Saya sudah beberapa kali ke Borobudur, malah pernah juga menginap di rumah penduduk kampung di sekitar Candi Borobudur. Sememangnya saya dapati hampir 100% penduduk kampung-kampung di sekitar Borobudur beragama Islam.
Suatu ketika saya pernah berada di puncak Candi Borobudur ketika masuk waktu Zohor, maka kedengaran laungan azan dari setiap penjuru Candi Borobudur seumpama saling bersahut-sahutan. Suasana ini jika dihayati memang sangat mengharukan.
Candi Borobudur suatu ketika dulu pernah menjadi antara pusat ibadat dan pusat pengajian agama Buddha yang terulung dan terbesar di dunia. Jadi sudah tentu kota dan kampung yang mengelilingi Candi Borobudur ini terdiri dari para penganut Buddha yang taat.
Suatu ketika dahulu, di bahagian paling barat dunia Islam, tamadun Andalusia menggungguli kemajuan dunia. Pada ketika itu ilmu sains dan teknologi yang dimiliki oleh orang-orang Islam Andalusia tiada tolok bandingnya.
Perpustakaan besar di Andalusia pada ketika itu memiliki sekitar 400,000 buku dalam pelbagai ilmu. Universiti-universiti telah ditubuhkan hingga menghasilkan para sarjana. Dengan itu, bangsa-bangsa Eropah mendapat keuntungan dari limpahan ilmu pengetahuan di Andalusia.
Malangnya pada pertengahan abad ke-15, umat Islam di Andalusia saling bermusuhan dan berperang sesama sendiri. Mereka sudah meninggalkan kerja-kerja dakwah. Para pemimpin Granada umpama Abu al-Hasan Ali, Abu Abdillah dan Muhammad al-Zaghal saling berperang bagi merebut takhta. Akhirnya, pada tahun 1492, kerajaan Islam Andalusia lenyap sama sekali. Malah syiar Islam turut lenyap dari bumi Andalusia.
Pada waktu yang sama, di bahagian paling timur dunia Islam, umat Islam di Tanah Jawa yang dipimpin oleh para ulama terutama para Wali Songo sibuk mengerjakan dakwah dengan penuh hikmah. Mereka turut mendapat bantuan dari kerajaan Islam Samudera Pasai dan Kesultanan Melaka. Manusia disantuni dengan akhlak hingga hidayah menembus dada-dada mereka. Kesannya, kerajaan Islam pertama di Jawa iaitu Kesultanan Demak berjaya ditubuhkan pada tahun 1482.
Kesan perebutan kuasa di Andalusia dan kesan dakwah di Jawa pada pertengahan abad ke-15 masih lagi dapat dirasakan hingga hari ini. Ribuan masjid-masjid yang pernah berdiri megah di bumi Andalusia telah lenyap sama sekali. Dengan itu, azan tidak lagi dikumandangkan. Di Jawa pula sebaliknya, pembinaan masjid-masjid telah menggantikan peranan candi dalam kehidupan masyarakat.
Sehinggakan ribuan masjid telah berdiri di Tanah Jawa.
Dengan itu, usaha dakwah dan perebutan kuasa umpama madu dan racun. Dalam waktu yang sama, perebutan kuasa telah menghilangkan wilayah Islam di bahagian barat dunia, manakala usaha dakwah pula telah membentuk wilayah Islam baru di bahagian timur dunia.
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam
No comments
Post a Comment