oleh: Samihin Mustafa
Kemelut politik yang melanda pasca pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018 telah berlarutan selama 2 tahun yang akhirnya mengundang kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin atas nasihat Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai 2020.
Perbalahan Shafie Apdal dan Musa Aman sampai ke kemuncaknya apabila kumpulan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diketuai Musa telah memohon semakan kehakiman bagi mencabar keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertua Negeri pada 30 Julai.
Walau bagaimanapun Mahkamah Rayuan pada 8 September, menolak rayuan 33 ADUN terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan DUN pada 30 Julai.
Hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim bersama Hakim Abu Bakar Jais dan Hakim Supang Lian, turut menolak permohonan 33 ADUN bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Ini bermakna PRN ke-16 akan diteruskan seperti mana yang dijadualkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 12 Sept bagi penamaan calon dan pengundian pada 26 September.
Pilihan Raya kali ini menawarkan 73 DUN termasuk 13 DUN baharu yang akan menjadi rebutan para parti politik dan calon Bebas dengan melibatkan seramai 1,124,598 orang pemilih. Terdapat 46 kawasan majoriti Bumiputera Islam (BI), 16 kawasan majoriti Bumiputera Bukan Islam (BBI). 5 kawasan majoriti Cina dan 6 kawasan campuran.
Bertembung sesama sendiri
PRN-16 telah mencatat satu rekod baru dalam sejarah pilihan raya Sabah apabila 20 buah parti turut serta bersaing dengan 447 calon merebut 73 kerusi DUN.
Apa yang menarik beberapa bekas ketua menteri, timbalan ketua menteri, menteri kabinet samada negeri mahupun persekutuan termasuklah bekas Speakar DUN dan Parlimen kembali turut mewarnai PRN-16.
Di antara bekas ketua dan timbalam ketua menteri yang mencuba nasib kali ini ialah Chong kah Kiat di Inanam, Salleh Said Keruak di Usukan, dan Datu Amir kahar Datu Mustapha di Banggi. Manakala bekas menteri ialah Anifah Aman di Bongawan, Ewon Ebin di Kundasang , Rubin Balang di Kemabong dan Mohammadin Ketapi di Segama.
Suatu yang tidak dapat dielak dalam pilihan raya kali ini ialah strategi pertandingan satu lawan satu gagal dicapai di kesemua 73 kerusi khususnya dikalangan blok pembangkang.
Lebih memeranjatkan berlakunya pertembungan dikalangan sekutu politik dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang melibatkan BN, PN dan PBS di 17 kerusi DUN.
Menjelang hari penamaan calon satu pertemuan solidariti melibatkan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PN , Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan pemimpin kanan parti komponen yang lain. BN, PN dan PBS secara konsensus bersetuju mengelak pertembungan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Walau bagaimanapun selepas keputusan pengisytiharan calon oleh SPR ternyata keadaan berlaku sebaliknya. Sebanyak 17 kerusi menyaksikan pertembungan yang kebanyakannya di kawasan majoriti KDM-BBI dimana 16 kerusi melibatkan PBS dengan BN atau PBS dengan PN.
Hanya satu kerusi sahaja melibatkan pertembungan diantara BN (PBRS) dan PN (Star) di DUN Sook.
Selain itu, beberapa bekas ADUN dan pemimpin kanan turut bertanding diatas tiket calon bebas, diantaranya Datu Amir Kahar Tun Mustapha di Banggi, Aminah Ambrose (isteri Amir Kahar) di Bengkoka, Anita Baranting di tandek, Almudin Kaida (Naib Presiden PBS) di Pintasan, Musbah Jamli di Tempasuk, Kenny Chua di Inanam, Mohd Fadzlee Abdullah (Ketua UMNO Beufort) di Kuala Penyu, Rubin Balang di Kemabong, Abdul Rahman Kongkawang di Labuk, Noraini Sulong di Tanjung Papat, Masiung Banah di Kuamut dan Saddi Abdul Rahman di Sukau.
