KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan supaya Putrajaya mewujudkan sekolah satu aliran bagi menggantikan sistem persekolahan sedia ada di peringkat sekolah rendah.
Asri berkata, matlamat penubuhan sekolah jenis ini hanya satu, iaitu untuk menggalakkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan pelajar yang merentasi perbezaan agama, kaum dan budaya.
“Kita perlu semua anak Malaysia, pada waktu kecil tidak ada prejudis antara satu sama lain. Di peringkat sekolah rendah perlu bersama, supaya mereka ini ada pengalaman bersama, jadi tidak ada sekolah agama dan tidak ada sekolah kaum.
“Selepas itu, mereka ini boleh pergi ke sekolah agama atau ke sekolah vernakular, tetapi ia hanya setelah mereka diberikan pengalaman baik hidup bersama-sama dengan semua kaum,” katanya dalam forum Sambutan 50 tahun Rukun Negara di sini, hari ini.
Jelasnya, sekolah yang dicadangkannya itu haruslah sesuai untuk setiap rakyat, tanpa mengira agama serta bangsa dan tidak terlalu bersifat keagamaan hingga menyebabkan segelintir pihak berasa tidak selesa.
“Kita harus jemput semua kanak-kanak, supaya mereka lalui pengalaman sama. Jika tidak, kita hanya membazir masa bercakap mengenai perpaduan dan sebagainya sedangkan di peringkat bawah orang masih lagi bercakaran,” katanya.
Menurut Asri, ia bukanlah cadangan baru yang dibawanya sebaliknya perkara sama pernah dicadangkan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Bahkan katanya, beliau pernah menulis surat kepada Dr Mahathir Mohamad serta bekas menteri pendidikan Maszlee Malik mengenai perkara itu.
“Kita ini kadang-kadang jadi berbeza disebabkan kita tidak mempunyai pengalaman hidup bersama. Kalau saya ada kawan-kawan yang berbeza agama, mungkin pengalaman berkawan itu menyebabkan saya positif kepada pihak lain.
“Di peringkat umur sekolah rendah, mesti dimasukkan ke sekolah yang bercampur agama, ketika kanak-kanak tidak ada prejudis. Ahmad berkawan dengan Ah Chong dan mereka berkawan baik. Sekarang ini banyak yang hanya pergi sekolah agama.
“Manakala yang pergi sekolah vernakular pula hanya pergi sekolah vernakular, lama-lama mereka tidak ada pengalaman. Saya akan bangkitkan lagi perkara ini bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Pada Disember 2018, Asri dalam suratnya kepada Mahathir dan Maszlee mengkritik dasar pendidikan negara yang dilihat semakin menjauhi semangat harmoni kaum dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Saya ingin mencadangkan agar semua rakyat Malaysia diwajibkan melalui sistem persekolahan yang sama sekurang-kurang dari Tahun 1 sehingga Tahun 6 sekolah rendah,” tulisnya dalam surat berkenaan.
Asri berkata, beliau sendiri sedar kenyataannya itu akan menimbulkan rasa tidak senang hati pihak yang memperjuangkan penubuhan sekolah agama dan vernakular, namun tetap menegaskan kepentingan perkara ini.
“Kalau kita hendak bentuk perpaduan pada masa hadapan, kita perlu lakukan perkara ini. Kita perlukan ini untuk generasi masa depan,” katanya. - FMT
No comments
Post a Comment