Mukadimah
Dewasa ini, masyarakat Islam di seluruh dunia mulai sedar akan wujudnya gerakan-gerakan yang membawa fahaman liberal, liberalisme dan Islam liberal. Masyarakat mulai menyebut-nyebut dan berbincang tentang gerakan liberalisme dan Islam liberal. Namun dalam masa yang sama, masih terdapat banyak salah faham dan ketidakjelasan maklumat akan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah-istilah ini, hatta disisi para pendakwah, asatizah dan para ilmuwan.
Satu kaedah fiqh yang masyhur ada menyebut:
Ų§ŁŲŁŁ
ُ Ų¹ŁŁ Ų§ŁŲ“َّŁŲ”ِ ŁَŲ±Ų¹ٌ Ų¹َŁْ ŲŖَŲµَŁُّŲ±ِŁِ
Maksudnya: Hukum ke atas suatu perkara memerlukan gambaran yang jelas berkenaannya.
Imam al-Ghazzali menekankan peri pentingnya bagi seorang ilmuwan itu untuk memahami hakikat sebenar perkara yang dibahaskan sebelum itu layak untuk mengkritik atau menerimanya. Beliau menegaskan seseorang yang mengkritik sesuatu perkara tanpa terlebih dahulu memahaminya dengan mendalam adalah ibarat orang yang memanah dengan mata yang tertutup. (Rujuk Al-Munqiz min al-Dhalal, hal. 578)
Perbahasan berkenaan liberal, liberalisme dan Islam liberal merupakan satu perbincangan yang amat panjang. Menyedari hakikat ini, kami akan menjelaskan secara ringkas definisi perkataan liberal dari sudut bahasa, sejarah ringkas gerakan liberalisme dan seterusnya membataskan perbahasan Syarak mengenai gerakan Islam liberal, dengan fokus terhadap pemikiran Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia sebagai salah satu gerakan Islam liberal yang paling berpengaruh.
Definisi Liberal
Dari sudut etimologi, perkataan liberal berasal daripada bahasa Latin liberalis yang antara lain bermaksud kebebasan dan sifat seorang yang merdeka, atau daripada perkataan liber yang membawa makna bebas dan tidak terikat atau terkongkong. Sewaktu kurun ke 16 dan 17, liberal digunakan merujuk kepada kebebasan daripada sebarang kekangan dalam pengucapan dan tindakan. Zaman Pencerahan (Enlightenment) pula mengertikannya dari sudut positif (ijabiyyah) sebagai kebebasan daripada sikap prejudis, jumud dan taasub, serta seruan ke arah toleransi.
Dalam konteks sekarang, seorang yang liberal itu secara umumnya merujuk kepada sesiapa yang menghormati kepelbagaian kepercayaan dan sikap. Manakala dari konteks politik, sebuah parti yang liberal ialah yang memperjuangkan ke arah kebebasan individu dan pembangunan ke arah pengagihan kekayaan negara dan kuasa yang lebih adil dalam kalangan masyarakat.
Contoh penggunaan perkataan liberal dapat dilihat dalam beberapa bidang dan lapangan. Misalnya dalam Rukun Negara, jelas dinyatakan bahawa antara cita-cita yang perlu dicapai sebagai sebuah negara ialah:
“Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak”.
Jelas bahawa yang dimaksudkan di sini adalah sikap terbuka yang diamalkan di Malaysia bagi menjamin perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan budaya, dan tidak sama sekali memberi gambaran bahawa Malaysia menerima liberalisme sebagai ideologi politik mahupun sebagai falsafah negara. Perkataan liberal dalam konteks ini tidak membawa sebarang konotasi negatif, kerana ia terlepas daripada ideologi dan worldview ideologi liberalisme yang mewarnai penggunaannya dalam sejarah. (Rujuk Khalif Muammar dalam Islam dan Liberalisme: Antara Maslahah dan Mafsadah, Jurnal Afkar Jilid. 20 Isu 2 (2018), hal. 7-8)
Dalam bidang ekonomi pula, kita sering mendengar istilah liberalisasi ekonomi yang membawa maksud suatu polisi yang mengurangkan regulasi dan campur tangan kerajaan dalam ekonomi sesebuah negara, bagi menarik penglibatan yang lebih aktif dalam pembangunan ekonomi oleh sektor swasta. Ia juga boleh membawa maksud polisi ekonomi yang lebih mesra kepada pelaburan asing dalam sesebuah negara.