Lebih menarik Presiden Star Dr Jeffry Kitingan mengaku partinya turut menyokong beberapa calon Bebas, antaranya bekas ADUN Inanam Kenny Chua, namun enggan menamakan nama calon Bebas yang lain.
Ternyata PRN-16 ini benar-benar menguji demokrasi permuafakatan dikalangan sekutu politik masing-masing samada dari segi semangat kerjasama mahupun permuafakatan demi mencapai kemenangan. Misalnya dalam soal agihan kerusi, PAS adalah satu-satunya rakan politik MN dan PN di Sabah yang gagal mendapat sebarang kerusi.
PAS sejak penubuhannya 1986 tidak pernah gagal menyertai pilihan raya samada pilihan raya umum mahupun pilihan raya negeri Sabah.
Sebelum itu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memberi tahu PAS telah mengangkat hasrat PAS Sabah untuk bertanding sebanyak 10 kerusi pada pilihan raya kali ini.
Berbeza pula nasib yang diterima dengan parti serpihan PAS Parti Amanah Negara yang mendapat satu kerusi di DUN Tanjung Keramat. Hal ini memberi pukulan kepada PAS dengan sindiran sinis musuhnya dan tak kurang juga luahan rasa kecewa di kalangan pemimpin serta penyokongnya.
Demokrasi kalah mati?
Demokrasi adalah satu sistem politik dimana rakyat berpeluang memilih, membentuk dan mengawal sesebuah pemerintahan.
Melalui pilihan raya rakyat akan memilih wakil mereka ke dewan perundangan bagi memastikan kehendak, kepentingan dan pandangan rakyat diutamakan dalam sesebuah kerajaan.
Kalah mati adalah satu sistem yang biasanya diaplikasi dalam perlawanan sukan seperti bola sepak. Kamus Pelajar Edisi Kedua memberi definisi kalah mati sebagai cara atau peraturan dalam pertandingan yang tidak membolehkan pihak yang kalah bertanding lagi (dalam perlawanan seterusnya). Dalam konteks PRN-16 ini demokrasi jelas berfungsi dengan suburnya dimana semua kumpulan masyarakat mempunyai peluang untuk turut serta dalam pilihan raya yang bersejarah ini.
Demokrasi di Malaysia sedang melalui fasa-fasa kematangan dimana pelbagai parti dan lapisan rakyat bebas berpersatuan dan bersuara mengikut fahaman dan kepercayaan mereka.
Walaupun parti-parti bersekutu GRS bertembung diantara satu sama lain namun ianya tidak menjejaskan hubungan yang terjalin dikalangan mereka. Parti-parti kecil seperti PCS, USNO, Gagasan dan LDP tampil mencabar dan bersaing secara gentleman dengan dua kuasa besar politik GRS dan Warisan Plus tanpa takut dan bimbang. Begitu juga parti-parti minoriti seperti PPRS, Gagasan, Harapan, Anak Negeri, PKS dan 56 calon Bebas tampil menjadi blok ketiga menjadikan demokrasi di Sabah benar-benar subur.
Namun demikian disebalik kerancakan pilihan raya kali ini, ianya dianggap sebagai pertarungan hidup mati parti mahupun ahli politik. Telah kedengaran suara-suara nakal pihak tertentu yang mahu melenyapkan UMNO di muka bumi Sabah.
Merenung sejarah penglibatan UMNO dalam kancah politik Sabah, inilah fasa-fasa mencabar UMNO Sabah yang sedang bertarung antara hidup atau mati.
Selepas UMNO bersama rakan-rakan BN berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Sabah pada tahun 1994 daripada PBS, UMNO telah meniti detik kegemilangannya apabila hampir menyapu bersih 59 daripada 60 kerusi DUN pada pilihan raya umum 2004.
Namun demikian selepas kegagalan BN mendapat majoriti 2/3 pada pilihan raya 2008, UMNO dan BN Sabah turut menerima tempiasnya walaupun masih kekal jolokan simpanan tetap BN.
Pencapaian UMNO Sabah mulai merosot pada pilihan raya umum 2013 dan kemuncaknya UMNO Sabah hilang separuh kerusi yang dimenangi sebelumnya dan seterusnya gagal mengekalkan 24 tahun pemerintahan BN di Sabah.
