Antara peluru berpandu yang dijual AS kepada Taiwan dalam pakej pertahanan bernilai hampir RM1 trillion. - Foto AFP |
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan jualan 100 senjata sistem pertahanan pantai, Harpoon, bernilai AS$2.4 bilion (hampir RM1 trilion) kepada Taiwan.
Urus niaga itu menimbulkan kemarahan China, yang bantahannya terhadap jualan peluru berpandu bernilai AS$1 bilion (RM4.1 bilion) kepada Taiwan minggu lalu, tidak diendahkan oleh AS.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas China memutuskan kemungkinan menyekat firma AS yang terbabit dalam penjualan senjata api terdahulu, melakukan sebarang urus niaga dengan negara kepulauan demokratik bebas itu.
Menurut Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan, cadangan penjualan sistem Harpoon itu berpotensi menambah keselamatan penerima dan membantu mengekalkan kestabilan politik, keseimbangan tentera dan kemajuan negara.
Perjanjian itu membabitkan 100 senjata sistem pertahanan pantai, Harpoon termasuk pelancar peluru berpandu 400 RGM-84L-4 Harpoon Block II dengan keupayaan jarak serangan sekitar 125 kilometer.
Peluru berpandu dihasilkan oleh Boeing itu boleh diletakkan di lokasi tetap atau di belakang trak.
Pejabat Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, mengeluarkan satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada AS berhubung penjualan itu dan berkata ia akan meningkatkan keupayaan perang.
Taiwan sering kali berdepan ancaman China, yang pemimpinnya menganggap kepulauan itu sebagai salah satu daripada wilayah mereka, malah berikrar akan mengambilnya semula secara paksa jika perlu.
China dilihat ingin menekan Taiwan sejak pilihan raya 2016 dan Ing-wen pula menganggap Taiwan sebagai negara berdaulat, bukannya sebahagian daripada 'Satu China'.
Sejak beberapa bulan lalu, jet pejuang China dan pengebom kerap menceroboh ruang udara Taiwan dan filem propaganda menunjukkan serangan terhadap Taiwan serta pangkalan AS di Guam turut dihasilkan. - AFP
No comments
Post a Comment