Dari 73 kerusi yang dipertaruhkan, badan itu meramalkan Warisan Plus akan menang di 23 kerusi sementara GRS akan menang di 19 kerusi. Selebihnya terdapat 31 kerusi yang menjadi rebutan semua pihak termasuk calon Bebas dan parti lain.
Daripada 31 kerusi kategori 50-50 ini, terdapat 14 kerusi yang cenderung kepada Warisan Plus berbanding 5 kerusi yang cenderung kepada GRS manakala 12 kerusi yang betul-betul sengit sehingga tidak dapat ditelah.
Ilham turut memaklumkan 12 kerusi berlaku pertembungan yang betul-betul sengit sehingga tidak dapat ditelah.
Dalam analisis yang diterbitkan beberapa jam sebelum pengundian, Ilham berkata para penyelidiknya mendapati ramai pengundi khususnya golongan tua tidak terbiasa dengan GRS.
GRS ataupun gabungan baru itu dilancarkan pada hari penamaan calon oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Ilham juga berkata pengundi bingung kerana banyak pertembungan di antara parti GRS serta logo berbeza digunakan dalam pilihan raya, termasuk BN, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Perikatan Nasional (PN) yang belum diuji logonya.
"Bagi GRS, tidak jelas siapa yang memimpin tugas sebagai pengarah pilihan raya. Muhyiddin gagal menyelesaikan rundingan pembahagian kerusi antara BN, PN dan PBS.
"Umno dan BN pula mengambil pendekatan menampilkan hampir 90 peratus calon baru. Kedegilan dan ego pemimpin untuk akur kepada pertembungan “straight-fight” kemungkinan memberikan sedikit kelebihan kepada Warisan Plus di sebahagian kerusi berkenaan," kata Ilham.
Satu lagi kekeliruan adalah penggunaan gambar Muhyiddin pada bahan kempen GRS sedangkan dia bukan calon.
"PN pula tiada sebarang tema signifikan melainkan menayangkan imej Muhyiddin dengan mesej 'Abah Kita Bah'... 'Abah' di sini tidak digunakan secara menyeluruh untuk merujuk kepada bapa dan individu berpengaruh dalam kalangan mereka.
"Penggunaan wajah PM yang ditampal di seluruh Sabah menimbulkan kekeliruan kerana bukan beliau yang bertanding ataupun ingin menjadi ketua menteri. Strategi tersebut ternyata tidak membantu melonjakkan kekuatan PN di Sabah kerana pilihan raya kali ini bersifat lokal," kata badan penyelidik itu.
Ilham turut menyentuh pergolakan antara Umno dan Bersatu yang menyebabkan jentera kempen tidak bekerjasama.
"Dalam pemerhatian kami di lapangan, jentera Umno dan Bersatu tidak bekerjasama," katanya.
Tema kempen Warisan Plus dengan slogan "perpaduan" dan naratif "Sabah Untuk Rakyat Sabah" lebih dekat di hati pengundi, kata Ilham lagi.
Ini terutama apabila calon parti itu di semua 73 kerusi mempromosikan naratif yang sama.
"Di antara keduanya, kami menyukat aura kedua tokoh ini (Muhyiddin dan Shafie). Rata-rata masih meletakkan Shafie punyai kelebihan. Populariti Muhyiddin di Semenanjung nampaknya agak terbatas di sini," tambah laporan itu lagi.
Namun, Ilham melihat bahawa sesetengah pengundi tidak berpuas hati dengan pentadbiran Warisan pimpinan Shafie berhubung bantuan Covid-19 dan mereka lebih memilih PN dan BN dalam hal ini.
"Dalam aspek ini, ternyata bantuan Kerajaan Persekutuan disifatkan amat membantu mereka, tetapi bantuan Kerajaan Negeri dikatakan tidak menyeluruh dan mempertikai kenapa agihan dilakukan secara terpilih," tambah badan itu lagi.
Isu ,“Sempornasisasi” juga turut dimainkan khususnya dalam kalangan penjawat awam negeri.
Sempornasisasi ialah istilah merujuk kepada campur tangan Shafie dengan menempatkan pengawai-pengawai kerajaan di jabatan utama agensi negeri mahupun daerah mereka yang berasal dari Semporna.
Ilham memaklumkan analisis pihakya adalah berdasarkan pemerhatian di lapangan di semua 73 kerusi, membabitkan penyelidikan, perbincangan fokus dan wawancara yang dilakukan antara 8 September hingga 24 September.
No comments
Post a Comment