KUALA LUMPUR — Cukup-cukuplah berpolitik, masa untuk perangi COVID-19 habis-habisan.
Itu lah mesej jelas kepada senario dan drama politik sejak beberapa minggu lepas yang akhirnya ‘ditenteramkan’ selepas titah dari Istana Negara menggesa ahli politik untuk menghentikan amalan politik berlebihan sehingga boleh menjejaskan kestabilan negara.
Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu pada Ahad lepas antara lain menyebut tiada keperluan untuk pengisytiharan darurat selepas baginda merasakan kerajaan ketika ini berjaya menangani wabak COVID-19 dengan baik dan berkesan.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata warkah dari Istana itu perlu ‘dihadam dan ditanam’ semua parti politik baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, termasuk pucuk pimpinan parti.
“Buanglah sikap mementingkan diri dan parti, buka fikiran dan berlapang dada serta akur bahawa setiap pemimpin dan partinya ada tanggungjawab lebih besar pada masa ini iaitu untuk membalas jasa pengundi yang telah mengundi mereka (pemimpin dan parti politik).
“Setiap pucuk pimpinan dan pemimpin parti politik nasional serta negeri perlu balik kepada parti masing-masing untuk bertemu dan bersepakat bagi membantu kerajaan memerangi pandemik COVID-19 menerusi jentera parti masing-masing,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, katanya, ada keperluan untuk parti politik bergabung merencana pelan bantuan dalam semua aspek demi memastikan pandemik dapat dikawal dan negara dapat dipulihkan namun perlu mengetepikan perbezaan ideologi selain merapatkan saf sesama parti berlainan ideologi ini.
Tegasnya, ini dapat membentuk satu jentera parti besar yang memikir dan melaksana idea bagi meringankan beban agensi kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19, justeru, kesepakatan itu perlu diungkapkan secara konsisten dan berterusan serta diterjemahkan dalam bentuk tindakan pantas.
“Sekiranya perkara ini dapat dilakukan, maka imej dan reputasi pemimpin dan parti politik akan kembali diyakini sebagai prihatin dan mengambil tahu nasib rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, geostrategis Azmi Hassan berkata semua pihak perlu menghentikan aktiviti politik seperti ugutan menjatuhkan lawan kerana rakyat mengharapkan tumpuan dalam mengekang penularan virus yang membimbangkan masyarakat.
Katanya, ahli politik boleh kembali berpolitik seperti kelaziman apabila keadaan pandemik sudah kembali terkawal.
“Masalahnya berpolitik berlebihan ketika ini menjerumus kepada situasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan ini yang rakyat ingin elakkan. Rakyat juga menanti nasib perbahasan berkaitan Belanjawan 2021 pada sidang Parlimen bulan depan.
“Jika ujian ini gagal, maka sah ahli politik kita hanya pentingkan agenda kepartian masing-masing dan bukan kepentingan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Mohd Shukri Shuib berkata Belanjawan 2021 memerlukan undi konsensus jika benar titah Diraja itu diambil sebagai satu teguran membina kepada negara.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata ia dapat dilihat apabila perjuangan ‘politicking’ antara sesama tokoh dan parti dalam kalangan anggota blok kerajaan dihentikan, ditambah nilai oleh sokongan dari blok pembangkang supaya lampu hijau kepada Belanjawan 2021 dapat diberikan.
“Ini seolah ‘Bajet Ambulans’ yang dalam kecemasan dan perlu diberikan laluan kelulusan. Jadi kuranglah berpolitik, buat kerja untuk rakyat dan bina negara… itulah patut dilakukan.
“ Walaupun sesama mereka ada rasa tidak puas hati dan mungkin ada cubaan hendak ‘mengajar’ tokoh tertentu, tapi bukan dengan cara meruntuhkan kerajaan dan menggagalkan tadbir urus yang sedang kritikal dengan COVID-19 ini,” katanya.
— BERNAMA
No comments
Post a Comment