Oleh : Hawa Saadah (HS Optometrist Sdn Bhd)
"ABANG, cuba tengok mata anak kita ni. Macam juling je bila main handphone tu”.
“Eh, yelah sayang”. Terpancar kerisauan pada riak wajah Encik Hafiz.
“Alissa..pandang ayah sayang.” Alissa yang baru berusia empat tahun tidak mengendahkan panggilan ayahnya. Khusyuk melihat cerita ‘Papa Pipi’ di telefon bimbit si ayah.
“Alissa… pandanglah ayah, sayang.” sambil mengangkat Alissa ke ribanya. Alissa segera mendongakkan wajahnya. Terasa diganggu dengan tindakan ayahnya.
Aduh, semakin jelas kelihatan mata anaknya sekejap keluar, sekejap masuk. Lantas si ayah terus memeluk anak sulungnya dengan perasaan sebak. Dia bermonolog sendirian “Apa yang perlu aku lakukan sekarang? Apa yang akan terjadi pada Alissa bila dia sudah besar? Ya Allah, tunjukkan aku jalan”.
Tiba-tiba, teringat beliau kepada optometris yang memeriksa matanya tempoh hari. Lantas Encik Hafiz menelefon mereka untuk membuat temujanji.
Keesokan harinya tepat jam 10.15 pagi, Encik Hafiz hadir membawa Alissa berjumpa optometris untuk pemeriksaan mata. Alissa memberikan kerjasama yang baik sepanjang pemeriksaan mata tersebut.
“Encik Hafiz, setelah mata Alissa diperiksa, kami mendapati Alissa mempunyai masalah rabun jauh dan rabun silau yang tinggi. Oleh sebab rabun tersebut tidak ditangani segera mengakibatkan Alissa mula mendapat masalah mata malas dan juga juling.”
Wajah Hafiz bungkam. “Patutlah selama ni, ajar Alissa mengaji dia tak fokus. Rupanya rabun Alissa tinggi” bisik hatinya.
“Jadi, macam mana nak selesaikan masalah Alissa ni?” soal Hafiz.
“Rawatan untuk kes ini memerlukan masa, tenaga dan kerjasama dari Alissa, Encik Hafiz dan isteri. Rawatan pertama adalah dengan memakai cermin mata sepanjang masa. Selepas itu, Alissa perlu menghadiri tiga kali sesi terapi dan kita akan lihat pencapaian Alissa dari masa ke semasa.”
“Tiada masalah apa-apa ke jika Alissa pakai cermin mata sekarang. Maksud saya, nanti power mata Alissa akan bertambah lagi ke?” tanya Hafiz meminta kepastian. Baginya Alissa kecil lagi untuk memakai cermin mata.
“Encik Hafiz, pemakaian cermin mata adalah rawatan yang pertama dan utama untuk masalah rabun dan mata malas. Kadangkala, masalah tersebut boleh selesai dengan pemakaian cermin mata sahaja. Adakalanya, mereka memerlukan terapi untuk menyelesaikan masalah ini.
“Bab power mata bertambah ini bergantung kepada cara hidup Alissa sendiri. Saya amat galakkan untuk Alissa mengamalkan tips 20-20-20. Setelah melakukan aktiviti dekat selamat 20 minit, rehatkan mata selama 20 saat dengan melihat objek jauh sejauh 20 kaki. Ini adalah latihan untuk merehatkan otot mata yang perlu bekerja ketika membuat aktiviti dekat.”
Panjang lebar optometris memberikan penerangan. Bagi optometris, mereka perlu membantu Alissa agar dapat melihat seperti kanak-kanak yang lain.
Jika masalah penglihatan ini tidak dirawat dari awal, masalah lain yang akan timbul seperti masalah untuk belajar, masalah untuk fokus, masalah emosi untuk bergaul dengan rakan-rakan dan masalah lain yang mungkin tidak dijangka.
Setelah Hafiz dan isteri berbincang, mereka bersetuju untuk meneruskan sesi rawatan.
“Baiklah puan. Saya akan usahakan apa-apa sahaja untuk kebaikan Alissa.” ujar Hafiz dengan senyuman penuh harapan.
Perkongsian ini adalah cerita benar yang diolah untuk diambil pengajaran.
Antaranya:
1. Bawa anak anda berjumpa optometris seawal usia tiga tahun walaupun mereka tidak mempunyai simptom rabun.
2. Jalani pemeriksaan mata setiap tahun walaupun anda tidak memakai cermin mata.
3. Pemakaian cermin mata di awal usia adalah penting sekiranya anak anda mempunyai rabun dan dinasihatkan oleh optometris untuk memakai cermin mata.
4. Amalkan tips 20-20-20 di dalam kehidupan. Gaya hidup yang sihat mampu mengurangkan risiko untuk mendapat rabun yang tinggi.
Sumber : https://berita.pas.org.my/tinta-optometris-siri-1-buat-4-perkara-ini-jika-tidak-mahu-mata-anak-rosak/
No comments
Post a Comment