KOTA KINABALU, 16 Sept -- Bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman akhirnya membuka mulut hari ini apabila menggesa Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya berhenti menabur fitnah dan dendamnya semasa kempen pilihan raya negeri Sabah kali ini.
Musa berkata beliau tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 Sept ini sekali gus bukan lagi menjadi saingan Mohd Shafie.
"Kita melihat banyak video dan papan iklan memaparkan wajah Shafie dengan cogan kata 'membina negara', 'marilah kita bersama membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama' dan ‘perpaduan', tetapi ucapan kempennya dipenuhi dengan ‘hentam Musa Aman!’
"Saya memahami perlunya beliau membuat ucapan politik yang berapi-api sepanjang berkempen, namun adalah memalukan bagi seorang pemimpin negeri berulang kali menyebarkan pembohongan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang individu yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri," katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.
Musa berkata sebelum ini, beliau telah memfailkan saman RM1 bilion terhadap Yayasan Sabah termasuk Mohd Shafie kerana memfitnah.
"Saya tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang kerana beliau tidak menghentikan pembohongan dan terus mencabar saya," katanya.
Musa berkata beliau berasa terpanggil untuk membuat kenyataan itu bagi menjelaskan keadaan dan membersihkan namanya daripada tuduhan yang dilemparkan oleh Mohd Shafie.
"Kebelakangan ini, beliau membuat pelbagai fitnah, termasuk menuduh saya meluluskan kontrak Yayasan Sabah kepada beberapa individu tertentu. Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan fitnah ini adalah percubaan memburukkan reputasi saya dan sekadar memenuhi agenda jahat," katanya.
Awalnya, Musa berkata Mohd Shafie menuduhnya terbabit dengan kehilangan tanah seluas antara 600,000 hingga 700,000 hektar milik Yayasan Sabah dan kononnya beliau (Musa) meluluskan ribuan ekar tanah kepada beberapa individu tertentu.
"Sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, (Mohd Shafie) sepatutnya tahu konsesi kawasan tanah yang dipegang Yayasan Sabah berada di bawah satu lesen dan adalah mustahil bagi kawasan seluas itu hilang atau diberi kepada mana-mana pihak," katanya.
Musa berkata tanah di bawah Yayasan Sabah dilindungi Enakmen Yayasan Sabah 1966 dan hak kekal, maka ia hanya boleh dikeluarkan untuk kegunaan kerajaan dan bagi tujuan konservasi seperti Lembah Danum, Imbak Canyon, Maliau Basin, Hutan Simpan Nurod-Urod, Sapulot dan sebagainya.
-- BERNAMA
No comments
Post a Comment