Begitu juga dalam bidang pendidikan, dimana terdapat satu bidang pendidikan yang dinamakan sebagai pendidikan liberal (liberal arts education). Ia berasal daripada perkataan latin artes liberales, iaitu pelajaran tujuh subjek yang lebih menjurus ke arah meluaskan ufuk intelektual, berbanding kemahiran praktikal. Pengajian liberal arts dibahagikan kepada dua kategori, iaitu trivium (tatabahasa, logik dan seni retorik) dan quadrivium (aritmetik, geometri, muzik dan astronomi). Pengajian mata pelajaran ini dipanggil sebagai pendidikan liberal, kerana ia membebaskan minda daripada kejumudan tradisi dan keegoan diri.
Dalam tradisi Rom, pendidikan liberal dipelajari oleh golongan merdeka dan kelas tinggi, manakala lawannya pula ialah servile arts, yang lebih bertumpu ke arah skil-skil pekerjaan seperti pertukangan dan pembuatan.
Perkataan liberal juga didapati dalam bidang sukan, di mana salah satu posisi bagi sukan bola tampar dinamakan sebagai libero yang berasal dari perkataan Itali yang bermaksud bebas, iaitu satu posisi pertahanan yang bebas untuk keluar dan masuk menggantikan pemain di barisan belakang tanpa perlu meminta kebenaran daripada pengadil.
Beberapa ketika yang lalu juga, timbul istilah ‘super liberal’ yang sering diulang oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang beliau tujukan kepada sesetengah kelompok liberal yang disifatkan sebagai angkuh dan memaksa orang lain mengiktiraf dan memenuhi permintaan mereka, khasnya dalam isu-isu sensitif seperti LGBT, keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam di negara ini.
Liberalisme sebagai satu ideologi ekonomi dan politik
Liberalisme merupakan antara falsafah yang terpenting dalam mencorakkan peradaban barat pada hari ini, di samping fahaman-fahaman lain seperti humanisme, sekularisme dan pluralisme.
Sebenarnya tidak ada satu definisi yang disepakati bersama akan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan liberalisme. Kami bawakan beberapa definisi yang diberikan oleh beberapa badan berautoriti dan para sarjana:
Ensiklopedia Britannica mendefinisikan liberalisme sebagai satu doktrin politik yang menjadikan perlindungan dan pengembangan kebebasan individu sebagai fokus utama dalam bidang politik.
Liberalisme lahir daripada fokus tamadun barat yang amat mementingkan individualiti, berbanding tamadun lain yang mengambil berat soal status, kasta dan tradisi. Liberalisme juga amat sensitif dengan perubahan zaman dan konteks, yang menatijahkan pengamalan liberalisme yang berbeza di setiap negara dan setiap zaman.
Liberalisme dalam sejarahnya menginginkan wujudnya kepelbagaian dalam gaya hidup dengan cara melindungi hak dan kepentingan golongan kelas menengah, kelompok minoriti agama, kelas pekerja, orang miskin, minoriti kaum, wanita, LGBT dan kelompok kurang upaya.
Sebagaimana lazimnya, suatu fahaman dan aliran pemikiran tidak lahir dalam ruang vakum. Demikian juga liberalisme, ia lahir sebagai tindak balas terhadap pemerintahan kuku besi, feudalisme dan teokrasi yang menjadi pengalaman pahit masyarakat Barat selama lebih kurang seribu tahun. (Rujuk Khalif Muammar dalam Islam dan Liberalisme: Antara Maslahah dan Mafsadah, Jurnal Afkar Jilid. 20 Isu 2 (2018), hal. 2-3)
Menurut Liberal International– satu persekutuan yang menghimpunkan parti-parti politik liberal sedunia- terdapat beberapa teras utama yang menjadi tunjang perjuangan golongan liberal, antaranya ialah:
– mewujudkan masyarakat yang bebas, terbuka dan saksama, dimana nilai kebebasan mesti diimbangi dengan nilai kesetaraan
– hak asasi manusia
– ekonomi pasaran sosial, perdagangan bebas dan pembangunan
Menurut Milton Friedman, kebebasan politik ialah tidak wujudnya paksaan seseorang ke atas seseorang yang lain. Ancaman terbesar terhadap kebebasan ialah kuasa paksaan, sama ada kuasa tersebut ada pada tangan raja monarki, diktator, oligarki atau pihak majoriti. (Rujuk makalah bertajuk The Basic Principles of Liberalism karangan Milton Friedman)
Menurut Oxford Islamic Studies pula, liberalisme merupakan satu idelogi yang merangkumi kepercayaan terhadap demokrasi pilihanraya, hak-hak sibil, kesetaraan jantina, kemajuan manusia dan penghapusan hierarki sosial pra-kemodenan. Ia diperkenalkan ke dunia Islam pada abad ke-19 oleh orang Eropah.
John Stuart Mill, salah seorang pemikir liberal terpenting menggariskan beberapa kaedah asas dalam pemikiran liberalisme berkenaan hubungan individu dan masyarakat:
i. Tindak-tanduk seorang individu itu pada asalnya tidak perlu dipertanggungjawabkan dihadapan masyarakat, selagi mana tindakannya itu hanya berkaitan dengan dirinya sendiri sahaja.
ii. Masyarakat hanya boleh memberi nasihat, tunjuk ajar, memujuk dan menjauhkan diri daripada individu tersebut jika mereka tidak selesa atau tidak bersetuju dengan perbuatannya.
iii. Jika tindakan individu memberi kesan kepada kemaslahatan pihak lain, maka dia boleh dikenakan hukuman undang-undang atau sosial jika masyarakat merasa adanya keperluan ke arah itu.
iv. Pada asasnya, sebarang mafsadah yang menimpa orang lain akibat tindakan seorang individu, tidaklah memestikan campur tangan masyarakat terhadap individu tersebut. Hal ini kerana dalam banyak hal, tindakan seorang individu untuk mencapai sebarang objektif akan memberi kesan negatif kepada orang lain.
Ringkasnya, pemikiran liberalisme memberi penekanan yang mendalam terhadap kebebasan individu, sikap keterbukaan, meraikan kepelbagaian dan dalam masa yang sama menekankan konsep kesetaraan dan kesaksamaan.
Islam Liberal
Menurut Charles Kurzman, Muslim pertama yang mencadangkan nama “liberal Islam” ialah Asaf Ali Ashgar Fyzee, seorang modenis kelahiran India. Asaf Ali menulis:
“a newer ‘protestant’ Islam will be born in conformity with conditions of life in the twentieth century, cutting away the dead wood of the past and looking hopefully at the future. We need not bother about nomenclature, but if some name has to be given to it, let us call ‘Liberal Islam’…”
Greg Barton, seorang tokoh yang mendokong Islam Liberal di Indonesia menyatakan bahawa terdapat empat rukun asas bagi ajaran Islam liberal ini, iaitu:
i. Kepentingan kontekstualisasi ijtihad
ii. Komitmen terhadap rasionaliti dan pembaharuan (agama)
iii. Penerimaan terhadap pluralisme sosial dan agama
iv. Pemisahan agama dari politik (Rujuk Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, hlm. 179)
Dalam mengupas tentang ajaran Islam Liberal ini, kami bataskan perbahasan hanya sekitar penulisan dan pemikiran tokoh-tokoh Jaringan Islam Liberal (JIL) yang berpusat di Indonesia, memandangkan mereka sendiri menamakan kumpulan mereka dengan nama Islam liberal. Jika kami membahaskan pemikiran tokoh-tokoh tertentu yang lain yang mempunyai unsur Islam liberal, dibimbangi akan berlaku ketidakadilan, kesalahfahaman dan tohmahan melulu jika mereka sendiri tidak menamakan diri mereka sebagai pendokong dan pembawa ajaran Islam liberal. Pun begitu, tidak dinafikan bahawa pemikiran sebegini boleh sahaja wujud di negara ini jika tidak ditangani dengan bijaksana.
Penulis-penulis JIL yang masyhur, antaranya Ulil Absar Abdalla dan Luthfi Assyaukanie banyak mengemukakan pandangan-pandangan mereka lewat penulisan-penulisan mereka di laman web rasmi JIL.
Tema utama pemikiran Islam Liberal
Menurut Ulil Absar Abdalla, gerakan Islam Liberal muncul untuk menjadi neraca bagi menyeimbangkan wacana kewajipan dan kebebasan dalam Islam. Hal ini kerana menurut beliau, diskusi berkenaan Islam terlalu dipenuhi dan didominasi subjek fiqh, yang lebih memberi penekanan pada soal kewajipan dan halal haram, sehingga mengecilkan ruang bagi perbincangan tentang hak asasi dan kebebasan.
Beliau turut menyanggah konsep penciptaan manusia untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada Tuhan, kerana konsep ini dianggap memberikan konotasi bahawa manusia dan Tuhan itu adalah berseteru antara satu sama lain, maka manusia mesti ditundukkan. Beliau menyatakan bahawa tujuan tertinggi penurunan agama ialah bagi mengangkat martabat kemanusiaan, kerana fokus pertama dalam agama ialah manusia itu sendiri, bukan semata-mata Tuhan.
Sementara itu menurut Luthfi Assyaukanie, sebagai sebuah gerakan pembaharuan pemikiran keagamaan, Islam liberal mempunyai dua musuh: pemikiran konservatif agama dan fundamentalisme. Konservatif agama dalam erti kata suatu pemahaman sempit terhadap agama yang selalu skeptik dan menolak sebarang pembaharuan, manakala fundamentalisme ialah satu sikap pemaksaan pandangan terhadap kelompok lain dengan cara kekerasan.
Bagi beliau, kedua-dua aliran konservatif dan fundamentalis ini merupakan ‘antitesis’ kepada gerakan Islam liberal yang amat menitikberatkan kepelbagaian pandangan, pembukaan pintu ijtihad, hak asasi manusia, kebebasan dan lain-lain nilai yang menjadi rukun kepada aliran liberal.
Tambah beliau lagi, gerakan Islam liberal bukanlah satu fenomena baharu, namun ia telahpun wujud sejak zaman pembaharuan pada awal abad ke-19. Ia merupakan satu gerakan untuk membebaskan umat Islam daripada belenggu kejumudan dan keterbelakangan yang diakibatkan oleh fahaman konservatisme dan fundamentalisme agama.
Charles Kurzman pula telah menulis sebuah buku antologi bertajuk Liberal Islam yang menghimpunkan hasil tulisan 32 tokoh Muslim yang mempunyai persamaan dengan wacana-wacana dan idea-idea yang dibincangkan dalam pemikiran liberalisme barat seperti demokrasi, hak minoriti dan kebebasan. Antara tokoh yang dipetik termasuklah ‘Allamah Muhammad Iqbal, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh Rachid Ghannouchi, selain tokoh-tokoh liberal seperti Fatima Mernissi, Amina Wadud, Nurcholis Majid dan Mohamed Arkoun. Perlu diberi perhatian bahawa tokoh terkemuka seperti Syeikh Yusuf Qaradhawi dan Rachid Ghannouchi tidak berpegang dengan ajaran liberal, dan Charles Kurzman hanya memasukkan mereka ke dalam senarai tokoh liberal kerana sebahagian pandangan mereka yang sesuai dengan ajaran Islam liberal.
Fenomena anti-autoriti dan disiplin dalam memahami agama Luthfi Assyaukani telah menulis:
Andai aku seorang Muslim liberal, maka aku akan melepaskan segenap keyakinan-keislamanku dari segala bentuk otoritas tafsir atas Islam yang tidak sesuai dengan akalku, termasuk otoritas keulamaan. Namun, aku akan menerima tafsir-otoritatif dari siapapun, dalam arti otoritas itu bersumber pada bukti-bukti yang meyakinkan secara rasional dan berdasar pada prinsip-prinsip ilmiah yang aku yakininya kebenarannya.
Syarat-syarat klasik yang biasanya menjadi kualifikasi terberat dalam melakukan ijtihad sudah seharusnya ditinjau ulang. Karena, syarat-syarat itu, selain tidak masuk akal, hanya akan membatasi kemajuan kaum muslim. Argumen utama kaum liberal adalah bahwa manusia diciptakan oleh Allah dalam keadaan bebas. Dan kebabasan adalah anugerah terpenting yang diberikan Tuhan kepada manusia. Kebabasan berpendapat, selain itu, juga merupakan hak individu yang tak seorangpun berhak mencegahnya.”
Malah, penulis pergi lebih jauh dengan menyatakan bahawa “…dalam sebuah ayat Alquran, Tuhan pun tak mampu mencegah makhluknya untuk berpendapat (QS. 2:30)”. Ini merupakan satu bentuk pengagungan yang melampau terhadap kebebasan dan kehendak manusia, hingga ke tahap meletakkan satu sifat kelemahan dan ketidakmampuan
Sementara Ulil Absar Abdalla pula menempelak kebergantungan umat Islam terhadap fatwa dan pandangan ulama:
“Kenapa gerangan tampaknya umat Islam harus menunggu fatwa terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu? Apakah tidak cukup mereka memakai nalar (akal rasional) saja untuk mengetahui hal-hal yang sederhana? Bukankah memakai nalar/akal merupakan kebajikan yang diperintahkan oleh agama?”
Islam menggariskan syarat-syarat yang ketat sebelum seseorang itu mampu mencapai tahap kemampuan untuk berijtihad. Imam al-Syatibi menetapkan bahawa seorang yang ingin berijtihad mestilah memahami Maqasid Syari’ah secara sempurna dan mampu untuk mengistinbatkan hukum syara’ daripada dalil-dalilnya. (Rujuk Al-Muwafaqat, 4/105-106)
Almarhum Dr Wahbah al-Zuhaily pula sewaktu menyimpulkan syarat-syarat ijtihad yang dibahaskan oleh Imam al-Amidi dan Imam al-Baidhawi menyenaraikan butiran-butiran berikut:
1. Pengetahuan mendalam tentang ayat-ayat hukum daripada al-Quran, samada dari sudut bahasa mahupun syarak.
2. Pengetahuan mendalam tentang hadith-hadith hukum, samada dari sudut bahasa mahupun syarak
3. Pengetahuan mendalam berkenaan nasikh dan mansukh dalam al-Quran dan al-Sunnah.
4. Pengetahuan mendalam terhadap perkara-perkara yang diijma’kan oleh ulama.
5. Pengetahuan mendalam tentang qiyas dan kaedah pengaplikasiannya.
6. Pengetahuan mendalam tentang bahasa Arab, samada ilmu nabu, sorof dan balaghah.
7. Kepakaran dalam bidang usul al-fiqh. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islamiy 2/1072-1076)
Melihatkan syarat-syarat yang sebegini ketat, adalah amat menakjubkan bagi mereka-mereka yang bermudah-mudah menceburkan diri dalam arena ijtihad. Pintu ijtihad tidak pernah tertutup, dan Islam membuka pintu ijtihad terutamanya bagi menyelesaikan permasalahan-permasalahan baharu, namun ia mestilah dilakukan oleh mereka yang benar-benar berkelayakan sahaja, dan bukannya bebas untuk sesiapa sahaja seperti yang dimahukan oleh golongan liberal Muslim.
Cubaan menghalalkan LGBT atas nama ijtihad baharu
Antara pandangan-pandangan baharu yang dikeluarkan atas nama ijtihad dan penafsiran semula al-Quran ialah berkenaan isu homoseksual dan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).
Beberapa penulis di laman web Islam liberal Indonesia, Khoirul Anwar dan Khoirul Anam secara terang menyebut bahawa tiada satupun ayat dalam al-Quran yang secara eksplisit (terang dan nyata) yang menolak LGBT, mahupun yang menerimanya. Maka, menurut penulis tersebut, setiap orang bebas mengemukakan tafsiran masing-masing.
Hal ini pastinya bercanggah dengan firman Allah SWT yang secara jelas menempelak umat Nabi Luth A.S yang mengadakan hubungan seks sesama lelaki:
Ų£َŲŖَŲ£ْŲŖُŁŁَ Ų§ŁŲ°ُّŁْŲ±َŲ§Łَ Ł
ِŁَ Ų§ŁْŲ¹َŲ§ŁَŁ
ِŁŁَ ﴿Ł”Ł¦Ł„﴾ ŁَŲŖَŲ°َŲ±ُŁŁَ Ł
َŲ§ Ų®َŁَŁَ ŁَŁُŁ
ْ Ų±َŲØُّŁُŁ
Ł
ِّŁْ Ų£َŲ²ْŁَŲ§Ų¬ِŁُŁ
ۚ ŲØَŁْ Ų£َŁŲŖُŁ
ْ ŁَŁْŁ
ٌ Ų¹َŲ§ŲÆُŁŁَ ﴿Ł”Ł¦Ł¦﴾
Maksudnya: Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, (165) Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas!Surah al-Syu’ara (166)
Sebahagian mereka berhujah bahawa yang diharamkan ialah hubungan seks secara paksa (non-consensual sex), dan bukannya perilaku homoseksual itu sendiri, berdasarkan perlakuan rakus kaum Nabi Luth yang mendesak Baginda menyerahkan dua tetamu tampan (yang sebenarnya malaikat utusan Allah SWT) untuk memenuhi nafsu songsang mereka. Namun hujahan mereka ini jelas ditolak melalui ayat ini yang secara terang menempelak perlakuan homoseksual itu sendiri.
Lebih menghairankan, mereka turut menjadikan riwayat-riwayat sejarah tentang adanya pemimpin kerajaan Muslim yang berorientasi homoseksual dan kewujudan syair-syair Arab yang berunsur homoseksual sebagai dalil bahawa LGBT itu merupakan sebahagian ciptaan Allah SWT yang mesti dipertahankan kewujudan mereka atas dasar kepelbagaian.
Menurut Dr. Khalif Muammar, ijtihad telah dijadikan alasan dalam mengeluarkan pendapat-pendapat baru yang kelihatannya amat jauh daripada kefahaman muktabar. Golongan Islam liberal berusaha untuk mengubah tafsiran Islam agar selaras dengan keadaan manusia. Perbuatan memahami teks wahyu dalam kerangka duniawi, adalah bersalahan dengan sikap Muslim yang sepatutnya terhadap wahyu. Muslim sepatutnya menurut panduan wahyu sepenuhnya, bukan berusaha mengubah fahaman wahyu agar selaras dengan perspektif manusiawi dan duniawi. (Rujuk Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal hlm. 43-45)
Kecenderungan ke arah pentafsiran semula ayat-ayat al-Quran berkenaan isu LGBT ini juga kesan daripada perubahan sikap tamadun Barat terhadap kelompok ini. Kami percaya jika masyarakat Barat pada hari ini tidak mengangkat dan memperjuangkan hak LGBT, nescaya kalangan Muslim liberal tidak akan membangkitkan isu ini.
Rumusan dan kesimpulan
Tuntasnya, ideologi liberalisme muncul atas asas kebebasan individu sebagai tindak balas terhadap pemerintahan kuku besi, feudalisme dan teokrasi yang menjadi pengalaman pahit masyarakat Barat selama lebih kurang seribu tahun. Fahaman ini memberi penekanan yang mendalam terhadap kebebasan individu, sikap keterbukaan, meraikan kepelbagaian dan dalam masa yang sama menekankan konsep kesetaraan dan kesaksamaan.
Gerakan Islam Liberal yang terinspirasi daripada ideologi liberalisme pula diwujudkan atas asas untuk membebaskan umat Islam daripada belenggu kejumudan dan keterbelakangan yang diakibatkan oleh fahaman konservatisme dan fundamentalisme agama, melalui penghargaan terhadap kepelbagaian pandangan, pembukaan pintu ijtihad, perjuangan hak asasi manusia serta mempertahankan kebebasan.
Kesemua cita-cita yang digariskan ini sebenarnya bertepatan dengan ajaran Islam. Namun ia dilakukan dengan cara menyanggah dan meruntuhkan tradisi keilmuan para ulama yang telah diwariskan sejak zaman-berzaman. Pintu ijtihad dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja, dan perkara-perkara yang sudah disepakati oleh para ulama sejak zaman-berzaman (ijma’) juga cuba dirungkai, atas nama ijtihad. Justeru, apa yang telah dijelaskan dalam artikel ini, jua yang adalah merujuk kepada konteks ini dan bukanlah memaksudkan secara terus kepada classical liberalism, political liberalism, neoclassical liberalism atau apa jua faham yang boleh dibahaskan secara ilmiah.
Faham kebebasan dan hak asasi yang diperjuangkan pula nampaknya hanya mencedok daripada teori-teori Barat. Sementara Islam mengiktiraf hikmah dan mengambil manfaat produk yang baik daripada mana-mana tamadun, Islam juga mengajar agar kita menyaring terlebih dahulu pemikiran-pemikiran Barat dan memastikan ia benar-benar selari dengan pandangan alam (worldview) Islam. Telah sekian ramai pemikir-pemikir Islam yang menghasilkan buah fikiran yang tuntas dalam isu kebebasan dan hak asasi manusia, antaranya Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Rachid Ghannouchi, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Ahmad al-Raisouni dan Prof Muhammad ‘Immarah yang pastinya perlu ditelaah dalam memformulasi teori kebebasan yang selaras dengan ajaran Islam.
Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab bagi setiap Muslim untuk berhati-hati daripada terjebak dengan pemikiran Islam liberal ini, lebih-lebih lagi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-74 pada 25-27 Julai 2006 telah memutuskan pemikiran Islam Liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam, antaranya berdasarkan aspek-aspek berikut:
• Mempersoalkan metodologi pentafsiran al-Quran dan al-Hadith
• Kesilapan pada menempatkan peranan akal bukan pada tempatnya
• Menilai semula konsep hukum-hakam qath’ie dan zhanni yang telah disepakati para ulama
No comments
Post a Comment