Siri 1.
Perjanjian damai antara Israel, Emiriah Arab Bersatu ( UAE ) dan Bahrain adalah malapetaka besar dalam sejarah Timur Tengah dan juga Dunia Islam, namun ia juga sebenarnya melengkapkan proses yang dilakukan regim Israel sebelum ini seperti perjanjian damai dengan Jordan pada tahun 1994 dan perjanjian Oslo pada tahun 1993 dan 1995.
Regim Israel sebenarnya telah lama ingin mendominasi Timur Tengah demi untuk mencapai cita - cita mereka mewujudkan “ The Greater Israel “ namun untuk sampai ke peringkat itu, regim Israel perlu “ menjinakkan “ rantaian negara - negara Dunia Islam seperti Mesir, Jordan, Maghribi, Libya, dan termasuk juga Palestin.
Dominasi terhadap negara Dunia Islam di Timur Tengah oleh regim Israel sebenarnya adalah untuk melindunginya daripada tiga elemen utama yang mampu menghancurkan pelan agung mereka iaitu pertamanya Iran termasuk Hizbullah di Lubnan, puak Houthi di Yemen, Assad di Syria, dan sebahagian besar kumpulan penentang di Iraq, keduanya Turki, Qatar, dan Ikhwanul Muslimin dan ketiganya yang terdiri daripada kumpulan seperti ISIS dan al-Qaida.
Sejak lebih sedekad yang lalu, demi untuk mencapai dominasi mereka ke atas Timur Tengah, regim Israel berusaha mewujudkan curiga dan ketakutan terhadap Iran dan negara - negara Dunia Islam yang mempunyai hubungan dengannya dengan tujuan supaya ia dapat mewujudkan hubungan dengan negara - negara Arab seperti Arab Saudi dan negara-negara Teluk lainnya. Ternyata apa yang diusaha dan dimomokkan selama ini berhasil sehingga termeterainya perjanjian damai baru - baru ini.
Seperti negara-negara Timur Tengah yang lain, regim Israel memandang serius perjanjian nuklear yang dimeterai dunia dengan Iran pada tahun 2015 dan menyuarakan penolakan terhadap perjanjian tersebut serta memulakan kempen melobi untuk menghapuskan perjanjian tersebut termasuk bahaya Iran kepada kestabilan Timur Tengah. Akibatnya pada 2018 Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian tersebut lalu memporak - perandakannya.
Penentangan regim Israel terhadap Syria juga sebenarnya adalah “ silap mata “ negara haram tersebut untuk menguatkan kepercayaan mahupun kebergantungan negara - negara Arab seteru Iran terhadap regim Israel di samping untuk menguatkan kedudukan geopolitik Israel di Timur Tengah yang secara tidak langsung cuba meleraikan penguasaan Iran ke atas Syria.
Namun ketika regim Israel hampir merayakan penguasaannya ke atas negara - negara Timur Tengah dan mula mendominasi geopolitik Asia Barat, muncul Turki yang mewujudkan cabaran baru terhadap regim Israel yang dikira sudah hampir menguasai Timur Tengah. Kemunculan Turki yang semakin menampakkan kekuatannya di anggap oleh seterunya membawa pengaruh Ikhwanul Muslimin mula mendapat perhatian negara - negara Timur Tengah seperti UAE dan Bahrain.
Sejak lebih setahun yang lalu, dengan latar belakang konflik antara Mesir, Greece dan Turki di Timur Mediteranean, regim Israel telah berpihak kepada Mesir dan dengan rakan-rakannya di Teluk. Peta konflik di Timur Tengah sebenarnya sudah mula memasuki fasa baru, tetapi kali ini bukan hanya sekadar di Asia Barat namun mula melewati hingga hampir ke Eropah kerana Turki sudah mula tampak mampu menggugat dan menjadi pencabar kepada regim Israel selain dari Iran.
Bukan sekadar cabaran terhadap penguasaan geopolitik regim Israel yang semakin kukuh di Timur Tengah, tetapi pada pandangan regim Israel jika dibiarkan Turki yang sememangnya mempunyai hubungan baik dengan Iran dan juga Qatar, ia mampu meranapkan cita - cita mereka untuk menjadi kuasa besar di Timur Tengah dan menguasai negara Dunia Islam di rantau tersebut.
Liga Arab Mula Menjadi Boneka Yahudi.
Ketika ini, tiada sesiapun boleh mengharapkan respon yang tegas dan berani dari Liga Arab mengenai perjanjian normalisasi UAE - Israel mahupun dengan Bahrain, kerana pada dasarnya Liga Arab sudah mati dan terkubur setelah menolak Resolusi Palestin untuk mengutuk perjanjian tersebut yang mana ia lari daripada norma - norma resolusi sebelum ini baik dari sidang kemuncak oleh Dunia Arab mahupun Islam apatah lagi terlalu jauh dari inisiatif perdamaian yang diadaptasi oleh organisasi itu sendiri pada Sidang Kemuncak Beirut 2002.
Liga Arab menjerat dirinya sendiri dengan pernyataan yang menimbulkan curiga di mana ia berusaha menyelamatkan diri dan air mukanya dengan mendakwa bahawa ia komited untuk Inisiatif Damai Arab, yang akhirnya wujudlah normalisasi dengan Israel dengan pendudukan negara Zionis di bumi Palestin. Janji Liga Arab terhadap penyelesaian dua negara dan prinsip kedamaian hanya tinggal janji sahaja saat ini. Ini mendorong Bahrain untuk mengikuti jejak UAE dan mengumumkan normalisasi hubungannya dengan Israel, pembentukan hubungan diplomatik yang lengkap dan pembukaan kedutaan.
Sikap Liga Arab yang menolak resolusi Palestin dan tidak mengutuk malah menolak normalisasi hubungan UAE - Israel benar - benar mengejutkan Dunia Islam dan menimbulkan kemarahan umat Islam malah terdapat penganalisa yang mengatakan sikap “ berdiam diri “ tersebut adalah disebabkan Liga Arab dikawal oleh UAE dan Arab Saudi. Malah tindakan Liga Arab sebenarnya sudah umpama menjual Palestin dan seluruh negara Arab termasuk warisan Islamnya hanya untuk mendapatkan pujian di Tel Aviv dan Washington.
Apa yang berlaku kepada Liga Arab seperti mengesahkan apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di mana beliau mengatakan bahawa, "Sesuatu yang sangat besar sedang berlaku iaitu transformasi Israel dalam pemikiran banyak orang di Timur Tengah. Israel tidak lagi dianggap sebagai musuh. Israel telah menjadi sekutu yang sangat diperlukan untuk menentang musuh militan Islam. "
Netanyahu menyatakan bahawa satu-satunya masalah yang masih wujud ialah disebut sebagai negara Arab yang merdeka, dan pemerintah Arab Pro Zionis telah memberi Israel lebih banyak daripada yang mereka impikan tetapi negara-negara Arab yang merdeka ini berdiri sebagai tembok terhadap impian terlarang mereka. Ini akan berubah menjadi mimpi buruk dan menghantui Israel kerana masyarakat Arab masih utuh dan kuat untuk menentang penjajahan Israel dan membebaskan Palestin.
Israel takut kepada kekuatan sebegini, bukan hanya di Gaza dan Jerusalem, tetapi juga di seluruh dunia Arab. Inilah sebabnya mengapa ia memerangi revolusi Arab Spring dan menggunakan negara seperti UAE, sebagai pangkalannya untuk mengawal revolusi dengan bantuan daripada negara - negara Arab sendiri.
Ketika revolusi 25 Januari meletus di Mesir dan kedaulatan Mesir kembali berada di tangan rakyat, Kedutaan Israel di Kaherah dikepung, benderanya diturunkan dan terpaksa ditutup dan kakitangannya terpaksa meninggalkan Mesir. Seorang pemuda naik ke tingkat sembilan belas blok menara yang menghadap ke Sungai Nil di mana kedutaan berada, dan mengeluarkan bendera Israel di tengah sorakan dan tepukan dari orang ramai yang berkumpul di bawahnya.
Ini mengejutkan dunia dan membimbangkan Israel. Pemuda itu diberi pangsapuri untuk didiami oleh Gabenor kotanya. Sementara itu, pemuda yang menaikkan bendera Palestin di Stadium Kaherah semasa perlawanan bola sepak Mesir - Afrika Selatan tahun lalu ditangkap dan dipenjarakan.
Lima tahun selepas berlakunya rampasan kuasa yang mengakhiri revolusi di Mesir, Israel menyambut hari kemerdekaannya iaitu ulang tahun penjajahannya di bumi Palestin di sebuah hotel yang hanya beberapa meter dari ibupejabat Liga Arab yang menghadap ke Tahrir Square, simbol Revolusi Mesir yang dihadiri oleh tokoh politik, diplomat, budaya dan ahli perniagaan.
Tidak ada keraguan bahawa ada perubahan besar dalam beberapa tahun ini sejak berakhirnya revolusi Arab Spring, dengan munculnya paksi Arab - Zionis dengan perlindungan Amerika Syarikat, yang diwakili oleh negara - negara Arab seperti UAE serta yang mengikuti pimpinan mereka . Mereka menetapkan agenda politik semasa Dunia Arab sekiranya tidak ada penentangan nyata yang berpegang teguh pada sejarah perjuangan Dunia Arab.
Negara - negara Arab lain yang seharusnya menjadi kumpulan penentang sibuk dengan perjuangan menentang rakyat mereka sendiri. Oleh itu, kita usah terkejut jika Liga Arab yang dipimpin oleh negara pro Israel merobek Inisiatif Damai Arab dan mengumumkan normalisasi umum dengan Israel.
Kita tidak boleh menolak kemungkinan ini. Negara dominan yang memimpin Liga Arab ketika ini tidak lagi memandang Israel sebagai musuh, seperti yang dilihat oleh Gamal Abdel Nasser pada tahun 1950-an dan 60an ketika Mesir memimpin organisasi tersebut dan menegaskan bahawa tiga perkara tidak akan berlaku dengan Israel iaitu tidak ada perdamaian, tidak ada pengakuan dan tidak ada perundingan.
Normalisasi hubungan dengan Israel telah mengubah kompas Liga Arab. Ia tidak lagi merujuk pada sejarah musuh utama Dunia Arab dan Islam yang telah menjadi teman dan sekutu, tetapi pada Turki, ia telah menjadi musuh yang mesti diperangi walau di mana sahaja. Walaupun Liga Arab menolak resolusi Palestin, ia memutuskan untuk membentuk jawatankuasa tetap kecil untuk memantau "pencerobohan" Turki dan ditugaskan untuk menyampaikan laporan tentang perkara ini dalam setiap mesyuarat berikutnya.
Menteri Luar Liga Arab kemudiannya menyerang Turki dan membesar-besarkan ancamannya terhadap negara - negara Arab. Menteri Luar UAE, Anwar Gargash menuduh Turki mengancam keselamatan dan lalu lintas maritim di Mediterranean dengan melanggar undang-undang dan kedaulatan negara-negara yang terkesan serta menuduh Turki campur tangan dalam urusan dalaman negara-negara Arab.
Menteri Luar Negeri Mesir, Sameh Shoukry menyatakan "Amalan dan campur tangan Turki dalam urusan dalaman beberapa negara Arab membentuk ancaman terhadap keamanan nasional Arab, Mesir tidak akan berdiam diri dalam menghadapi cita-cita Turki yang muncul di utara Iraq , Syria dan Libya khususnya. "
Ini mengesahkan apa yang telah utarakan oleh banyak penganalisa geopolitik Timur Tengah bahawa normalisasi UAE-Israel tidak lain adalah pakatan strategik, dan ia adalah inti dari pakatan yang lebih besar yang merangkumi banyak negara Arab, untuk membentuk "NATO Arab Zionis" dengan perlindungan Amerika Syarikat - Kesatuan Eropah, yang ditujukan untuk menentang Turki .
Bersambung.
Islam Memimpin Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
Rujukan :
The Jerusalem Institute of Strategy and Security.
https://jiss.org.il/en/
https://jiss.org.il/en/lerman-stabilizing-forces-growing-stronger/
Middle East Monitor.
https://www.middleeastmonitor.com/20200914-the-league-of-shame-part-1/
No comments
Post a Comment