KAHERAH: Mesir mengumumkan penemuan koleksi lebih 13 keranda dipercayai berusia 2,500 tahun.
Agensi berita Xinhua melaporkan, kesemua keranda tersebut dalam keadaan baik dan ditemukan di tapak arkeologi di Saqqara dekat Giza.
Menteri Pelancongan dan Antikuiti Mesir, Khaled al-Anany berkata, artifak berkenaan ditemukan dalam satu lubang pada kedalaman 11 meter.
“Penemuan itu secara tidak langsung menjadi penemuan keranda paling banyak dalam satu tempat yang pernah direkodkan selepas Keranda Asasif.
“Keadaan keranda yang ditemukan juga masih baik dengan warna dan kayunya tidak terjejas biarpun sudah berusia 2,500 tahun,” katanya ketika melawat lokasi penemuan artifak itu bersama Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti (SCA), Mostafa Waziri.
Selain itu, Mostafa berkata, pihak berkuasa masih belum mengenal pasti berapa jumlah keranda yang bakal ditemukan memandangkan kerja-kerja penggalian masih dilakukan.
Katanya, proses itu akan diteruskan dan mungkin menyaksikan beberapa lagi penemuan baharu.
Penelitian awal mendedahkan kesemua keranda tersebut ditutup sepenuhnya dan tidak pernah dibuka sejak berada dalam lubang berkenaan.
No comments
Post a Comment