Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad menyasarkan akan memenangi 36 daripada 222 kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-15, akan datang.
Bekas perdana menteri itu berkata, walaupun jumlah sasaran kerusi itu kecil, namun ia akan menjadi kuasa penentu gabungan mana yang akan menubuhkan kerajaan.
"(Pejuang) menyasarkan menang 36 kerusi pun dah mencukupi kemudian kita boleh menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan.
"Kami adalah parti bebas dan tidak terikat dengan sesiapa. Kami tidak fikir mana-mana dua gabungan (parti) boleh menang.
“Jika kita boleh menang 36 kerusi (parlimen), kita memiliki kuasa untuk menyertai mana-mana gabungan," katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, anggota parlimen Langkawi itu berkata, jika ada parti yang mahukan sokongan Pejuang, mereka perlu akur kepada syarat ditetapkan.
"Kita sudah ada senarai lebih 18 ahli parlimen secara asasnya di Sabah dan Sarawak, bukan Pejuang tetapi friendly (mesra) dengan kita dan percaya dengan prinsip kita.
"Jadi kami akan bekerjasama dengan mereka dan berharap di semenanjung juga, akan ada rakyat yang menyokong kita," katanya.
Mengulas lanjut, Mahathir turut menegaskan penubuhan Pejuang bukan bertujuan untuk memecah belahkan orang Melayu kerana parti yang ada ketika ini menyeleweng dan berjuang kerana wang.
Sementara itu, diminta mengulas status pendaftaran parti dan strateginya sekiranya masih gagal didaftarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menjelang PRU15, Mahathir berkata pihaknya akan mencari cara lain untuk bertanding.
"Kita tahu kerajaan ada kuasa untuk daftar (parti). Sama seperti ketika pendaftaran B, tak sampai seminggu sebelum PRU-14, kita dikeluarkan.
“Tetapi kita ada strategi dan cari jalan lain. Kita akan dedahkan seluruh dunia cara kerajaan ini menang (pilihan raya).
No comments
Post a Comment