NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Air Selangor : Sudah Masanya Pencemar Tanggung Kos Pemulihan

Imej mungkin mengandungi: 1 orang
SEJAK beberapa hari yang lalu pelbagai pihak bertungkus lumus menangani pencemaran kilang di Sungai Gong, yang menyebabkan punca gangguan bekalan air di 7 kawasan sekitar Lembah Klang.

Ia susulan penutupan 4 loji rawatan air di Sungai Selangor.

Dianggarkan 1.2 juta orang terkesan akibat daripada gangguan bekalan air ini.
 
Data menunjukkan sejak tahun 2008, lebih kurang 50 peratus daripada 83,729 laporan gangguan bekalan air yang dilaporkan di Malaysia berlaku di Selangor.

Majoriti insiden berlaku disebabkan pencemaran sumber air, yakni sungai-sungai yang menyalurkan air mentah ke loji-loji rawatan air.

Tahun lepas, negara dikejutkan dengan pencemaran Sungai Kim Kim di Johor yang menyebabkan pelajar sekolah di Pasir Gudang mengalami gangguan kesihatan.

Dilaporkan, terdapat 274 kilang di sepanjang jajaran Sungai Kim Kim, di sini, yang dikenal pasti penyebab masalah pencemaran di sungai berkenaan sukar dikawal.

Berdasarkan pengalaman saya berkecimpung dalam bidang air, suka untuk saya terangkan secara ringkas hubungkait badan-badan yang terlibat untuk menyediakan air terawat kepada rakyat terutamanya di negeri Selangor.

Air adalah bidang kuasa negeri dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk mengawal selia semua sumber air negeri, termasuk sungai.

Akta LUAS adalah di antara akta yang baik kerana ia adalah akta contoh yang melibatkan perancangan dan tindakan bersepadu ramai pemegangtaruh atau “stakeholder” air di dalam sesebuah negeri.

Dari sungai tersebut, air akan diekstrak untuk dirawat dan diagih kepada penduduk.

Operasi pengendalian rawatan dan pengagihan air ini adalah dijalankan oleh Air Selangor, manakala SPAN pula mengawalselia Air Selangor.

Apakah maksud hubungkait ini? Ini bermaksud bidang kuasa pembekalan air terawat adalah bidangkuasa bersama negeri dan persekutuan. SPAN tiada bidang kuasa ke atas mana-mana sumber air.

Berbalik kepada isu sedia ada, kemarahan kita semua adalah kerana pencemar ini merupakan pesalah yang telah melakukan kesalahan yang sama berulang kali (repeat offender).

Apa tindakan yang boleh diambil?

Bagaimana ini tidak berlaku?

Saya berpandangan kita harus melihat kembali peruntukan dan penguatkuasaan undang-undang.

Adalah dilaporkan bahawa pencemar ini pernah dikompaun sebanyak RM60,000.

Adalah jelas kompaun sebegini tidak mencukupi untuk mencegah sesebuah kilang komersial, yang mengaut keuntungan berkali ganda dari nilai kompaun tersebut.

Di bawah undang-undang sedia ada, Seksyen 79 Enakmen LUAS memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pencemaran sumber air.

Akta Kualiti Persekitaran (Environmental Quality Act) juga memperuntukkan denda maksimum RM100,000 untuk kesalahan sedemikian atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Akta WSIA dibawah kawal selia SPAN tidak mempunyai peruntukan pencemaran sumber air, kecuali pencemaran itu menyebabkan kematian kepada yang minum air terawat atau berniat membunuh atau menggugat nyawa orang lain.

Hukumannya adalah berat iaitu hukuman gantung atau penjara 20 tahun.

Adalah jelas pencemar yang telah membuat kesalahan kedua dan seterusnya tidak wajar lagi ditawarkan kompaun.

Pendakwaan patut dibuat dan biarkan hakim menentukan sama ada hukuman penjara itu sesuai atau tidak.

Persoalannya adalah sama ada denda RM100,000 dikenakan itu mencukupi?

Kalau dibandingkan dengan peruntukan jenayah yang lain, RM100,000 ini boleh dikatakan berat juga.

Tetapi denda ini tidak setimpal jika dibandingkan dengan perbuatan seseorang, yang boleh boleh membuat lebih sejuta rakyat merana.

Rakyat terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih seperti membeli makanan serta berjimat-cermat menggunakan air.

Pembelian air minuman mungkin meningkat. Sesetengah penduduk juga terpaksa berpindah ke kawasan sementara yang tiada masalah bekalan air.

Perkara ini tidak adil bagi pencemar yang melakukan perbuatannya, di mana bayaran kompaun RM60,000 sememangnya tidak setimpal.

Air adalah hak asasi bagi seluruh manusia.

Ketetapan resolusi 64/292 Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 28 Julai 2010 menyeru semua negara memastikan bekalan air yang selamat, bersih, mudah di dapati dan murah kepada orang ramai.

Tambahan pula LĆ©o Heller, pelapor khas atau Special Rapporteur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang datang menilai aspek air dan sanitasi Malaysia pada tahun 2018 telah menyatakan bahawa dari sudut bekalan air dan sanitasi Malaysia mempunyai pencapaian yang mengagumkan.

Justeru itu, sudah tiba masanya kita cuba perluaskan lagi konsep “polluter pay principle” iaitu mereka yang mencemar, membayar; ke atas semua hukuman-hukuman untuk pencemar dibawah beberapa undang berkaitan.

Setiap rakyat yang melakukan pencemaran perlu memahami bahawa kegiatan pencemaran alam bukan sahaja memberi kesan buruk kepada alam sekitar, tetapi kepada ramai rakyat lain termasuk anak cucu kita.

Rakyat mesti tahu bahawa kesalahan pencemaran ini adalah sesuatu yang berat dan tidak perlu dijadikan contoh.

Maka selain dari denda dan penjara, setiap pencemar harus bertanggungjawab ke atas setiap kos pemuliharaan yang ditanggung oleh semua pihak berkuasa dalam memulihkan pencemaran.

Pihak berkuasa seperti LUAS juga perlu dibenarkan untuk mengambil tindakan “civil class action” bagi pihak-pihak yang mengalami kerugian.

Satu proses perlu diwujudkan supaya bukti-bukti berkenaan dapat dikumpul dengan mudah agar tindakan undang-undang yang setimpal boleh diambil.

Apa yang boleh dituntut juga perlu diperjelaskan. Ini akan membuat kesalahan mencemar dapat dicegah “prohibitive” dan tuntutan yang dibuat dapat mempertingkatkan sistem pembersihan yang jauh lebih sempurna dibina.

Lukman Sheriff Alias
Peguam
Pengerusi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo