KUALA LUMPUR, 9 Sept -- Tiada elemen rasuah dalam kalangan anggota dan pegawai polis berkaitan sindiket perjudian dan penyeludupan rokok di daerah Sungai Buloh, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Bagaimanapun setelah meneliti laporan khas Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang diserahkan kepadanya, Abdul Hamid berkata terdapat beberapa kelemahan dan mengakui ada ruang untuk penambahbaikan.
“Saya telah meneliti laporan berkenaan dan mendapati berberapa perkara yang dibangkitkan dalam video pendedahan Asri Janggut yang tular di media sosial, adalah kurang tepat.
“Ini kerana pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh tidak menerima sebarang ganjaran atau rasuah bagi banteras kes judi di daerah itu,” katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas jawatan empat pengarah jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Maktab PDRM Cheras, di sini hari ini.
Selain itu, Abdul Hamid berkata dalam laporan JIPS itu juga menyatakan, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa'aton Abu Bakar memiliki rekod baik dan bertanggungjawab menangani isu berkenaan di daerah terlibat.
“Daripada segi penguatkuasaan usaha membanteras kegiatan judi yang dilakukan oleh IPD berkenaan memang dijalankan dengan giatnya.
“Siasatan JIPS secara menyeluruh dan saya melihat daripada latar belakang kekayaan yang dimiliki pegawai dan anggota polis di daerah itu, tidak ada yang luar biasa yang menunjukkan mereka ini menerima rasuah,” katanya.
Abdul Hamid berkata, adalah tidak benar sama sekali jika dikatakan seluruh warga IPD Sungai Buloh terlibat rasuah dan sebagainya.
“Saya masih menaruh keyakinan terhadap mereka (warga IPD Sungai Buloh) dan saya hendak memulihkan semangat mereka selepas dikecam di media sosial. Mereka ini bekerja dengan ikhlas dan jujur,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan JIPS telah menyerahkan laporan khas mengenai IPD Sungai Buloh berhubung kes perjudian di daerah itu, yang merangkumi hasil siasatan pasukan khas selama 10 hari dan aset yang dimiliki pegawai dan anggota IPD Sungai Buloh.
Pada Ogos, tular video di media sosial menerusi Facebook Hot Burger Malaysia yang dikongsikan pemilik akaun Facebook Asri Janggut, membangkitkan isu kegiatan perjudian di beberapa unit kedai dan penjualan rokok seludup berleluasa di Sungai Buloh.
-- BERNAMA
No comments
Post a Comment