, menangani sekatan ekonomi AS, memupuk perjanjian perdagangan bebas sesama negara Islam (termasuk Malaysia), mengusahakan kestabilan Syria, Libya, Iraq, Azerbaijan, Cyprus Utara, serta istiqamah memperjuangkan pembebasan Palestin daripada Zionis: beliau ialah Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan. 

10. Terkini, Erdogan kembali terkehadapan mempertahankan kemuliaan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. di bulan kelahiran Baginda daripada penghinaan berterusan pemimpin sekular Perancis Emmanuel Macron. 

11. Hari ini Erdogan ibarat berusaha menebus kembali ‘dosa-dosa’ para pemimpin umat Islam pasca-Khilafah; tidak hanya beretorik, Presiden Turki ini bertindak dengan sebenar-benarnya melalui kuasa ekonomi, politik, dan ketenteraan. 

12. Di sebalik segala kekangan dalam sistem sekular Turki warisan Mustafa Kamal Attaturk ditambah pula dengan hegemoni global AS pasca-Perang Dingin, Erdogan dengan ijtihad politik berhasil menterjemahkan visi Islamis dalam dasar luar Turki sejak 2003. 

13. Beliau bertindak menghentak Perdana Menteri Israel di Forum Ekonomi Dunia, tidak henti-henti memperjuangkan nasib Palestin di PBB, berusaha membangunkan Iraq pasca-Bush, mengusahakan kestabilan politik Libya, Syria, dan terkini di Cyprus Utara dan Azerbaijan.

14. Di sebalik segala pencapaian ekonomi, kebudayaan, dan politik Erdogan, beliau tidak terpana dengan habuan duniawi dan berani mengkritik pemimpin negara Islam yang sanggup bersekongkol dengan Zionis: antaranya seperti UAE, Bahrain, dan terkini Sudan.

15. Status Khalifah tidak rasmi Erdogan ini turut diterjemah dalam dimensi sosio-budaya. Jika beberapa bulan lalu Erdogan berjaya mengembalikan semula status tapak bersejarah Ayasofya di Istanbul sebagai masjid, terkini beliau tidak berdiam diri dengan sikap hipokrit Presiden Perancis Emmanuel Macron. 

16. Tindakan Macron menyokong tindakan melukis potret Nabi Muhammad S.A.W. serta menuduh Islam sebagai ‘berkrisis di seluruh dunia’ mengundang tindak balas tegas Erdogan. Presiden Turki itu mengecam Presiden Perancis sebagai ‘memerlukan rawatan mental’ atas sikap permusuhannya terhadap Islam. Malah, Erdogan juga menggerakkan usaha memboikot produk barangan Perancis.

17. Empat tahun lagi pada tarikh 3 Mac 2024 maka genaplah 100 tahun umat Islam tanpa Khilafah yang diwariskan daripada Rasulullah dan para sahabat. Namun begitu, hari ini kita setidak-tidaknya mempunyai ‘suara’ Khalifah tidak rasmi yang berani memperjuangkan kepentingan strategik dan maruah umat Islam. 
18. Sama seperti mana Salahuddin al-Ayubi dahulu yang tidak menuntut atau meminta-minta untuk diiktiraf sebagai Khalifah umat Islam meski pun berjaya membebaskan Baitulmadis daripada penjajahan Tentera Salib, begitulah juga sikap Erdogan yang kita saksikan hari ini di sebalik segala pencapaian beliau di Timur Tengah dan juga di pentas antarabangsa. 

19. Semoga Allah terus memeliharakan hamba-hamba-Nya yang istiqamah mempertahankan Allah dan Rasul serta maruah umat Islam tanpa menyerah secara apologetik kepada sistem, ideologi, dan habuan duniawi.

Salam Maulidur Rasul 1442H/2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo