NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hujan – Satu Rahmat Yang Perlu Disyukuri


Hujan merupakan salah satu rahmat dan juga kebaikan yang diturunkan oleh Allah ke bumi untuk seluruh makhlukNya. Cuba fikir, apa reaksi yang akan anda tonjolkan apabila turunnya hujan.

Adakah anda akan mengeluh dan menyalahkan hujan tatkala jemuran anda tidak sempat kering?

Atau adakah anda akan bersyukur dengan hujan tersebut dan segera menadah tangan untuk berdoa kepadaNya?

Hujan sebenarnya dianggap sebagai rezeki kepada manusia. Melalui hujan, tanaman boleh tumbuh dengan subur kerana tanah yang lembap akan memudahkan tanah untuk menyerap air dan benih di dalam tanah bercambah.

Melalui hujan juga, kemarau dapat dielakkan di kawasan-kawasan yang tidak mendapat sumber air yang mencukupi.

Oleh itu, apabila turunnya hujan, cuba latih diri untuk bersyukur dan elakkan diri untuk merungut. Malah, Rasulullah menganjurkan untuk berdoa ketika hujan kerana pada waktu ini, doa lebih mudah terkabul.

إِنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ إِذَا رَأَى الْمَطَرَ قَالَ اللَّهُمَّ صَيِّباً نَافِعاً

Mafhum: Nabi SAW ketika melihat turunnya hujan, beliau mengucapkan, “Allahumma Shoyyiban nafi’an (Ya Allah turunkanlah kepada kami hujan yang bermanfaat).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Fungsi Hujan

Tahukah anda, banyak manfaat dan fungsi hujan kepada bumi, bukan sahaja untuk kebaikan manusia, malah kepada sekalian alam. Baginda juga dikatakan seorang yang suka akan hujan dan mandi hujan merupakan salah satu sunnah yang pernah dilakukan olehnya.

#1 – Hujan Sebagai Rahmat Allah

وَهُوَ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا أَقَلَّتْ سَحَابًا ثِقَالًا سُقْنَاهُ لِبَلَدٍ مَّيِّتٍ فَأَنزَلْنَا بِهِ الْمَاءَ فَأَخْرَجْنَا بِهِ مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ ۚ كَذَٰلِكَ نُخْرِجُ الْمَوْتَىٰ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Mafhumnya: Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatNya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). (Surah Al-A’raf, 7:57)

#2 – Hujan Sebagai Menumbuhkan Pohon Dan Tanaman

وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُّبَارَكًا فَأَنبَتْنَا بِهِ جَنَّاتٍ وَحَبَّ الْحَصِيدِ

Mafhum: Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan dan biji-bijian yang dituai). (Surah Qaf, 50:9)

#3 – Menghilangkan Diri Dari Gangguan Syaitan

إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِّنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ السَّمَاءِ مَاءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ وَيُذْهِبَ عَنكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَىٰ قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الْأَقْدَامَ

Mafhum: (Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu(pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan). (Surah Al-Anfal, 8:11)

#4 – Sumber Kehidupan Bagi Manusia Dan Binatang

لِّنُحْيِيَ بِهِ بَلْدَةً مَّيْتًا وَنُسْقِيَهُ مِمَّا خَلَقْنَا أَنْعَامًا وَأَنَاسِيَّ كَثِيرًا

Mafhum: Untuk Kami hidupkan dengan air itu, bumi yang mati, serta memberi minum air itu kepada sebahagian dari makhluk-makhluk Kami, khasnya binatang ternak yang banyak dan manusia yang ramai. (Surah Al-Furqan, 25:49)

#5 – Hujan Sebagai Peringatan

وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ ۖ وَقِيلَ بُعْدًا لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Mafhum: Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu.” Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itu pun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim.” (Surah Hud, 11:44)

Kesimpulan

Alam ini bergerak sesuai dengan perintah Allah. Mengapa turunnya hujan setelah seharian matahari memancarkan sinarannya yang terik dan mengapa kadang-kadang hujan sudah lama tidak turun. Semua itu adalah aturan dariNya sama ada untuk memberi peringatan dan juga rahmat kepada sekalian alam.

Walau bagaimanapun, niatkan dalam hati untuk tidak melepaskan peluang berdoa dan merintih kepadaNya dengan doa yang diamalkan oleh Baginda mahupun daripada luahan hati sendiri.

Wallahu a’lam.

Sumber : https://tzkrh.com/hujan-satu-rahmat-yang-perlu-disyukuri/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo