KITA baru sahaja menyambut Hari Malaysia, malangnya sungguh mengecewakan sekali apabila masih ada pihak yang menganggap insiden Lahad Datu pada tahun 2013 sebagai satu sandiwara – lebih mendukacitakan apabila anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi ketenteraan itu pula dianggap sebagai ‘berperang dengan ayam dan anjing’.
Sebelum ini, ada pihak yang menyeru kerajaan supaya ‘berunding’ dengan Filipina berkaitan tuntutan ke atas Sabah – satu seruan yang cukup merendahkan kedaulatan negara kerana sesungguhnya ia adalah perkara yang haram untuk dirundingkan daripada perspektif geostrategik.
Semua kenyataan itu merupakan manifestasi kejahilan dalam memahami kepentingan geostrategik Sabah dan pada satu sisi yang lain pula, ia mencerminkan sikap memandang remeh kepentingan pasukan keselamatan serta kuasa politik di pentas antarabangsa.
Sesungguhnya, peristiwa pengilhakan wilayah Ukraine iaitu Crimea oleh Rusia pada tahun 2014 melalui kuasa ketenteraan dan politik demografi seharusnya menjadi iktibar dalam kita memelihara Sabah.
Pada tahun 2013, politik Ukraine berpecah-belah dengan pertembungan antara pihak pro-Rusia dengan pro-Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU).
Akibatnya, secara rahsia Rusia mengerahkan angkatan tentera dengan jumlah yang besar dan dalam tempoh yang cepat menawan Crimea pada tahun 2014 yang sebelum itu diserahkan oleh Kesatuan Soviet kepada Ukraine. Langkah Rusia itu ibarat blitzkrieg hinggakan Ukraine yang berpecah-belah akibat politik itu hanya mampu melihat pengilhakan Rusia.
Dalam konteks Sabah pada hari ini, ahli politik kita tidak seharusnya alpa dengan kepentingan mempertahankan kedaulatan. Untuk rekod, pada 27 Julai lalu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr secara terbuka mendakwa Sabah sebagai bukan milik Malaysia, mengulangi kontroversi tuntutan Filipina ke atas Sabah oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada tahun 2016.
Hakikat yang perlu diberi perhatian serius adalah kenyataan Setiausaha Agung Kesultanan Sulu, Abraham Idjirani baru-baru ini bahawa mereka sedang mengusahakan tuntutan sama ke atas Sabah dengan tidak kurang 200 orang penceroboh Sulu yang terlibat menyerang Lahad Datu pada tahun 2013 sudah kembali. Mereka turut dilaporkan sedang dalam proses menggerakkan sokongan seramai sejuta warga Sulu di Sabah.
Kekacauan
Tidak menghairankan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali baru-baru ini mendedahkan bahawa sumber risikan negara mengesahkan terdapat rancangan kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.
Dalam keadaan sebegitu, wajib kita meletakkan kepentingan strategik negara mengatasi kepentingan kempen politik kepartian. Perlu diingat pada tahun 2013, pengganas Sulu yang menceroboh Sabah ketika itu berpecah dengan kerajaan Filipina. Ketika itu, Azzimudie Kiram dalam temubual dengan radio dzMM ABS-CBN melahirkan kekecewaan terhadap pendirian Presiden Filipina, Benigno Aquino berhubung krisis tersebut.
Beliau menyeru kerajaan Filipina agar ‘melakukan sesuatu untuk menyokong’ pencerobohan mereka ketika itu. Memetik kenyataan Azzimudie Kiram: “Mereka (Malaysia) tidak boleh menakutkan kami kerana kami berjuang untuk hak kita - hak bangsa Sulu dan secara umum, rakyat Filipina iaitu jika kerajaan Filipina masih menganggap kami adalah rakyat Filipina.
”Hari ini keadaan seolah-olah sudah terbalik. Filipina dan Sulu telah bersatu padu menuntut Sabah. Sebaliknya, dalam kalangan kita pula sudah ada yang memilih untuk berpecah-belah merendahkan pengorbanan dan kepentingan pasukan keselamatan demi kepentingan politik kepartian yang sempit.
Peristiwa pengilhakan Crimea oleh Rusia perlu dijadikan iktibar. Jasa pasukan keselamatan kita jangan diremehkan dalam mempertahankan kedaulatan Sabah.
* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda
No comments
Post a Comment