Siri 3
Negara Islam adalah sebuah konsep kenegaraan yang menjadi perbahasan hangat hari ini kerana para pendukung sekular menyamakan ia dengan negara teokrasi di Barat. Pengalaman masyarakat Eropah dikuasai oleh Rom sebelum era Reformasi telah dianggap sebagai satu pengalaman pahit dalam kemanusiaan, sehingga mereka sendiri menggelarkan era itu sebagai 'dark ages' (zaman gelap). Inilah pertentangan besar antara konsep negara teokrasi di Barat dengan konsep negara Islam. Pengalaman Eropah diperintah oleh Islam selama lebih 700 tahun di Andalusia, telah memberikan cahaya kemanusiaan kepada benua itu, sehingga para sarjana mereka menamakannya sebagai 'golden ages' (zaman keemasan) untuk kemanusiaan.
Perbincangan tentang konsep negara Islam dibahas panjang lebar oleh para ulamak. Edisi pertama buku ini bertajuk Sistem Pemerintahan Negara Islam, untuk menjelaskan beberapa konsep asas Negara Islam. |
Di sebalik sikap keras pendukung sekular terhadap negara Islam, sebenarnya mereka mengalami konflik dalaman di atas dua isu. Pertama, mereka secara akademik mengakui hakikat bahawa negara Islam telah mengubah Eropah menjadi moden setelah mengalami 'dark ages.' Dan kedua, mereka sebenarnya tidak memahami apakah maksud negara Islam, sebaliknya mereka memberi tanggapan secara liar bahawa negara Islam adalah sama seperti negara teokrasi di Eropah zaman duhulu. Di atas dendam warisan ini, mereka membuat momokan secara negatif terhadap konsep negara Islam yang mereka sebenarnya tidak faham. Hatta, di negara kita pun, golongan sekular mempunyai sikap yang sama.
Prof Hamka telah menjawab kekeliruan umat Islam terhadap pemikiran kenegaraan Islam pada saat bangsa Melayu dalam proses mencapai kemerdekaan dan membentuk hati diri negara baru yang merdeka. |
Apakah Negara Islam?
Pada asasnya, mengikut teori negara moden, terdapat empat syarat bagi pembentukan sesebuah negara iaitu tanah air (wilayah), manusia (rakyat), pemimpin (kerajaan) dan kedaulatan. Bagi sesebuah negara Islam, selain empat syarat ini, perlaksanaan undang-undang syariah menjadi ciri yang kelima. Menurut as-Sarkashi, negara Islam (dar al-Islam) adalah suatu tempat yang pemerintahnya orang Islam dan tandanya ialah apabila orang Islam aman tinggal di dalamnya. Menurut Abdul Hadi Awang, negara Islam mempunyai dua ciri asas iaitu pemerintah yang mendaulatkan Islam dan umat yang mendukungnya.
Abdul Qadir al-Mandili pula menghuraikan bahawa negara dan kerajaan Islam adalah berdiri di atas tiga sifat yang utama. Pertama, keadaan kerajaannya yang berbangsa al-Quran. Mereka menjadikan al-Quran sebagai dasar negara, menguatkuasakan hukum-hukum al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai dustur (perlembagaan). Kedua, kerajaan yang berunding (bermusyawarah). Kerajaan Islam mengamalkan konsep syura, sentiasa mendengar pandangan rakyat dan memberikan kebebasan kepada rakyat untuk bersuara secara bermaruah. Dan ketiga, kerajaannya diketuai oleh khalifah. Khalifah ialah ketua negara yang menjadi ketua bagi orang-orang yang beriman (amirul mukminin). Dalam hal ini, khalifah sebagai pemerintah wajib mentaati perintah dan larangan Allah, serta sentiasa bermesyuarat dalam urusan rakyat.
Kedudukan Khalifah Dalam Negara Islam
Seperti yang dijelaskan oleh Abdul Qadir al-Mandili, bahawa khalifah adalah ketua bagi negara Islam. Perlantikan khalifah sebagai ketua negara pada asalnya bukan secara keturunan, sebaliknya berasaskan syarat-syarat kelayakan yang ketat. Ini disebabkan oleh tanggungjawab khalifah yang sangat besar untuk melaksanakan seluruh perintah Allah dan menguruskan urusan manusia melalui perundingan (syura). Dalam hal ini, para ulamak di kalangan ahli-ahli falsafah politik seperti al-Farabi dan Ibnu Sina, ahli fiqh siyasi seperti al-Mawardi dan Ibnu Khaldun, ahli fiqh ijtimaie seperti Imam al-Haramain al-Juwaini dan ahli fiqh tasawuf seperti al-Ghazali, mereka bukan sahaja bersepakat tentang kewajipan menegakkan negara Islam, tetapi telah menetapkan garis-garis asas yang menjadi syarat kepada perlantikan khalifah sebagai ketua negara.
Oleh kerana, khalifah adalah ketua bagi negara Islam, maka khalifah dianggap sebagai tunjang yang melanjutkan peranan Nabi Muhammad SAW untuk menegak dan menjaga agama, sekali gus mengurus tadbir semua urusan dunia berdasarkan kepada hukum-hukum syariat. Dek kerana besarnya tugas ini, maka para ulamak telah meletakkan dua syarat utama sebagai kelayakan menjadi khalifah iaitu berilmu dengan ilmu Islam sehingga mampu berijtihad dan sentiasa berlaku adil. Ada pun syarat-syarat lain adalah untuk menyumpurnakan tugasnya sebagai khalifah, sedangkan syarat berketurunan Quraisy yang ditekankan oleh al-Mawardi berdasarkan satu hadis Nabi SAW, adalah bertujuan untuk memastikan bangsa atau kelompok yang paling kuat menjadi pemimpin, supaya wujudnya kestabilan politik.
Dalam pengalaman negara Islam sejak wafatnya Nabi SAW, pelbagai gelaran telah digunakan untuk memberi maksud kepada jawatan ketua negara Islam. Pada awalnya, Saidina Abu Bakar disebut sebagai 'Khalifah Nabi' (pengganti Nabi), tetapi setelah itu muncul perkataan 'Amir,' 'Imam,' 'Khalifah,' 'Sultan,' 'Imam al-A'zom' dan lain-lain yang mempunyai makna dan konotasi yang hampir sama. Saidina Umar bin al-Khattab adalah orang yang pertama menggunakan gelaran 'Amirul Mukminin,' sedangkan di kalangan Syiah mereka memanggil Saidina Ali bin Abi Talib dan keturunannya sebagai 'Imam.' Pada zaman Daulah Abbasiyah, pemimpin Bani Umayyah yang berkuasa di Andalusia menggelarkan diri mereka sebagai 'Amir' untuk membezakan mereka dengan khalifah di Baghdad, sedangkan pemimpin-pemimpin yang tunduk kepada Khilafah Abbasiyah yang lain menggelarkan diri mereka sebagai 'Sultan.'
Syarat-syarat Kelayakan Ketua Negara Islam
Para ulamak yang membahaskan tentang syarat-syarat kelayakan menjadi khalifah telah menyebutkan pelbagai syarat. Al-Mawardi yang mengambil beberapa teras utama sebagai syarat, menyenaraikan tujuh syarat kelayakan, tetapi ulamak lain merincikan syarat-syarat tersebut sehingga jumlahnya mencecah 20 syarat. Pada asasnya, syarat menjadi khalifah untuk memimpin negara Islam adalah seperti berikut:
I. Islam. Ketua negara Islam mesti beragama Islam dan tidak boleh menyerahkan urusan ini kepada orang kafir.
II. Berilmu. Yakni mesti berilmu dalam perkara hukum syarak sehingga mampu berijtihad, dan juga memahami isu-isu semasa yang berkembang di sekitar rakyat dan negaranya.
III. Adil. Sifat adil ini berdiri di atas syarat-syarat keadilan itu sendiri. Imam Bukhari mengatakan khalifah yang adil ialah seorang yang warak, kuat berpegang dengan Islam, melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah serta tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah sebagai pemimpin negara Islam.
IV. Berkemampuan. Secara maknawi khalifah mesti memiliki akal yang sempuna, keberanian terhadap cabaran perubahan zaman dan tekanan musuh. Secara jasmani pula, khalifah adalah mampu menjalankan tugas kerana tidak cacat, tidak uzur dan tidak ditimpa penyakit kronik yang mengganggu tugasnya.
V. Lelaki. Ulamak bersepakat, pemimpin tertinggi sesebuah kerajaan Islam mestilah seorang lelaki. Abdul A'la al-Maududi menolak sama sekali wanita untuk memimpin dalam urusan sesebuah negara.
VI. Berpengaruh. Syarat Quraisy sebagai pemimpin yang disebut oleh Nabi SAW ditafsirkan oleh ulamak seperti Ibnu Khaldun dengan maksud berpengaruh, disegani dan digeruni, supaya setiap perintah dan arahannya dipatuhi.
Khalifah Yang Dilantik, Diberi Bai'ah
Bagi mengukuhkan sesebuah negara Islam, pemimpin atau khalifah yang dilantik mestilah mempunyai hubungan yang erat dengan rakyat yang melantiknya. Islam mewajibkan supaya diadakan perjanjian di antara khalifah dengan rakyat yang disebut sebagai 'Bai'ah.' Konsep perjanjian sosial ini kemudian diadaptasi oleh pemikir politik Barat, Jean-Jacques Rousseau sebagai kontrak sosial. Tujuannya ialah supaya wujud ketaatan dari rakyat dan perlaksanaan kewajipan dari pemimpin. Ibnu Khaldun mentakrifkan perjanjian ini sebagai ikrar kepada pemimpin untuk menyerahkan diri kepadanya (ketaatan) dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan sama ada pada masa senang atau susah.
Apabila seseorang khalifah dibai'ah oleh rakyat, Muhammad al-Mubarak berkata, khalifah berperanan untuk melaksanakan hukum Allah berdasarkan al-Quran dan Sunnah, selain mesti berlaku adil kepada rakyat. Ada pun rakyat, wajiblah mereka memberikan ketaatan kepada khalifah dalam batas-batas taat kepada Allah dan Rasul. Dalam konteks hari ini, menurut Harun Taib, amalan bai'ah dan syahadah (kesaksian) di dalam memilih dan mengangkat pemimpin diwakili oleh kertas-kertas undi di dalam pilihan raya. Kerana itu, setiap diri orang Islam yang membuang undi mempunyai tanggungjawab ke atas kesaksian dan bai'ah yang dibuat melalui kertas undi tersebut. Umat Islam mesti memahami syarat-syarat untuk melantik ketua dan menyerahkan amanah kepemimpinan kepada ahlinya (pemimpin yang layak dan memcukupi syarat kelayakan).
No comments
Post a Comment