PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak perlu meletak jawatan walaupun Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menolak permohonannya untuk mengisytiharkan darurat.
Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, penolakan itu tidak menafikan hakikat bahawa Sultan Abdullah juga berpuas hati dan percaya kerajaan sekarang berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.
“Pemimpin pembangkang tidak perlu bergembira dengan keputusan Agong menolak permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat kerana Sultan Abdullah juga percaya kerajaan sekarang berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan,” katanya kepada FMT.
Kamarul berkata, pada masa sama Agong juga memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.
“Ini bermakna Agong mahu kerajaan sedia ada disokong dan tiada percubaan dibuat untuk menggugatnya,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Sivamurugan Pandian berkata, Sultan Abdullah menaruh kepercayaan pada Muhyiddin untuk terus memimpin kerajaan dan menangani krisis Covid-19.
Katanya, apa yang boleh dilakukan pada masa ini ialah mengusahakan rekonsilasi politik dengan membawa semua pihak bekerjasama dalam menangani krisis Covid-19 dan usaha pemulihan ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat. .
“Pembangkang harus mengambil serius titah Agong yang meminta semua pihak berhenti bermain politik dan bersikap lebih bertanggungjawab,” katanya.
Penganalisis dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Izani Mohd Zain berkata, penolakan cadangan Muhyiddin itu tidak menimbulkan keperluan meletak jawatan.
Katanya, ia hanyalah proses biasa sistem demokrasi dan Raja berperlembagaan.
“Agong dan Majlis Raja-raja sudah tentu ambil kira semua pertimbangan. Kini masa depan perdana menteri dan kerajaan bergantung kepada proses di Parlimen,” katanya.
Sumber:
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/26/agong-tolak-darurat-muhyiddin-tidak-perlu-letak-jawatan-kata-penganalisis/
https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2020/10/26/no-emergency-but-no-need-for-muhyiddin-to-resign-say-analysts/
No comments
Post a Comment