NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anak Kelahiran Kelantan, Luqman Hakim Semakin Hampir Untuk Beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL)

KUALA LUMPUR: Penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dianggap semakin hampir memenuhi syarat mendapatkan 'lesen' untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim menjelaskan tindakan Luqman menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk serta tampil buat kali pertama dalam liga utama negara itu kelmarin, bermakna dia menghampiri syarat utama untuk mendapatkan visa bekerja 'Tier 2' atau 'Tier 5' Imigresen United Kingdom (UK).

Zakaria yang pernah bekerja sebagai pegawai pembayaran antarabangsa di Barclays Bank UK dari 2002 hingga 2005 berkata, beliau menumpukan kepada EPL berbanding liga lain di Eropah kerana negara itu mempunyai syarat yang ketat dalam pengambilan pekerja asing.

"Untuk bermain di mana-mana liga profesional di UK bagi pemain Malaysia, dia perlu sekurang-kurangnya bermain di mana-mana liga utama di negara EU (Kesatuan Eropah).

"Mengikut peraturan Bosman yang dilaksanakan sejak 20 tahun lalu, mana-mana pemain di EU adalah bebas untuk ditawarkan pekerjaan (kontrak pemain profesional) di mana-mana negara EU.

"Tetapi bagi yang tidak bermain di mana-mana negara EU, perlulah mewakili negaranya di tahap tertinggi iaitu sekurang-kurangnya pasukan negaranya berada dalam ranking kelompok 50 teratas dunia serta mempunyai peratus mata mencukupi sebagai pemain negaranya.

"Malah, Luqman kini secara teknikalnya sudah melangkah sebelah kaki layak mendapatkan permit bekerja dan bermain bola sepak di bawah kategori Tier 2 'sportsperson visa' atau Tier 5 'Temporary Worker' - Creative or Sporting visa," katanya.

Selain itu, Zakaria menjelaskan apa yang perlu dilakukan sekarang adalah bakat Luqman perlu dilihat oleh skuad pemantau bakat kelab dari UK.

Katanya, ia bermakna, Luqman perlu mendapat lebih minit permainan tidak kira sama ada sebagai pemain utama atau simpanan dan dia perlu meningkatkan lagi prestasinya.

"Walaupun Luqman mempunyai lima tahun kontrak bersama kelabnya di Belgium, seandainya ada tawaran dari mana-mana kelab di UK mahu pun liga lain di UEFA, sudah pasti kelabnya bersedia untuk menjual kontraknya kepada kelab yang berminat.

"Kortrijk ambil tindakan bijak kerana Luqman pun muda lagi. Jadi, Luqman wajib menggunakan sepenuhnya peluang yang terbentang luas sekarang untuk meletak sasaran menjadi anak Malaysia pertama bermain di EPL," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo