NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedah mungkin tak bubar DUN jika ada PRU



ALOR SETAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkemungkinan tidak dibubarkan sekiranya berlaku Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ini kerana kerajaan negeri ketika ini berada dalam keadaan kukuh dan pentadbirannya berjalan lancar di semua peringkat.

Selain Kedah, kerajaan di beberapa negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Perlis, Pahang dan Perak juga dilihat kukuh dan tidak perlu mengadakan Pilihan Raya Negeri.

"Di peringkat Parlimen jika dibubarkan, kita sedia hadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Di Kedah kita jalan seperti biasa, saya rasa negeri tak perlu ikut (bubar).

"Ini pandangan peribadi saya, jika parti di peringkat Pusat dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dapati ada keperluan (untuk bubar) dan adakan PRN, kita akan patuh," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program 100 Hari Pentadbiran Menteri Besar Kedah di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.

Ditanya adakah beliau bimbang jika PRN-15 diadakan dalam tempoh terdekat, Muhammad Sanusi menegaskan sebagai orang politik, mereka tidak takut berhadapan pilihan raya.

"Saya tidak takut (hadapi pilihan raya), orang politik tidak takut. Tetapi kita tidak suka membazir sumber dan masa bagi hadapi pilihan raya.

"Terpulang kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) memutuskan, tapi saya rasa tidak perlu pilihan raya diadakan buat masa ini," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/726758/kedah-mungkin-tak-bubar-dun-jika-ada-pru

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo