Secara langsung, aliran pertumbuhan dan perkembangan ekonomi Madinah boleh dilihat pada ucapan pertama Nabi Muhammad Sollahu ‘Alayhi wa Sallam saat baginda sampai ke Kota Cahaya Madinah.
Abdullah bin Salam, menceritakan, “Ketika Rasulullah Sollahu ‘Alayhi wa Sallam datang ke Madinah, orang ramai segera pergi menuju kepada baginda Sollahu ‘Alayhi wa Sallam (untuk melihat baginda).
Ada yang mengatakan, ‘Rasulullah telah datang’, lalu saya menuju ke sana di tengah orang ramai itu untuk melihat baginda. Ketika saya melihat wajah Rasulullah Sollahu ‘Alayhi wa Sallam, saya mengetahui bahawa wajah baginda bukanlah wajah seorang pembohong.
Dan yang pertama kali baginda ucapkan adalah, ‘Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan, sambunglah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika orang-orang tidur, tentu saudara semua akan masuk syurga dengan selamat.” – Sunan al-Tirmizi
Pertama : Sebarkanlah Salam
Salam bermaksud kedamaian. Kedamaian sebuah negara dicapai melalui perpaduan rakyatnya. Justeru, langkah pertama di saat Nabi Muhammad menjejakkan kaki di Madinah ialah membina masjid.
Anas bin Malik menceritakan, “Kemudian baginda memerintahkan untuk membangun masjid. Baginda mengutus utusan kepada pembesar-pembesar Bani Najjar. Utusan itu menyampaikan: “Wahai Bani Najjar, sebutkan berapa harga kebun tuan-tuan ini?”
Mereka menjawab, “Tidak, demi Allah. Kami tidak mahu harganya kecuali dari Allah!”
Anas berkata, “Di dalam kebun-kebun itu terdapat kuburan orang-orang musyrik, juga ada sisa-sisa reruntuhan bangunan dan pohon-pohon kurma. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan untuk digemburkan tanah kuburan-kuburan tersebut, runtuhan rumah diratakan dan pohon-pohon kurma ditebang. Para sahabat meletakkan batang-batang pokok tamar di sebelah kiblat masjid dan menyusun batu sebagai dindingnya. Mereka mengangkut batu-batu besar bersama Nabi sambil baginda bersenandung, “Ya Allah, tidak ada kebaikan sebenarnya kecuali kebaikan akhirat, maka ampunilah kaum Anshar dan Muhajirin.” – Sahih Muslim
Kisah terperinci boleh baca di sini.
Masjid ialah lambang perpaduan rakyat. Tidak ada segregasi kaum, bangsa dan keturunan di dalam saf-saf sembahyang. Sesiapa yang berusaha akan mendapat saf yang pertama.
Lakaran Gambaran Masjid Nabawi yang pertama kali dibina.
Langkah kedua ialah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Dalam buku-buku sirah menyatakan Abu Bakr al-Siddiq dipersaudarakan dengan Kharrijah bin Zuhair, Ja‟far bin Abi Talib dengan Mu‟adz bin Jabal, Hamzah bin ‟Abdul Mutallib dengan Zaid bin Harithah, Sa‟ad bin Al-Ruba‟i dengan ‟Abdul Rahman bin ‟Auf dan lain-lain lagi.
Zahirnya kita nampak ikatan persaudaraan atas nama Aqidah Islamiah. Ia memang betul, namun di sebalik persaudaraan ini Nabi Muhammad membentuk partnership dalam membuka lembaran baru ekonomi Madinah. Orang Madinah yang kaya dengan sumber alam dan produk pertanian, manakala orang Muhajirin pula mempunyai networking yang besar dalam perniagaan antarabangsa yang melibatkan channel yang luas di bandar-bandar besar sekitar Semenanjung Arab sehingga ke negara besar Rom.
Kita tidak pelik negara kecil seperti Singapura, memberi kerakyatan kepada ahli perniagaan yang ternama yang mempunyai jaringan perniagaan yang luas di serata dunia. Maka, ‘persaudaraan’ yang Nabi Muhammad lakukan itu dalam konteks pembinaan ekonomi negara ialah memberi kerakyatan dan membuka perniagaan di negara tersebut.
Lazimnya kerakyatan diberi kepada ahli sukan dan seniman. Ia tidaklah salah, namun dari sudut pembinaan ekonomi, ia tidak dapat dijana dengan lebih optimum.
Langkah ketiga ialah deklarasi Piagam Madinah. Deklarasi ini bukanlah satu undang-undang jenayah. Tetapi satu kontrak sosial atas kesepakatan bersama di bawah satu pemerintahan yang dipimpin oleh Nabi Muhammad Sollahu ‘Alayhi wa Sallam. Diwujudkan satu deklarasi kebersamaan dan kerjasama antara kaum dan kabilah.
Betapa pentingnya hal ini, apabila Nabi Muhammad menggariskan 47 fasal yang merangkumi semua kaum dan kabilah supaya mereka akan taat setia berada di bawah satu pemerintahan yang diakui bersama dan diterima segala tindakan sebuah negara. Baca lanjut di sini.
Kedua : Berikanlah Makan
Kenyataan ini simpel sahaja apabila dilihat dari sudut amalan peribadi, iaitu memberi makan kepada orang lain yang memerlukannya. Sama ada dengan memberi makanan, barang keperluan asas, atau memberi wang belanja untuk mendapatkan keperluan makanan.
Dari sudut ekonomi, untuk ‘memberi makan’ kepada orang lain. Lazimnya kita sendiri pun cukup untuk makan untuk keluarga kita sendiri. Bagaimana mungkin kita dapat memberi makan orang lain, sedangkan diri dan keluarga kita sendiri pun tidak cukup.
Di sinilah baginda membina ekonomi dengan membuka pasar baru Madinah. Pasar baru ini tidak terhad kepada peniaga Muslim sahaja. Ia dibuka kepada semua penduduk Madinah yang menjalankan perniagaan.
Sebelum ini orang Madinah berniaga di pasar milik Yahudi. ؛Pemilik pasar Yahudi mengenakan sewa yang tinggi sehingga membebankan peniaga Madinah. Lalu hal itu diadukan kepada baginda.
Soleh bin Kaisan menceritakan bahawa Rasulullah Sollahu ‘Alayhi wa Sallam membuat kubah besar di Pasar Baqi’ Zubair, kemudian baginda bersabda, “Ini adalah pasar saudara semua”
Kemudian datang Ka’ab bin Asyraf memotong tiang-tiang kubah, sehingga Rasulullah bersabda, “Jangan zalim, saya akan memindahkannya ke tempat yang lebih membuat dia marah lagi.”
Setelah kubah itu dipindahkan ke tempat Pasar Madinah, baginda bersabda, “Ini adalah pasar saudara semua, jangan dibina bangunan dan jangan membebankan peniaga dengan sewa tapak.”
Abu Usaid menceritakan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi Sollahu ‘Alayhi wa Sallam kemudian berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mencari tempat di pasar (untuk berniaga). Mengapa tuan tidak memeriksanya?”
Baginda pun pergi bersamanya ke tempat Pasar Madinah pada hari itu. Abu Usaid melanjutkan cerita, lalu Nabi menghentakkan kaki dan bersabda, “Ini adalah pasar saudara semua, jangan dikurangkan (kawasan tapak) dan jangan dibebankan dengan sewa tapak padanya.” – Musannaf Ibn Abi Syaibah
Kelebihan tidak dikenakan sewa tapak untuk berniaga, akan memajukan ekonomi Madinah dengan lebih pesat. Para peniaga akan cepat untung dan mendapat untung berganda pula. Putaran tunai berputar dengan laju di dalam Kota Madinah melalui transaksi perniagaan yang menguntungkan.
Mungkin boleh dikaji lanjut, mengapa Nabi Muhammad berkata, “Ini adalah pasar saudara semua, jangan dibina bangunan…” Apakah maksud ‘pasar’ zaman sekarang yang tidak mempunyai ‘bangunan’? Apakah maksud ‘bangunan’ dalam sebuah ‘marketplace’?
Apabila perniagaan mereka berkembang, maka nasihat Nabi Muhammad supaya ‘berikanlah makan’ itu akan mudah dilaksanakan apabila mereka saling bantu membantu antara satu sama lain. Nasihat Nabi jelas pada hadis di atas, pertolongan itu bukan terhad antara sesama Muslim sahaja, bahkan semua lapisan masyarakat. Permulaan hadis Nabi berkata, “Wahai semua manusia…”
Ini isyarat jelas bahawa pembinaan ekonomi Madinah dibentuk melalui kerjasama semua pihak sama ada Muslim atau bukan Muslim dan orang penduduk asal atau orang yang berhijrah ke tempat itu dan menetap di situ.
Daripada dua elemen utama daripada hadis ini sahaja kita dapat lihat bagaimana Nabi Muhammad membina ekonomi Madinah sehingga kota itu menjadi pusat perdagangan utama pada zaman itu dan zaman seterusnya. Cara yang tersirat dan tersorok yang Nabi Muhammad lakukan berbeza dengan cara fikir kita.
Nabi Muhammad tidak memerintahkan kutipan zakat segera dijalankan untuk memajukan ekonomi Madinah. Tetapi baginda membina pasar untuk ahli perniagaan menjana keuntungan terlebih dahulu barulah zakat dan infaq dapat diminta. Para peniaga kaya inilah yang akan membayar zakat dan membiayai belasan peperangan yang berlangsung di zaman Nabi. Bagaimana mungkin boleh berperang seandainya ongkosnya tidak ada?
Kedua, apa yang menarik ialah orang Muhajirin yang terdiri daripada ahli perniagaan sewaktu di Mekah dahulu datang sehelai sepinggang. Dari sudut ekonominya mereka dikategori sebagai miskin dan layak menerima zakat dan bantuan.
Apabila yang baginda lakukan ialah dengan mempersaudarakan mereka dengan orang Ansar iaitu penduduk Madinah yang kaya atau mempunyai harta. Sebagai contoh, Abdul Rahman bin Auf dipersaudarakan dengan Sa’ad bin al-Ruba’i yang merupakan seorang hartawan. Beliau mahu membahagikan separuh hartanya kepada Abdul Rahman bin Auf tetapi beliau menolaknya.
Dalam kes ini, baginda mengetahui para sahabat Muhajirin tentu memerlukan modal untuk berniaga, tetapi baginda tidak mengutip zakat dan sedekah daripada orang Ansar untuk diberikan kepada orang Muhajirin sebagai modal untuk berniaga.
Golongan asnaf ini lazimnya tidak mahir menjalankan bisnes. Mereka tidak tahu selok belok perniagaan yang sebenar. Apabila duit zakat hanya diberikan begitu sahaja tanpa melalui proses sebagai orang yang menjalankan bisnes dari mula, maka usaha itu akan terbantut.
Melalui sistem dan partnership yang betul, sebarang perniagaan dapat dibina dengan menggunakan modal apa yang ada di tangan ketika itu sama ada modal duit, modal sosial dan modal skil dan kemahiran tertentu.
Apabila Sa’ad mahu membahagikan separuh hartanya kepada Abdul Rahman bin Auf berkata, “Tunjukkan saya di mana pasar.” – Sahih al-Bukhari
Hanya bermodalkan dengan apa yang ada di tangannya, serta kemahiran perundingan bisnes yang biasa dijalankan sebelum ini di Mekah. Maka beliau dapat menjanakan pendapatan dalam beberapa hari sahaja.
Ringkasnya, flow pembinaan ekonomi sebuah negara dapat dibina melalui proses dan strategi yang betul. Dan model ekonomi Madinah ini dapat kita laksanakan sekarang walaupun berbeza lebih 1,400 tahun.
Saifuddin Yusof
Sirah Nabi panduan ekonomi zaman ini.
Sumber: https://saifuddinyusof.com/bagaimana-nabi-muhammad-membentuk-ekonomi-madinah/
No comments
Post a Comment