Lebih malang majoriti ADUN dan Ahli Parlimen UMNO bertindak meninggalkan parti tersebut membentuk PPBM Sabah, meninggalkan Musa dan Bung kekal kekal dalam UMNO.
Selain UMNO, PBS juga sedang bertarung nyawa untuk kekal relevan dalam kancah politik Sabah. Selepas kejatuhan kerajaan PBS tahun 1994, kedudukan kerusi PBS terus merosot dari PRN 1994 sehingga PRU 2018 dengan hanya 6 kerusi sahaja kekal bertahan.
Untuk kekal relevam PBS mengambil keputusan berani mengguna logo mereka sendiri setelah 16 tahun tidak menggunakannya. Walaupun masih kekal sebagai rakan sekutu BN dan PN dalam GRS namun cabaran getir PBS ialah bagaimanakah mereka boleh memperolehi kemenangan dalam keadaan bertembung sesama rakan sekutu di 16 kerusi termasuklah terpaksa berhadapan bekas ADUN PBS yang bertanding Bebas disamping bersaing dengan parti pemerintah, parti Warisan.
Mampukah PBS meningkatkan lagi bilangan kerusi mereka atau setidak-tidaknya mengekalkan 6 kerusi mereka sekarang? Apatah lagi PBS buat pertama kalinya mereka berjuang tanpa pengasas partinya Pairin Kitingan dan Presiden parti Dr Maximus Ongkili yang sedang dalam keuzuran.
Jelas pilihan raya kali ini adalah persoalan masa depan parti tersebut, hidup mati sebuah parti yang pernah menjadi pemain penting suatu ketika dahulu.
Sekiranya Warisan gagal mendapat kerusi yang secukupnya untuk menubuh kerajaan apakah nasib yang akan menimpa kepada Warisan? Apakah ADUN Warisan mampu bertahan sehingga tamat penggal pilihan raya?
Sekiranya Warisan berjaya menubuh kerajaan apakah kerajaan Warisan mampu bertahan tanpa menyertai PN? Sekiranya Warisan tidak menyertai PN untuk terus kekal bersam PH apakah mereka mampu bertahan seperti mana Kelantan?
Bagaimana pula dengan nasib parti Liberal Demokratik (LDP) Saba. Apakah LDP akan menerima nasib yang sama seperti mana yang berlaku kepada Parti Maju Sabah (SAPP)? Kedua parti cina tempatan ini suatu ketika adalah parti komponen BN dan pemimpin mereka berkesempatan menjadi Ketua Menteri Sabah di bawah sistem penggiliran.
SAPP terlebih dahulu meninggalkan BN sebaik sahaja PRU 2008 cuba bereksperimen untuk menjadi pemain poltik utama dengan mengubah identiti parti daripada sebuah parti etnik cina kepada parti pelbagai etnik. Apa yang berlaku selepas 12 tahun meninggalkan BN ternyata esperimen SAPP gagal malah seorang demi seorang pemimpin mereka meninggalkan parti.
Akhirnya pada pilihan raya kali ini SAPP terpaksa akur dengan menyertai gabungan PN dan hanya diberi peruntukan 2 kerusi di Luyang dan Tanjung Papat. Apakah nasib yang sama juga akan menimpa kepada LDP? LDP turut mengambil pendekatan yang sama seperti mana SAPP, mengubah identiti parti mereka menjadi sebuah parti pelbagai etnik dan mencuba nasib di 46 kerusi DUN.
Kesimpulannya siapakah yang menjadi pilihan rakyat? Model manakah yang akan mendapat tempat dihati 1.2 juta pemilih Sabah, gabungan parti nasional-tempatan (GRS), gabungan parti tempatan-nasional yang mesra PH (Warisan Plus), parti tempatan (PCS, LDP, USNO) atau parti-parti kecil tempatan seperti Gagasan, Harapan, PPRS, Anak Negeri, PKS disamping Bebas. Akhirnya parti manakah yang akan menemui jalan mati?
No comments
Post a Comment